Wednesday, February 05, 2014

PIBG perlu tingkat peranan sebagai rakan kongsi

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

NANCY Shukri menyampaikan bantuan kepada seorang daripada murid
SK Sebuyau Ensengei pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal
Persekolahan 1Malaysia di sekolah berkenaan di Simunjan, Sarawak.
SIMUNJAN 4 Feb. - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu meningkatkan peranan mereka sebagai rakan kongsi bagi membantu menyelesaikan masalah yang berlaku di sekolah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, peranan itu perlu bagi memastikan pembangunan sekolah yang baik dapat memberi manfaat kepada pelajar.

Katanya, terdapat kes di mana apabila wakil rakyat sudah mengeluarkan peruntukan namun PIBG sekolah menghalang peruntukan berkenaan.

"Hal sebegini tidak seharusnya berlaku kerana akan mengundang salah faham. Lebih membimbangkan lagi, fitnah mengenai perkara itu boleh tersebar dengan cepat terutamanya dalam laman sosial.

YB Hajjah Nancy Shukri.
"Apa yang dihasratkan oleh wakil rakyat itu untuk melihat perkembangan pembangunan di sekolah tidak tercapai sehingga ada pihak yang mempersoalkan di manakah peruntukan yang telah diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia kepada 59 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebuyau Ensengei di sini semalam.

Tambah Nancy, pihak sekolah juga diminta tampil dan tidak menyembunyikan apa juga kekurangan infrastruktur bagi kemudahan pendidikan sekolah bagi membolehkan bantuan sepatutnya dapat disalurkan.

"Kerjasama pihak sekolah untuk memanjangkan perkara tersebut terus kepada kerajaan amat penting agar kualiti pembangunan sekolah dapat dipelihara.

"Saya meminta agar guru dan ibu bapa menanam cita-cita tinggi dan berpandangan jauh untuk sentiasa memperbaiki mutu dan prestasi sekolah.

"Tidak perlu takut memohon untuk kebaikan, kami sentiasa membantu. Tetapi jika pihak guru dan ibu bapa tidak memohon, bagaimana kerajaan tahu apa keperluan pihak sekolah," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Rabu 5 Februari 2014

0 comments:

Post a Comment