Friday, July 19, 2013

Khutbah Jumaat: Penghayatan Al-Quran

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Al-Quran merupakan kalamullah yang diturunkan kepada baginda Rasulullah s.a.w. melalui Malaikat Jibril A.S. Antara misi utama al-Quran adalah untuk membangunkan akhlak manusia. Membangun akhlak ertinya membina, membentuk dan meningkatkan akhlak manusia agar mendapat keredhaan Allah SWT. Fungsi al-Quran yang menjadi pencetus akhlak terpuji, bukan sahaja kepada masyarakat Islam, bahkan untuk semua manusia seperti seruan supaya berilmu, beriman, bertaqwa dan beramal soleh.

Al-Quran adalah mukjizat Rasulullah s.a.w Allah telah menunjukkan betapa agungnya isi kandungan al-Quran. Antara hikmah al-Quran jika dibaca dengan penuh penghayatan nescaya dapat mententeramkan jiwa, mengalir satu perasaan kedamaian di sanubari pembacanya dan sebagai ubat penawar hati yang duka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 82,
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya”.

Dalam masa 23 tahun, Rasulullah s.a.w telah menerima wahyu secara berperingkat-peringkat. Menurut Imam as-Sayuti R.A, bahawa jumlah ayat al-Quran adalah sebanyak 6,236 ayat, dengan 74,439 kalimah dan 325,345 huruf. Demikianlah telitinya mereka yang mencintai al-Quran hingga setiap huruf dapat diperhitungkan. Sekalipun ketika itu belum ada alat-alat pengiraan yang canggih.

Allah menurunkan al-Quran adalah sebagai petunjuk dan peringatan agar manusia mengetahui bahawa kehidupannya itu, sebenarnya tidak bebas mengikut kehendak hati. Tetapi ada kuasa yang mengatur dan menentukan. Manusia sebenarnya tidak dapat menentukan kehendaknya sendiri, seperti apa yang dia kehendaki, hanya setakat usaha dan ikhtiar sahaja yang dapat diperbuat. Manusia boleh merancang, tetapi ketentuan berada di tangan Allah SWT.

Antara fungsi al-Quran adalah sebagai al-Huda (petunjuk), alFurqan (pemisah antara yang haq dan batil), al-Mubayyin (penjelas), ar-Rusyd (pengarah kepada setiap hal yang berguna), ar-Rahmat (sebagai rahmat), an-Nur (penerang kehidupan), as-Syifa’ (penyembuh), dan lain-lain. Itu semua membuktikan betapa agungnya al-Quran.

Sebagai contoh, merujuk kepada sejarah Saidina Umar bin AlKhattab R.A. yang pada mulanya adalah sebagai manusia yang bengis dan garang. Beliau telah memeluk Islam apabila beliau mendengar ayat-ayat al-Quran di bacakan. Oleh kerana hebatnya aura yang terdapat di dalam al-Quran, maka cairlah hati Umar R.A. yang keras itu, sehingga dengan serta merta menjadi lembut dan sedar bahawa ajaran Nabi Muhammad s.a.w sungguh indah dan mulia. Maka Umar tidak berfikir panjang lagi, lantas memeluk agama Islam dengan sepenuh hati dan ikhlas. Peristiwa ini telah membawa Islam berkembang di padang pasir yang tandus. Inilah sebahagian keagungan al-Quran, yang dapat melembutkan hati yang keras dan kasar.

Fungsi penampilan al-Quran ini, ialah apabila kita hendak mencari petunjuk menuju jalan hidup yang paling benar, jawabnya tiada lain kecuali mengikuti petunjuk al-Quran. Demikianlah juga jika kita ingin menilai suatu perkara apakah hal itu akan membawa manfaat atau mudarat bagi manusia, dibenarkan atau tidak oleh Allah, maka jawapannya yang paling tepat adalah semuanya ada di dalam al-Quran.

Al-Quran memberi pengajaran mengenai hubungan sesama manusia. Misalnya, ilmu yang berhubungan dengan masyarakat, pergaulan, ekonomi, kebudayaan yang semuanya telah dijelaskan dengan cara yang sangat menarik. Demikian juga mengenai sejarah silam, telah dijelaskan dengan kisah-kisah manusia di masa lampau.

Firman Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 138:
(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”.

