Friday, October 19, 2012

Elaun guru pedalaman tidak dimansuhkan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments


Kerajaan tidak bercadang memansuhkan elaun pedalaman bagi guru-guru yang berkhidmat di kawasan berkenaan walaupun kemudahan dan infrastruktur kawasan semakin baik. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, pemberian elaun tersebut tetap diteruskan dan kerajaan mengambil berat terhadap aspek kebajikan guru-guru di kawasan pedalaman.

"Tiada perancangan hapuskan elaun pedalaman sama ada P1, P2 atau P3 walaupun kita sedar ada tempat-tempat contohnya P1 yang sudah ada kemudahan seperti jalan raya. Mereka masih terima elaun dan sebenarnya tiada pun ura-ura untuk hapuskan (pemberian elaun) kerana kita ada banyak sekolah di pedalaman," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa ini, guru yang bertugas di kawasan pedalaman P1 menerima elaun khas RM500.00 sebulan, P2 mendapat RM1,000.00, manakala P3 dibayar RM1,500.00. Terdahulu, dalam menjawab soalan lisan Raime, Mohd Puad berkata, seramai 31,165 orang daripada 34,952 guru yang berasal dari Sabah sedang berkhidmat di negeri tersebut manakala bakinya seramai 3,787 orang bertugas di Semenanjung.

Kata beliau, berdasar perangkaan sehingga 30 September lalu itu, seramai 20,286 orang guru bertugas di sekolah rendah manakala 10,879 bertugas di sekolah menengah di seluruh negeri Sabah.

Sumber Utusan Online 18/10/2012

0 comments:

Post a Comment