Saturday, August 03, 2013

Khutbah Jumaat: Menyambut Idulfitri dengan penuh kesyukuran

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana kita masih lagi diberi kesempatan menjalani ibadat puasa di bulan Ramadhan pada tahun ini. Sama ada kita sedar atau tidak, kita sudah berada di fasa terakhir Ramadhan di mana ibadat pada salah satu malam tersebut lebih baik dari seribu bulan. Itulah malam lailatul Qadar yang kita nantikan.

Beruntunglah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam tersebut dengan solat, berzikir, tadarrus al-Quran, berdoa ke hadrat Ilahi dan segala bentuk aktiviti ibadat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 3:
“Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”. 

Mengimbau kembali aktiviti Nabi s.a.w di sepuluh terakhir Ramadhan, Baginda mengambil peluang dengan menggandakan ibadat. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, di mana Ummul Mu`minin ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha mengisahkan tentang akhlak Nabi s.a.w pada sepuluh terakhir Ramadhan. Nabi s.a.w. meningkatkan amalan ibadat, Baginda beriktikaf, menghidupkan malam-malamnya, dan mengejutkan isteri-isterinya untuk sama-sama beribadat.

InsyaAllah dengan izin Allah SWT, lebih kurang enam hari lagi seluruh umat Islam akan menyambut kehadiran 1 Syawal yang bakal menjelma. Kita akan menyambut ‘Idulfitri yang mulia dengan ucapan takbir dan tahmid. Kita akan menyambutnya dengan penuh keceriaan, kesyukuran dan keinsafan, menandakan kemenangan dan kegembiraan kita setelah dapat melaksanakan kewajipan berpuasa sepanjang Ramadhan al-mubarak. Kita berdoa kepada Allah SWT untuk diberikan nikmat panjang usia agar dapat menyambut idulfitri bersama sanak saudara, sahabat handai dan umat Islam seluruh dunia. Kita juga berdoa kepada Allah SWT agar ibadat puasa di samping ibadah-ibadah lain yang telah kita lakukan di sepanjang Ramadhan diterima Allah SWT dan dikurniakan ganjaran pahala yang besar dari sisi-Nya.

Hari raya atau al-‘eid dalam bahasa Arab berasal dari kalimah al-‘aud yang bermaksud kembali. Dinamakan hari raya dengan nama demikian kerana ia kembali, iaitu berulang-ulang pada setiap tahun, atau kerana kegembiraan akan datang kembali dengan munculnya hari raya pada setiap tahun.

Pensyariatan merayakan kemenangan ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:
“…Dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), serta kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur”.

Ayat ini bermaksud setelah kamu menegakkan perintah Allah dengan menunaikan segala ketaatan dan kewajiban, meninggalkan yang haram, menjaga batasan-batasan agama dan menyempurnakan puasa di mana bagi yang sakit dan uzur wajib mengkhadanya. Selepas itu hendaknya kamu mengagungkan Allah setelah menyelesaikan ibadah puasa, semoga kamu termasuk dalam golongan orang-orang yang bersyukur. Ibnu Kathir menjelaskan bahawa sebahagian ulamak menjadikan ayat ini sebagai dalil disyari’atkan takbir dan tahmid sebelum solat sunat Idulfitri.

Dalam kita bergembira menunggu fajar 1 Syawal yang bakal tiba, Islam mengingatkan kita beberapa amalan mulia yang perlu ditekankan. Ini kerana keberkatan menyambut idulfitri bergantung sejauh mana amalan kita menepati kehendak syarak. Di antara amalan yang disarankan oleh Islam dalam menyambut idulfitri adalah:

Pertama : Menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah. Zakat fitrah adalah wajib ke atas setiap muslim. Ini hendaklah ditunaikan sebelum bermula solat sunat Idulfitri. Zakat fitrah bertujuan untuk menyucikan diri dan amalan sepanjang bulan Ramadhan yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan. Maka dengan menunaikan zakat fitrah diharapkan akan dapat menampung segala kekurangan tersebut. Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Rasulullah s.a.w telah menentukan wajibnya zakat fitrah. Satu gantang dari buah tamar atau satu gantang dari syair (gandum) atas setiap orang hamba abdi atau merdeka, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa dari kalangan umat Islam”.
(Riwayat Abu Daud dan Muslim)