Hari ini kita berada dalam suasana yang tidak memberangsangkan, disebabkan kurangnya penghayatan sebahagian umat Islam terhadap al-Quran. Keadaan ini menjelaskan seolah-olah umat Islam kurang yakin terhadap keistimewaan ajaran al-Quran. Kesan dari penyelewengan dan pengabaian ajaran tersebut nampak jelas dimana ramai umat Islam hari ini dihimpit dengan pelbagai masalah hidup seperti kemiskinan, kelaparan, kekecewaan baik dalam diri sendiri, mahupun dalam masyarakat.

Gejala sosial yang melanda umat Islam hari ini merupakan satu contoh yang paling ketara bahawa umat Islam membelakangkan alQuran. Senario yang berlaku menunjukkan orang-orang Islam terlibat dalam gejala sosial adalah sesuatu yang memalukan.

Al-Quran telah menjanjikan balasan buruk terhadap mereka yang ingkar dari petunjuk al-Quran seperti firman-Nya dalam surah Taha ayat 124:
“Dan sesiapa yang bepaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

Nabi Muhammad s.a.w adalah pembawa risalah kemanusiaan yang menyeluruh. Manalaka al-Quran pula sebagai pedoman risalahnya, menyelesaikan segala persoalan yang dihadapi manusia. Masalah hubungan makhluk dengan penciptanya. Masalah hubungan antara manusia dengan sesama manusia.

Al-Quran yang diturunkan adalah sebagai pencetus semangat revolusi terbesar, mematahkan semua bentuk kejahilan dan kesyirikan. Ia adalah petunjuk, penjelas dan pemisah antara yang haq dan yang batil.

Sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran dalam surah alBaqarah ayat 185:
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah…”.

Ayat ini mengandungi pengertian bahawa al-Quran tampil di tengah-tengah manusia dalam tiga fungsi :
1. Sebagai petunjuk bagi umat manusia.
2. Sebagai pemberi penjelasan tentang petunjuk-petunjuk Allah.
3. Sebagai pembeza antara yang haq dan yang batil. 

Menurut Imam Ghazali R.A.: 
“Barangsiapa yang berpegang teguh dengan al-Quran, nescaya ia akan terbimbing untuk mendapat petunjuk, dan barangsiapa mengamal kandungannya nescaya ia akan berjaya dan bahagia”.

Apa yang menjadi persoalan ialah sejauh manakah umat Islam dapat menguasai bacaan al-Quran dengan betul, memahami dan mengamalkan peraturan-peraturan yang terkandung di dalamnya.

Rasulullah s.a.w telah memberi ingatan kepada mereka yang mengabaikan pengajaran dari al-Quran sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya seseorang yang di dalam dirinya tidak tersemat sesuatu dari al-Quran adalah seperti sebuah rumah kosong”. (Riwayat at-Tirmidzi).

Hadis ini memberikan gambaran yang begitu indah, sehingga kita dapat membayangkan bagaimana keadaan jiwa yang kosong, hidup tanpa pedoman dan tujuan. Betapa malangnya nasib jiwa itu, sekalipun secara jasmani nampak segala keperluan mencukupi, tetapi apa yang dirasakan hanyalah kekosongan dan kehampaan dalam batin dan jiwa.

Pengajaran yang diperolehi melalui al-Quran yang diturunkan Allah, antaranya :
1. Al-Quran membawa misi utama untuk membangun akhlak manusia. 
2. Al-Quran membawa semangat revolusi terbesar menghapuskan semua bentuk kejahilan dan kesyirikan.
3. Al-Quran menjadi panduan yang dapat menyelesaikan segala masalah hidup yang dihadapi manusia sehingga ke akhir zaman.
4. Al-Quran adalah panduan hidup setiap manusia sehingga ke akhir zaman.

Oleh itu, kita tidak boleh berpisah dan dipisahkan dengan al-Quran kerana al-Quran mengandungi banyak pengajaran. Oleh itu, setiap umat Islam hendaklah;
1. Wajib mempelajari pembacaan al-Quran dengan betul.
2. Hendaklah memahami isi kandungan al-Quran walaupun terjemahannya sahaja.
3. Berusaha mengambil iktibar, menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan 
buta”. (Taha : ayat 124)

0 comments:

Post a Comment