Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Guru-Guru Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) mengemukakan resolusi 11 perkara kepada kerajaan untuk membela nasib pendidik dan pesara guru, termasuk penubuhan bank guru. Penubuhan bank yang dicadang diterajui Yayasan Guru Malaysia Berhad itu bertujuan memberi manfaat kepada 430,000 guru dan 5.5 juta murid di seluruh negara.
Tabung Kebajikan Guru Presiden, Jemale Paiman berkata, untuk manfaat pesara guru pula, pihaknya mencadangkan penubuhan organisasi mirip Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dikenali Lembaga Tabung Kebajikan Guru yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan pendidik dan keluarga mereka.
Beliau berkata, resolusi lain termasuk menyerap lebih 60,000 guru lepasan diploma, terutama berusia 50 tahun ke atas dalam skim siswazah tanpa temu duga.
Bagi tujuan itu, kerajaan disaran mewujudkan Skim Perkhidmatan Bersepadu Pelajaran Persekutuan. Skim yang dicadangkan ialah gabungan Skim Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma dan Skim Perkhidmatan Siswazah Tanpa Temu Duga pada gred DG 42.
“Kelonggaran khas menerusi skim istimewa kepada mereka berusia 50 tahun ke atas untuk diserapkan dalam skim siswazah sudah dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan sesuai diamalkan oleh Kementerian Pelajaran pula,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Resolusi itu diputuskan pada mesyuarat Exco Khas KONGRES, pada Sabtu lalu dan dihantar kepada kementerian dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut.
Cadangan lain ialah:
Menubuhkan majlis guru bertaraf profesional, berdaftar dan bertauliah untuk menjaga dan mengawal pendidik. Ia berfungsi sebagai pengawal dan mengambil tindakan tatatertib atau disiplin, denda dan menggantung atau menamatkan perkhidmatan pendidik yang berkhidmat dengan kerajaan atau swasta, institusi pengajian tinggi dan pusat tuisyen.
Menukar pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) kepada biasiswa. Pelajar yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) layak untuk menerimanya.
Sumber BH Online 18/12/2012
0 comments:
Post a Comment