Wednesday, November 21, 2012

Pelajar perlu mampu berfikir dan menganalisis

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

PETALING JAYA - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tidak mustahil bagi universiti di Asia menjadi lebih hebat atau setidaknya berdiri sama aras dengan institusi pendidikan terkenal dunia barat seperti Oxford dan Havard.

Beliau berkata Asia telah melahirkan banyak ahli falsafah hebat seperti Hamka di Indonesia, Confucius di China selain pujangga terkenal dari Malaysia, Pakistan dan India yang jika dikaji pemikiran mereka mampu membentuk pemikiran bernilai tinggi di kalangan pelajar.

Yang penting ialah proses berfikir dan menganalisis perlu dipupuk pada setiap pelajar, katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan 'School of Tomorrow, Empowering Lifelong Learners' di sini hari ini.

Beliau berkata penduduk di Timur atau Asia tidak harus terus menjadi 'pak turut' kepada corak pemikiran Barat yang kononnya merupakan sistem yang sempurna sampai bila-bila yang akan menentukan masa depan manusia.

Persidangan yang bermula sejak semalam itu dihadiri kira-kira 600 orang delegasi dari sembilan negara yang membincangkan konsep pembelajaran masa hadapan yang sesuai dengan visi Malaysia mengenai pendidikan.

Sumber BERNAMA 21/11/2012

0 comments:

Post a Comment