Saturday, August 17, 2013

Khutbah Jumaat : Persaudaraan sesama Islam

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Ikatan persaudaraan merupakan satu prinsip dalam Islam yang ditanam secara mendalam dalam hati kaum muslimin. Keteguhan ikatan persaudaraan sesama Islam amat dititikberatkan dalam usaha untuk mewujudkan ukhuwah islam yang kukuh. Malah, persaudaraan sesama islam yang dipertautkan dan dijalinkan atas dasar akidah adalah lebih kuat memandangkan umat Islam berpegang kepada tunjang dan dasar yang sama iaitu menjadikan ad-din sebagai asas kepada tali persaudaraan. Betapa pentingnya kita menjaga persaudaraan sesama islam kerana ia merupakan ingatan dan pesanan sebagaimana yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w :
“Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara”. (Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)

Islam mengajar umatnya agar bersatu dan menegaskan kepada semua umatnya supaya hidup bersaudara sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10:
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”.

Islam menyuruh umatnya agar peka dengan perkembangan dan hal ehwal saudara-saudaranya sesama Islam. Menyuruh umatnya membantu saudaranya yang kurang berkemampuan dan tertindas. Ikatan persaudaraan seagama atau seakidah adalah sangat mulia dan memberi kesan besar dalam pembentukan kesatuan umat. Tanpanya masyarakat akan berpecah-belah, menjadi lemah, malah tidak mustahil suatu ketika diperkotak-katikkan. Oleh kerana itu, apabila bersaudara, kita perlulah mengamalkan sikap yang selari dengan pemupukan persaudaraan seperti tolongmenolong dan bekerjasama khususnya dalam urusan kebajikan dan mendapat manfaat.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 71:
“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik dan melarang daripada berbuat kejahatan”.

Jika wujud dikalangan muslim perbezaan pendapat dan ideologi dalam memahami sesuatu cabang ilmu atau didalam politik kepartian atau sebagainya, itu tidak bermakna kita harus memutuskan ikatan persaudaraan yang dituntut untuk dipereratkan didalam islam. Sejauh mana sekalipun kita berbeza pendapat disebabkan perbezaan kefahaman masing-masing terhadap nass syarak, namun Islam tidak membenarkan sama sekali perpecahan berlaku. Jika perbezaan tersebut berlaku berasaskan perbezaan ijtihad para ulama’. Demikian juga perbezaan pendapat ini menjadi satu aspek yang tidak mungkin dapat dipisahkan dari sifat tabi’e manusia. Bahkan sebenarnya perbezaan pendapat itu menjadikan Islam itu agama yang lebih dinamis dan fleksibel. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w ada bersabda:
“Jangan kamu memutuskan hubungan, tidak bertegur sapa, membenci dan berhasad dengki, sebaliknya jadilah hamba Allah yang bersaudara”. (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini memberi peringatan kepada kita supaya memelihara hubungan persaudaraan antara satu sama lain. Sikap benci membenci, dengki, khianat dan seumpamanya boleh mengakibatkan permusuhan dikalangan umat islam dan boleh membawa kepada perpecahan ummah.

Dalam memelihara ikatan persaudaraan ini, Islam memberikan beberapa garis panduan antaranya:

1. Setiap Muslim mestilah bertindak membantu saudaranya seperti satu jasad, ini dapat diperhatikan dari sabda Rasulullah s.a.w:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal rasa cinta dan sayang serta saling mengasihi seperti satu jasad, apabila anggota badan yang satu sakit, maka yang lain ikut merasakan sakit dengan demam dan tidak boleh tidur”. (Riwayat Muslim)

Keteguhan ikatan persaudaraan sesama Islam amat dititikberatkan dalam mewujudkan sifat kasih mengasihi sesama insan kerana ia dapat membina kesatuan umat Islam yang kukuh. Malah, persaudaraan yang dijalinkan atas dasar kasih sayang ini akan mendapat rahmah dan kurniaan yang besar dari Allah.

