Tuesday, November 20, 2012

Program Pembangunan Profesional Berterusan Untuk Guru Akan Dipertingkat

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Program Pembangunan Profesional Berterusan untuk guru akan dipertingkat dengan memberi tumpuan terhadap keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah mulai tahun depan. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program itu, yang turut melibatkan guru pelatih, akan merangkumi latihan-latihan terbaik sepanjang berkhidmat sebagai guru.

"Mereka akan memperoleh peluang pembangunan kerjaya yang menarik merentas beberapa laluan kerjaya, dengan kemajuan berasaskan kompetensi, dan bukan bergantung kepada tempoh perkhidmatan," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini pada Selasa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memastikan semua guru menggunakan sepenuhnya keluwesan yang diberikan dalam isu berkaitan penjadualan kurikulum, penyusunan pengajaran, pendekatan pedagogi dan pentaksiran berasaskan sekolah.

Selain itu, katanya, budaya bimbingan rakan sejawatan untuk meningkatkan kecemerlangan dan standard profesional kerjaya guru menerusi pementoran, pembangunan dan perkongsian sentiasa diberi galakan. Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata guru yang berkualiti akan membina sistem pendidikan yang berkualiti dan seterusnya melahirkan insan yang berkualiti.

Justeru, beliau berkata sistem pendidikan negara perlu mempunyai mekanisme untuk menentukan guru-guru yang dilahirkan adalah benar-benar kompeten dan memenuhi standard yang ditetapkan. Katanya transformasi keguruan sebagai profesion pilihan yang merupakan satu daripada 11 anjakan dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menekankan kepada peningkatan pembelajaran dan pembangunan guru.

"Bagi melaksanakannya, kita perlu meningkatkan kualiti profesion perguruan supaya dapat menghasilkan guru-guru yang cemerlang. Kita mahu jadikan profesion perguruan sebagai profesion yang diminati dan menarik perhatian ramai pelajar," katanya. Oleh itu, beliau berkata insentif utama untuk menggalakkan pelajar cemerlang memasuki profesion perguruan adalah dengan menawarkan skim gaji yang menarik dan menyediakan tempat kerja yang moden.

Muhyiddin berkata sistem pendidikan negara yang mengalami beberapa transformasi yang dirancang adalah bagi melahirkan guru-guru yang memiliki kemahiran abad ke-21 yang akan mempunyai kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada tahap tinggi. Beliau berkata kemahiran berfikir dan pemikiran kritis disertai dengan keupayaan berkomunikasi serta memiliki keyakinan kendiri perlu dijana menerusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang holistik oleh guru.

"Pendekatan-pendekatan dalam pengajaran yang dinamik ini akan melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara mencapah dan menerokai kebenaran," katanya. Beliau turut meminta semua guru, secara berterusan berusaha memastikan pendidikan di negara ini berkembang maju bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi juga untuk generasi akan datang.

Muhyiddin juga berharap pelajar yang menamatkan persekolahan mereka boleh bertutur dalam pelbagai bahasa dan mampu berkolaborasi merentas budaya dan geografi. "Kita tidak perlu takut atau risau dengan kemungkinan generasi akan datang akan hilang tradisi, tetapi dengan pengetahuan baharu dan keupayaan berfikir secara kritis, generasi dan guru-guru akan datang tetap relevan dalam pasaran pekerjaan," katanya.

Sumber BERNAMA 20/11/2012

0 comments:

Post a Comment