Masih belajar walaupun warga emas. |
Firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq ayat 1-5:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Dia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah dan Tuhanmulah yang maha pemurah, yang mengajar (manusia) melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”.
Ayat tersebut menjelaskan bahawa Islam menyeru umatnya supaya menjadi orang yang berilmu dan mementingkan keilmuan. Sejarah telah membuktikan bahawa keunggulan sesuatu bangsa adalah bergantung kepada ketinggian ilmu masyarakatnya. Umat yang mementingkan ilmu pasti akan bangkit sebagai umat yang terulungdan bertamadun di mata dunia. Benarlah segala seruan Allah SWT dan Rasul-Nya bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan.
Oleh yang demikian, proses menuntut ilmu adalah satu usaha yang berterusan sepanjang hayat seseorang insan. Hukama’ ada mengatakan bahawa:
“Tuntutlah ilmu sejak dari buaian lagi hingga ke liang lahad”.
Justeru, intisari kata-kata tadi menjelaskan kepada kita bahawa Islam amat menggalakkan setiap manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Selain daripada itu, apa yang dapat dicerap juga ialah batas usia mahupun kekangan-kekangan yang ada, baik yang berupa halangan kebendaan, kewangan mahupun fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu halangan kepada kita untuk menuntut ilmu kerana dalam agama Islam ia merupakan satu proses yang berterusan dan berpanjangan. Arahan ini diperkukuhkan lagi bersandarkan sebuah hadis daripada Anas Ibnu Malik r.a bahawa nabi s.a.w bersabda:
“Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam”. (Riwayat Ibnu Majah dan Abu Ya’ala) .
Islam amat memuliakan ilmu pengetahuan dan menganjurkan umatnya supaya menjadi orang yang berilmu pengetahuan. Dalam hal ini, menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam sama ada tua ataupun muda. Mempelajari ilmu pengetahuan sepanjang hayat amat digalakkan untuk mengangkat ketinggian peradaban umat pada masa akan datang. Lantaran itu, proses pembelajaran yang dimaksudkan bukan sahaja menuntut ilmu di sekolah dan di universiti malah boleh juga belajar melalui pembacaan, ceramah, bengkel dan apa sahaja cara yang dapat membantu meningkatkan ilmu pengetahuan. Usia yang dianugerahkan oleh Allah akan terisi dengan ilmu yang bermanfaat kepada diri dan masyarakat. Allah SWT telah menjelaskan kedudukan orang yang berilmu dalam surah al-Mujadilah ayat 11:
“…Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat…”.
Menurut Sayyid Qutb Rahimahullah dalam Tafsirnya Fi Zilal al-Quran menukilkan bahawa:
“Ilmu Allah itu tidak terbatas luasnya dan tidak mampu dijangkau semuanya oleh manusia. Oleh itu, hendaklah kita tidak bersikap sombong dengan sentiasa berusaha ingin mendalaminya. Apa saja yang boleh membawa kebaikan dan kesejahteraan perlu dipelajari sama ada secara formal atau tidak kerana ia adalah tuntutan Islam”.
Imam Al-Ghazali Rahimahullah menegaskan bahawa:
“Ilmu itu kehidupan hati daripada kebutaan, sinar penglihatan daripada kezaliman dan tenaga badan daripada kelemahan. Dengan ilmu, hamba Allah itu sampai ke tempat orang baik-baik dan darjat yang tinggi yang membezakan antara manusia dan haiwan”.
Oleh yang demikian, setiap individu haruslah berusaha melakukan proses pembelajaran sepanjang hayat bagi mewujudkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Pembangunan insan dan juga pembangunan modal insan hanya dapat dilakukan melalui ilmu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi.
Bersempena Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2013 yang disambut pada bulan Oktober ini bertemakan “ Pembelajaran Sepanjang Hayat” marilah sama-sama kita berusaha untuk mencapai kualiti hidup yang sejahtera dan bertamadun. Hendaklah setiap daripada kita mestilah berilmu dan terus menimba ilmu pengetahuan. Pembelajaran sepanjang hayat adalah jawapan yang paling tepat yang seharusnya dilakukan oleh generasi sekarang. Antara langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah:
1. Menghadirkan diri ke kuliah-kuliah yang diadakan di mana-mana sama ada di masjid-masjid, surau-surau, dewan seminar, program-program wacana, forum dan sebagainya.
2. Hendaklah menggunakan kesihatan yang ada, usia yang lanjut untuk menambah dan mencari ilmu terutama untuk memperbaiki amal ibadah kita.
3. Kita semua hendaklah memastikan ahli keluarga kita dapat mewarisi dan mengamalkan ilmu-ilmu yang bermanfaat khususnya ilmu-ilmu fardhu ain.
4. Hendaklah memastikan dan menggunakan usia yang lanjut dengan amalan-amalan yang terbaik untuk mencapai matlamat Husnul
Khatimah.
Akhir sekali, mimbar menyeru dan mengingatkan bahawa adalah amat malang sekali apabila sebilangan para jemaah yang selesai melaksanakan solat fardhu maghrib dan terus meninggalkan majlis-majlis pengajian ilmu yang diadakan oleh pihak masjid ataupun surau. Luangkanlah sedikit masa walaupun untuk seketika.
“Katakanlah (wahai Muhammad) Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”.
(Az-Zumar : 9)
0 comments:
Post a Comment