Friday, October 04, 2013

Khutbah Jumaat: Bahaya sikap takbur dan sombong

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Sifat takbur atau membesar diri adalah sifat yang hanya layak untuk Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaan yang ada pada-Nya, sifat ini membesari diri ini adalah sesuai dan layak bagi zat Allah. Bahkan ia adalah sifat sempurna yang wajib ada pada-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 23:
“Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan dia; Raja yang Menguasai; yang Maha Suci; yang Maha Selamat sejahtera; yang Maha melimpahkan keamanan; yang Maha menaungi; yang Maha Kuasa; yang Maha Perkasa; yang Melengkapi segala Kebesaran. Maha suci Allah dari segala yang mereka sekutukan”.

Takabbur adalah sifat khusus bagi Allah SWT, kita ditegah sama sekali dari bersifat membesar diri atau takbur. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis qudsi daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Allah azzawajalla berfirman: Membesar diri adalah selempang Aku. Keagungan adalah selendang Aku. Sesiapa yang merampasnya mana-mana satu darinya, Aku campakkan dia ke dalam neraka”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ibn Hibban).

Sejarah mencatatkan bahawa kekufuran pertama yang berlaku di langit adalah akibat sifat takbur. Iblis yang telah beribadat kepada Allah SWT sekian lama, akhirnya dihukum kufur, dilaknat dan dihalau oleh Allah dari syurga-Nya lantaran sifat takbur. Walaupun kesalahan Iblis adalah hanya tidak sujud kepada Adam A.S., bukan tidak sujud kepada Allah. Namun, punca kengganan itulah menyerlahkan sifat takbur dan membesar diri yang ada dalam hati Iblis.

Allah SWT merakamkan kejadian itu dalam beberapa ayat al-Quran, antaranya surah al-A’raf, ayat 11-13:
Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. Allah berfirman: "Apakah yang menghalangmu dari sujud ketika Aku perintahkan mu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku dari api, sedangkan dia, Engkau jadikan dari tanah." Allah berfirman: "Turunlah engkau dari syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, Sesungguhnya engkau dari golongan yang hina”.

Iblis enggan sujud kepada Adam kerana sifat takbur dan membesar dirinya. Iblis membesar diri bukan kerana ibadahnya yang banyak. Bukan juga kerana jasa dan sumbangannya. Bukan juga kerana ilmu dan kedudukannya. Iblis takbur kerana asal-usul dirinya sahaja.

Iblis tidak mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Iblis juga tidak ingkar untuk sujud kepada Allah. Tetapi dia enggan sujud kepada Adam kerana merasakan asal-usulnya lebih baik dari Adam. Dia merasakan asal api lebih baik dari asal tanah. Inilah sikap takbur dan kesombongan iblis laknatullah yang menjadikan kufur dan dicampakkan ke dalam api neraka.

Manusia atau mana-mana makhluk tidak boleh merasakan dia atau mereka lebih baik dari orang lain kerana asal-usulnya. Manusia tidak boleh merasa bangsanya lebih mulia dari bangsa lain. Ini kerana semua manusia dan semua bangsa dicipta oleh Allah SWT. Janganlah seorang berbangsa Arab merasa lebih mulia dari seorang Eropah. Janganlah seorang berbangsa Melayu merasa lebih mulia dari seorang India. Janganlah juga seorang berbangsa Cina merasa lebih mulia dari bangsa Iban atau Kadazan. Kerana semua bangsa itu dicipta oleh Allah. Bahkan setiap manusia tidak punya pilihan pun untuk lahir di kalangan bangsa mana sekalipun. Apa yang membezakan antara manusia di sisi Allah hanyalah sifat taqwa, iaitu berwaspada pada segala tindakan agar menepati garis panduan syarak yang diturunkan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Sabda Rasulullah s.a.w pula:
“Wahai manusia. Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu. Sesungguhnya bapa kamu adalah satu. Ketahuilah! Tiada kelebihan bagi seorang berbangsa Arab mengatasi seorang yang bukan Arab (‘Ajam), tiada juga kelebihan bagi seorang bukan berbangsa Arab melebihi seorang berbangsa Arab. Tiada kelebihan bagi seorang berkulit merah mengatasi seorang berkulit hitam. Tiada juga kelebihan bagi seorang berkulit hitam melebihi seorang berkulit merah, kecuali dengan taqwa”. (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

Sombong dan takbur adalah penyakit dalam hati. Ia penyakit yang paling merbahaya terhadap iman dan akidah kita. Justeru, setiap manusia hendaklah mengelakkan diri daripada bersifat dengan sifat ini. Setiap kita hendaklah berusaha membersihkan diri daripada sifat ini. Maka penyakit ini dapat diatasi dengan beberapa cara, antaranya:

1. Sentiasa memahami dan mengingati asal-usul kejadian manusia. Allah SWT telah mencipta kita semua daripada Adam A.S., yang berasal daripada tanah. Kemudian kita semua dijadikan pula dari air mani yang dipandang jijik oleh kita sendiri. Justeru, amat tidak layak manusia merasa sombong dan takbur lantaran asal-usulnya itu.

2. Sentiasa merenung kelemahan dan kekurangan diri. Setiap hari kita akan berpeluh dan membuang air. Kita dapat merasakan betapa badan kita adalah sentiasa berbau busuk jika tidak dibersihkan. Begitu juga, bahan buangan kita juga busuk dan jijik. Kita terpaksa menggunakan bahan luar atau benda asing untuk membersih dan mewangikan tubuh badan kita.

3. Sentiasa melakukan kerja-kerja kebajikan walaupun yang mungkin dipandang rendah oleh sebahagian masyarakat. Seperti kerja-kerja mengutip sampah, menyapu lantai, mencuci tandas atau mengangkat barang. Kerja-kerja tersebut tidaklah merendahkan martabat seseorang bahkan ia mengikis sikap takabbur dan sombong.

4. Menyedari kekerdilan dan kelemahan diri sendiri berbanding dengan makhluk-makhluk lain yang dicipta oleh Allah seperti haiwan, gunung-ganang dan sebagainya.

Marilah kita membersihkan hati kita dari segala sifat mazmumah, khususnya sifat takbur dan sombong. Ini kerana sesiapa yang bersifat dengan sifat ini walaupun sedikit, dia tidak akan dapat memasuki syurga Allah di akhirat.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tidak akan masuk syurga, orang yang dalam hatinya ada sifat takbur seberat biji sawi. Dan tidak akan masuk neraka (kekal di dalamnya), orang yang ada iman dalam hatinya seberat biji sawi”. (Riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. (Al-‘Araf : 36)

0 comments:

Post a Comment