ROSWELL, New Mexico 15 Okt. - Atlet ekstrem Austria, Felix Baumgartner berjaya memecah rekod dunia payung terjun selepas melakukan terjunan dramatik dari stratosfera pada ketinggian 38.6 kilometer dari paras bumi di sini, baru-baru ini. Baumgartner berjaya memecah rekod dunia payung terjun yang melakukan terjunan bebas mengatasi kelajuan bunyi.
Beliau yang turut dikenali sebagai Fearless Felix mendarat di gurun timur New Mexico kira-kira sembilan minit selepas melakukan lompatan dari kapsulnya. Fearless Felix kelihatan mengangkat tangan tanda kejayaan sebaik-baik sahaja mendarat di permukaan bumi sambil menerima tepukan daripada penonton dan rakan-rakannya yang menyaksikan detik bersejarah itu dari pusat kawalan misi di Roswell, New Mexico.
"Ketika saya berdiri di aras paling tinggi di dunia saya terasa amat rendah diri dan tidak lagi memikirkan tentang misi memecahkan rekod atau mendapatkan data saintifik. Satu-satunya yang saya mahukan ketika itu ialah pulang dengan selamat," katanya selepas melakukan terjunan itu.
Pemerhati penerjunan daripada Persekutuan Antarabangsa Sukan Penerbangan, Brian Utley berkata, angka awal menunjukkan Baumgartner mencapai kelajuan maksimum 1,342 kilometer sejam. Menurutnya, angka itu sama dengan Mach 1.24 iaitu lebih pantas daripada kelajuan bunyi dan belum ada sesiapa yang pernah mencatat kelajuan tersebut dengan hanya memakai pakaian berteknologi tinggi.
Baumgartner turut memecah rekod melakukan terjunan dari paras paling tinggi bagi payung terjun, tiga kali lebih tinggi daripada purata aras ketinggian yang dilakukan oleh penerjun komersial, selain berjaya melakukan penerbangan pada paras paling tinggi menggunakan belon di stratosfera. Baumgartner telah berlatih selama lima tahun dan memegang banyak rekod termasuk terjunan dari Menara Berkembar Petronas. - AGENSI
http://www.redbullstratos.com/
http://www.youtube.com/science
0 comments:
Post a Comment