Saturday, November 24, 2012

Jangan ringan tangan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

PUTRAJAYA - Guru dan warden asrama diingatkan tidak sesekali mengambil tindakan sewenang-wenangnya seperti memukul dan menampar pelajar kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kecederaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurutnya, mereka tidak boleh bertindak sesuka hati ke atas pelajar, sebaliknya perlu mengikut prosedur yang sudah digariskan.

“Kita bimbang sekiranya tindakan membabitkan fizikal boleh menimbulkan kecederaan kepada pelajar. Mereka tidak boleh sesuka hati bertindak, malah nak merotan pun bukan senang,” katanya pada sidang media selepas sambutan Maal Hijrah 1434/2012 peringkat Kementerian Pelajaran, di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes 17 pelajar Sekolah Seni Johor Bahru (SSJB), Johor, yang mendakwa dipaksa menanggalkan seluar dan melakukan tekan tubi dalam kejadian 5 November lalu.

Dr Mohd Puad berkata, pihak sekolah itu sudah memanggil ibu bapa pelajar terbabit untuk berunding menyelesaikan perkara berkenaan secara muhibah. “Nampaknya tidak ada isu lagi membabitkan kes ini. Malah, guru terbabit mengaku menampar dua pelajar dalam keadaan tidak sedar serta tidak sengaja.

“Jika benar menimbulkan kecederaan pelajar, kita meminta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mengambil tindakan sesuai terhadap guru terbabit,” katanya.


Sumber myMetro 24/11/2012

0 comments:

Post a Comment