Kedua : Merancang keperluan hari raya. Sudah menjadi tradisi rakyat Malaysia setiap kali menjelang hari raya, mereka akan membuat persediaan dengan berbelanja sama ada untuk membeli barangan keperluan diri, ahli keluarga, kuih-muih, hiasan rumah dan lain-lain. Dalam keghairahan berbelanja terkadang kita terikut-ikut dengan hawa nafsu sehingga berbelanja melebihi keperluan sebenar. Perlu diingatkan berbelanja melebihi keperluan atau membazir merupakan musuh utama ajaran Islam. Malah Islam menegaskan mereka yang membazir adalah sekutu syaitan.

Ketiga : Mengucapkan tahniah sesama saudara Islam. Umat Islam digalakkan pada hari raya yang mulia supaya mengucapkan tahniah sesama mereka sebagai tanda kemenangan. Islam mengajar umatnya agar mengucapkan ungkapan: ‘taqabbalullah minna waminka’ yang bermaksud:
“Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu” sesama saudara Islam. Al-Hafiz ibnu Hajar menjelaskan dalam kitabnya Fathul Bari, adalah para sahabat Rasulullah s.a.w. apabila saling bertemu sesama mereka pada hari raya, mereka mengucapkan ungkapan tersebut antara satu sama lain.

Keempat : Bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Umat Islam digalakkan dalam menyambut idulfitri agar bersalam-salaman antara satu sama lain. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Apabila dua orang muslim saling bersalam-salaman, maka akan gugurlah dosa-dosa di antara keduanya”. (Riwayat Al-Baihaqi)

Begitu juga dengan amalan bermaaf-maafan antara satu sama lain di atas kesilapan dan keterlanjuran yang lampau. Amalan bermaaf-maafan ini juga selaras dengan doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w kepada kita sepanjang bulan Ramadan yang bermaksud:

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia, Engkau sukakan kemaafan, maka maafkanlah kami dan kedua ibubapa kami serta seluruh kaum muslimin dan muslimat serta mukminin dan mukminat”. 

Kelima : Ziarah-menziarahi menyambung silaturrahim. Bersempena hari mulia dan penuh berkat yang bakal tiba, marilah kita sama-sama merancang untuk merancakkan lagi amalan ziarah-menziarahi sambil saling bermaaf-maafan sesama kita. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Sesungguhnya amalan demikian dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan memperkukuhkan ukhuwah. Ziarah menziarahi dan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan amat digalakkan dalam Islam. Hadis daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim”.
(Riwayat al-Bukhari)

Kita juga digalakkan supaya menziarahi kubur ibubapa serta sanaksaudara yang telah meninggal dengan menghadiahkan bacaan ayat al-Quran. Dengan harapan semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Kita perlu ingat bahawa objektif utama madrasah Ramadhan adalah untuk melahirkan hamba Allah yang bertakwa. Kita telah buktikan ketakwaan dengan sentiasa mengingati Allah SWT dan melawan hawa nafsu di sepanjang Ramadhan ini. Maka, kita juga perlu buktikan ketakwaan semasa menyambut hari raya kelak. Allah SWT menetapkan ‘Idulfitri sebagai hari kegembiraan dan kemenangan bagi orang yang beriman dan bertakwa.

Dalam keghairahan menyambut hari raya yang bakal menjelang, janganlah kita menyambutnya dengan campur-adukkan dengan amalan yang dilarang atau yang diharamkan agama. ‘Idulfitri sama sekali tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan-perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah SWT khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.

Sebagai kesimpulan, apa yang diharapkan daripada sambutan hari raya yang akan menjelang bukanlah semata-mata kegembiraan atau keseronokan. Akan tetapi, yang lebih penting dan lebih utama ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Marilah kita sama-sama merancang agar sambutan Idulfitri pada tahun ini merupakan sambutan yang diberkati Allah SWT.

Di samping itu, janganlah kita mengabaikan pula malam-malam terakhir di bulan Ramadhan yang sedang kita lalui. Rebutlah peluang kebaikan yang begitu banyak yang disediakan oleh Allah SWT kepada kita.

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada ketaqwaan; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)”.
(Asy-Syams : 7-10)

0 comments:

Post a Comment