Kajian dari Mayo Clinic mendapati bahawa rawatan yang berkesan untuk masalah keguguran rambut termasuklah penggunaan bahan yang mengandungi minoksidil dan finasterid serta pembedahan seperti pemindahan rambut dan pengurangan kulit kepala.
Namun, disebabkan oleh kosnya yang sangat tinggi, ramai yang tertanya-tanya jika terdapat alternatif lain yang jauh lebih murah. Jawapannya adalah, ya, memang ada, tetapi sama ada ianya mendatangkan kesan yang sangat efektif adalah bergantung kepada keadaan rambut dan kulit kepala anda.
Oleh itu, anda diminta untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum berpaling kepada cara rawatan yang lebih tradisional.
Menurut Vasant Lad, seorang pengarang buku “The Complete Book of Ayurvedic Home Remedies”, kandungan protein yang tinggi dalam kuning telur mampu mengatasi masalah keguguran rambut di samping membantu rambut untuk tumbuh dengan lebih cepat.
Selain protein, telur juga kaya dengan pelbagai vitamin seperti vitamin A, E dan D. Vitamin A berfungsi meningkatkan penghasilan sebum serta membantu mengurangkan kelemumur dan penebalan kulit kepala. Vitamin D pula berupaya merangsang pertumbuhan rambut dan mengelakkan rambut bercabang manakala vitamin E membaikkan penyerapan oksigen di dalam rambut. Peredaran darah di sekitar kulit kepala dibantu oleh vitamin B yang turut terkandung.
Asid lemak yang terdapat dalam telur juga berfungsi mengekalkan kelembutan rambut di samping boleh mengurangkan masalah kelemumur, kulit kepala mengelupas dan psoriasis.
Apa yang anda boleh lakukan adalah campurkan tiga kuning telur di dalam mangkuk kecil dan pukulnya selama 60 saat. Campuran tersebut kemudiannya disapu dan diurut di kulit kepala selama dua hingga tiga minit. Biarkan selama 15 hingga 20 minit dan setelah itu barulah anda boleh mencuci rambut dengan syampu yang sesuai.
Kandungan protein yang tinggi juga merupakan sebab mengapa telur adalah salah sebuah pelembap yang terbaik untuk mencegah rambut kering. Dengan teknik yang sama juga, campuran tiga biji telur yang dipukul itu boleh disapu di seluruh rambut sebelum dibiarkan.
Rawatan ini boleh dibuat berulang kali dalam sehari asalkan ianya tidak mengakibatkan iritasi kulit kepala. Sekiranya anda konsisten, kesan perubahan yang lebih baik pasti boleh dilihat dalam kurang dari sebulan.
Sumber: Tupai.my
0 comments:
Post a Comment