Wednesday, December 05, 2012

120 Rakyat Malaysia Berlepas Ke Gaza Untuk Misi Solidariti

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

SEPANG - Seramai 120 orang rakyat Malaysia yang menyertai Misi Solidariti Gaza, Rabu berlepas ke Gaza, Palestin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka terdiri daripada ahli politik, seniman, tokoh masyarakat, atlet dan anggota badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili seluruh lapisan masyarakat sebagai tanda sokongan moral rakyat Malaysia kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat konflik berdarah antara Israel dan Hamas.

Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Bhd, Abdullah Zaik Abd Rahman yang mengucapkan selamat jalan kepada rombongan Malaysia itu berkata sumbangan RM1.8 juta akan turut diberi kepada mereka yang memerlukannya.

"Ini merupakan rombongan terbesar Malaysia untuk menghantar bantuan kecemasan kepada saudara kita di sana. Misi ini bertujuan menyatakan solidariti dan sokongan moral seluruh rakyat Malaysia kepada mangsa serangan Israel di Palestin, selain menyatakan sokongan hak rakyat terhadap negara mereka dalam krisis Palestin-Israel," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata misi itu juga sebagai tanda meluahkan perasaan tidak puas hati rakyat Malaysia terhadap tindakan zalim Israel di bumi Palestin.

Abdullah berkata anggota misi itu juga akan melawat hospital, mangsa yang kehilangan ketua keluarga dan anak yatim untuk melihat keperluan asasi mereka.

Sejak Aman Palestin beroperasi pada 2004, dana berjumlah RM12 juta telah dihantar ke Palestin, termasuk RM4 juta tahun ini.

Sumber BERNAMA 5/12/2012

0 comments:

Post a Comment