Saturday, November 24, 2012

‘Segalanya untuk wanita’

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Saluran televisyen wanita pertama negara, Femina Channel yang dijangka memulakan operasi penyiaran pada awal tahun depan berupaya memperkasakan lagi peranan dan pencapaian wanita di negara ini selain membantu dalam menterjemahkan nilai budaya tempatan khususnya di kalangan remaja wanita.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, saluran baru diterbitkan syarikat inkubator Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM Corp), Panomax (M) Sdn Bhd (Panomax) itu juga menjadi pengiktirafan penting terhadap sumbangan besar kaum wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara selama ini.

“Peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara terserlah sejak negara mencapai kemerdekaan lagi apabila ramai tokoh wanita yang terulung turut membantu memperkasa dan membangunkan negara tercinta ini.

“Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kaum wanita banyak berjasa kepada negara dan kita lihat hari ini pencapaian mereka berada di tahap yang membanggakan.

“Dengan peningkatan peluang pendidikan dan pekerjaan di kalangan masyarakat, kaum wanita semakin bergerak progresif dan berupaya memberi sumbangan aktif kepada pembangunan negara,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Femina Channel - Saluran TV Wanita Malaysia di Taman Teknologi Malaysia, di sini, semalam.

Saluran dengan tema ‘Segalanya untuk Wanita’ yang akan disiarkan secara percuma itu dipancarkan melalui satelit Measat selain turut diperluaskan ke beberapa negara Asia termasuk Indonesia, Brunei, Singapura , Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar tidak lama lagi. Rosmah berkata, saluran itu juga boleh menjadi landasan menyalurkan maklumat berfaedah dengan menyiarkan program berunsur pendidikan dan keluarga.

“Pengisian program di sesuatu saluran televisyen harus memenuhi cita rasa tempatan tanpa membelakangkan budaya luhur yang mengandungi nilai masyarakat. Bagi mengelak kemudaratan, hala tuju sesuatu program perlu dipantau dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, apa yang bakal disajikan kepada penonton kelak tidak hanya untuk hiburan semata-mata, sebaliknya turut mendidik masyarakat.

“Memandangkan Femina Channel ini baru dilancarkan, maka program diterbitkan kelak perlu diadun dengan kreatif dan inovatif agar mesej dapat disampaikan kepada penonton yang semakin matang dalam membuat perbandingan dengan saluran televisyen lain baik di peringkat tempatan atau antarabangsa.

“Oleh itu, kecanggihan teknologi dan pemikiran kreatif amat penting dan saya berharap saluran ini dapat menyahut cabaran itu dengan jayanya, sekali gus mencapai kejayaan seperti yang diharapkan,” katanya.

Sumber myMetro 24/11/2012

0 comments:

Post a Comment