Monday, November 19, 2012

Muhyiddin mahu guru dan ibu bapa komited perkembangkan kreativiti pelajar

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Muhyiddin bergambar bersama kontinjen negara yang menyertai World Robotic Olympiad (WRO) 2012 ketika meraikan para peserta pertandingan tersebut di Bangunan Parlimen. Kontinjen Malaysia telah dinobatkan juara keseluruhan dengan memenangi dua pingat emas, dan perak serta lapan gangsa dalam pertandingan yang disertai 405 buah pasukan dari 30 buah negara. - foto BERNAMA
KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu guru dan ibu bapa lebih komited dalam mengembangkan lagi keupayaan dan kreativiti pelajar serta mengasah pemikiran mereka agar lebih positif dan progresif melalui aktiviti kokurikulum yang diceburi. Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai ibu bapa, mereka mampu mengenal pasti minat dan kecenderungan anak-anak mereka sejak dari awal lagi, begitu juga dengan guru di sekolah.

"Namun, jika minat dan kecenderungan ini tidak diperkukuhkan melalui sokongan dan dorongan yang sewajarnya, ia akan terbantut dan terhenti setakat itu sahaja. Amat merugikan jika keadaan ini berlaku," katanya ketika meraikan kejayaan Kontinjen Malaysia di World Robot Olympiad (WRO) Kuala Lumpur 2012, di Bangunan Parlimen, di sini Isnin. Katanya tidak dapat dinafikan bidang kokurikulum termasuk sukan, melengkapkan dimensi pendidikan seseorang pelajar melalui pelbagai aktiviti menarik dan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menyeronokkan.

Katanya bidang itu juga merupakan landasan terbaik untuk memperkukuhkan interaksi dan memupuk integrasi pelbagai kaum di negara ini serta tempat bagi mereka mempelajari kepimpinan, meningkatkan kemahiran sosial, persaingan yang sihat, menyelesaikan masalah secara kreatif dan bekerja sebagai satu pasukan. "Namun, matlamat ini hanya akan dapat dicapai jika guru-guru dan ibu bapa turut bersama-sama memainkan peranan, memberi dorongan serta menyokong penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum," katanya.

Menyatakan rasa kagumnya dengan sikap positif yang ditunjukkan peserta WRO terhadap sains dan teknologi serta peserta pertandingan F1 In Schools, Muhyiddin berkata kedua-dua pertandingan itu berjaya meningkatkan keyakinan diri serta daya saing pelajar secara positif yang turut meletakkan mereka di persada dunia pada usia muda. "Yang paling penting, kedua-duanya amat bergantung kepada kebolehan mereka menguasai bidang sains dan teknologi.

"Jadi, saya berharap supaya kedua-dua aktiviti ini diberikan ruang yang secukupnya untuk berkembang luas agar lebih ramai pelajar dapat turut terlibat, sekali gus meningkatkan minat mereka terhadap bidang sains dan teknologi," katanya.

Sumber BERNAMA 19/11/2012

0 comments:

Post a Comment