Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa apabila “Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku” menjadi tema hari kemerdekaan yang ke-56 yang akan disambut pada 31 Ogos ini.
Tema itu dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara. Selain itu, konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.
Sempena tarikh keramat, 31 Ogos setiap tahun yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat negara kita, Guru Besar dan seluruh warga SK Jeram Batu 20 memohon marilah kita seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan terus berjuang mengekalkan kemerdekaan yang kita nikmati sekarang ini. Tanamkan semangat kemerdekaan melalui cara pemikiran minda kelas pertama sekali gus mempertahankan keamanan yang telah diperjuangkan oleh para pemimpin negara, sama ada yang terdahulu, masa kini atau akan datang.
Kita sebagai rakyat Malaysia, seharusnya berasa bangga dengan amalan budaya budi pekerti yang tinggi yang telah berjaya menyatupadukan seluruh rakyat berbilang kaum sekali gus mengekalkan kedaulatan negara Malaysia yang kita cintai. Selamat Hari Kemerdekaan ke-56: “Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku” dan Selamat Hari Malaysia ke-50. Dirgahayu Malaysiaku tercinta.
0 comments:
Post a Comment