Tuesday, November 06, 2012

Sekolah Antarabangsa Labuan Pusat Pengajian Serba Canggih

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

LABUAN - Perasmian bangunan baharu Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) di Tanjung Aru Selasa mencerminkan komitmen kerajaan dalam menunaikan janjinya untuk memperkasa infrastruktur pendidikan dengan menyediakan pendidikan berkualiti kepada generasi muda.

Berucap pada majlis perasmian bangunan itu, ketua setiausaha Kementerian Kewangan (MoF) Datuk Seri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata kementerian berkenaan terlibat sepenuhnya dalam penyeliaan projek itu sepanjang tempoh pembinaannya.

"LIS baharu ini dilengkapi kemudahan yang mengagumkan, termasuk sebuah auditorium yang mampu meningkatkan kualiti suasana pembelajaran dan kondusif untuk tujuan pengajaran," katanya.

Sambil menyatakan premis baharu itu akan menjadi satu lagi mercu tanda Labuan, beliau berkata MoF akan mengkaji kemungkinan membina kemudahan asrama bagi menarik pelajar dari Sabah, Sarawak dan Brunei untuk belajar di sekolah berkenaan.

Sementara itu, ketua pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) Ahmad Hizzad Baharuddin berkata dengan siapnya bangunan baharu itu, kini, Labuan memiliki sebuah pusat pendidikan serba canggih.

Sumber BERNAMA 6/11/2012

0 comments:

Post a Comment