Monday, February 24, 2014

Kajian semula pelaksanaan PBS

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Dr. Khair Mohamad Yusof.
Lima tindakan segera diambil

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan mengambil lima tindakan segera susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu kajian menyeluruh terhadap pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, ia termasuk menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mulai 17 Februari lalu bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

Menurutnya, bengkel membabitkan guru dan kesatuan guru turut diadakan pada bulan ini bagi membantu penelitian dan kajian semula PBS dan hasilnya akan dibentangkan kepada kementerian dalam masa terdekat. Beliau berkata, pihaknya juga menubuhkan Jawatankuasa ‘Task Force’ PBS di peringkat kementerian yang bermesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian sistem itu.

Katanya, ‘war room’ PBS turut diwujudkan untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan di samping membuat maklum balas dari semasa ke semasa. Selain itu katanya, usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dilaksanakan bagi memastikan guru boleh mengakses sistem itu secara lebih mudah dan berkesan.

“Semua tindakan itu diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Dr Khair berkata, kementerian memandang serius berhubung isu bebanan tugas dibangkitkan oleh guru dalam pelaksanaan PBS di samping pandangan akan kesannya kepada murid. “Berhubung pelaksanaannya, kementerian sentiasa terbuka dan telus terhadap sebarang pandangan, kritikan daripada guru dan masyarakat,” katanya. Beliau berkata, kementerian akan memaklumkan hasil kajian semula itu dan tindakan lanjut berhubung pelaksanaannya selepas Muhyiddin berpuas hati dengan penambah baikan yang akan dicadangkan.

“Buat masa ini, guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga satu kenyataan dibuat oleh kementerian dalam masa terdekat,” katanya.

Sumber myMetro 24/02/2014

0 comments:

Post a Comment