2. Seorang muslim perlu mengelakkan daripada perasaan tiada bersefahaman sesama sendiri, malah tidak membuat tuduhan liar antara satu sama lain. Sekiranya timbul perkara yang tidak memuaskan hati, perlu diadakan perbincangan dalam semangat musyawarah, bersepakat dan bekerjasama dalam perkara dasar. Tetapi dalam sesetengah hal yang tidak mendapat persetujuan khususnya membabitkan isu ranting atau furu’ maka perlulah bertolak ansur, berlapang dada serta saling bermaaf-maafan. Setiap muslim juga perlu mengikis sifat-sifat tercela yang wujud didalam mereka seperti sifat dengki sesama sendiri. Kerana sifat hasad menyebabkan terputusnya hubungan persaudaraan sesama Islam, begitu juga sifat suka membuat fitnah, mengumpat, buruk sangka serta mencari-cari salah dan aib sesama Muslim.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 12:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani”. 

Justeru itu, setiap muslim diingatkan supaya tidak mudah percaya kepada sesuatu berita yang disampaikan kepadanya, terutama daripada sumber yang meragukan atau sukar dipercayai.Sikap suka mendengar dan mempercayai cakap orang juga tidak digalakkan kerana boleh jadi khabar yang disampaikan itu palsu dan sengaja direka bagi tujuan menjatuhkankan maruah atau memecah belahkan kesatuan ummah. Penegasan ini telah dirakamkan oleh Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan”.

Islam sangat mengalakan hubungan baik antara satu sama lain, ini dapat diperhatikan dalam hubungan sesama islam, Islam datang dengan rahmat untuk menyatukan hati-hati, merapatkan barisan dan mengarahkan kepada satu kesatuan ukhuwah. Di samping itu menjauhi sebab-sebab yang boleh membawa kepada perpecahan yang mengakibatjan menjadikannya lemah. Tujuan kesatuan ini agar dapat mewujudkan nilai-nilai yang luhur dan mulia, agar manusia dapat beribadah kepada Allah SWT.

Ikatan yang diguna pakai oleh Islam untuk menyatukan umatnya merupakan ikatan yang kukuh, tidak sama dengan ikatan yang lain, tidak seperti ikatan tali yang mengikat sesuatu simpulan akan rosak apabila tali itu musnah. Berbeza dengan iktan ukhuwah didalam Islam, ia adalah ikatan yang paling kuat, lebih kuat daripada ikatan darah, ikatan warna kulit, ikatan bahasa, ikatan tanah air. Ia adalah ikatan iman, dimana para muslimin berada dibawahnya. Dengan ikatan iman seorang mukmin dapat mempereratkan persaudaraannya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Tidak sempurna iman sesorang itu, sehinggalah ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihani dirinya sendiri”.

Inilah dasar persaudaraan Islam yang diasaskan diatas tuntutan agama dan dipelihara dengan ruh keimanan dengan perasaan mahabbah yang sejati menjadi terasnya. Maka dengan semangat ini, terbinannya sifat saling hormat-menghormati, bantu membantu, berusaha untuk mewujudkan kebaikan, menghindarkan kejahatan dan ianya menjadi amalan hidup muslim dalam masyarakatnya. Inilah di antara petunjuk hadis yang patut diambil perhatian oleh setiap orang Islam untuk memelihara keteguhan dan keutuhan perpaduan dalam hubungan persaudaraan kerana dengan memeliharanya wujudlah perasaan muhibbah diselubungi oleh suasana aman damai.

Kesimpulan dan pengajaran yang dapat diambil daripada khutbah ini adalah:

1. Kita sebagai umat Islam adalah bersaudara, maka kewajipan kita adalah untuk memperkukuhkan tali persaudaraan kita sepanjang masa.

2. Untuk mengekalkan persaudaraan sesama Islam kita hendaklah sentiasa menjaga diri kita dan memeliharanya supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakan hubungan persaudaraan kita, seperti menjaga lidah kita agar tidak menyebut perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

3. Senantiasa berpegang teguh kepada Ajaran al-Quran dan al-Sunnah agar kita tidak terkeluar dari landasan yang telah digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah.
"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”. (Al-Hujurat : 10)

0 comments:

Post a Comment