Semalam, kita baru sahaja meraikan tamatnya tempoh satu kursus kerohanian yang panjang. Kursus dan latihan itu bukanlah diatur oleh mana-mana jabatan atau persatuan, tetapi ia diatur sendiri oleh Allah SWT, Tuhan yang mencipta kita dan Maha Mengetahui tentang keperluan diri kita. Marilah kita renungi hadis Rasulullah s.a.w:
“Celakalah seseorang yang bulan Ramadhan menemuinya, kemudian berlalu sebelum dia mendapat keampunan”. (Riwayat at-Tirmidzi)
Kita tentu biasa mendengar ungkapan dalam masyarakat kita: “Puasa sebulan, raya pun sebulan”. Ungkapan yang biasa dilafazkan dalam bentuk gurauan ini nampaknya menjadi amalan dalam masyarakat kita. Walaupun kita mengetahui bahawa ibadah puasa memang difardhukan sebulan penuh (sama ada 29 atau 30 hari), kita biasanya kurang memahami hakikat bahawa hari raya Idulfitri hanya disyariatkan sehari. Jika dibandingkan dengan saudara mara kita di negara-negara Timur Tengah, mereka lebih membesarkan dan memeriahkan Ramadhan berbanding Syawal. Sebaliknya, Idulfitri hanya diraikan dengan takbir pada malam hari raya dan pagi hari raya. Selepas solat dan khutbah Idulfitri, keadaan akan kembali seperti hari-hari biasa di bulan-bulan sebelum Ramadhan.
Kita mungkin beranggapan bahawa suasana seperti itu bukan fenomena yang sesuai dengan masyarakat dan budaya kita. Namun, ada baiknya kita memerhati beberapa perkara agar kita dapat mengimbangkan antara hasil didikan Ramadhan dengan keseronokan meraikan Idulfitri.
Allah SWT telah mewajibkan puasa pada siang hari di bulan Ramadhan. Manakala malam Ramadhan pula sunat dihidupkan dengan ibadah lain, khususnya solat fardu secara berjemaah solat dan sunat tarawih dan juga banyak membaca al-Quran. Manakala untuk hari raya pula, kita memang disunatkan untuk bertakbir dan diakhiri dengan solat sunat dan khutbah hari raya. Selepas itu, kita tidak lagi dituntut untuk bertakbir sepanjang hari itu atau mana-mana hari selepasnya. Ini berbeza dengan perayaan Iduladha yang disunatkan bertakbir berpanjangan hingga hari-hari tasyrik selepas solat fardhu atau sunat.
Kesemua ini menunjukkan bahawa pesta dan keraian sepanjang bulan Syawal umumnya bukanlah berasaskan tuntutan agama. Sebaliknya, ia hanyalah kebiasaan adat dan budaya masyarakat kita. Ia bukanlah tuntutan sebagai ibadah yang khusus, walaupun masih berada dalam lingkungan ibadah yang umum. Ini kerana aktiviti berziarah dan menjamu tetamu termasuk dalam amalan sunat yang boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun.
Walau bagaimanapun, fenomena tahunan sambutan Syawal sering menjadi faktor kita gagal meneruskan prestasi dan mempertahankan pencapaian baik di bulan Ramadhan. Lihat sahaja betapa surau dan masjid menjadi lengang selepas Ramadhan. Perhatikan pula, berapa ramaikah di kalangan kita yang dapat menyelesaikan puasa enam? Yakni puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.
Bulan Syawal ini perlu kita lalui pula dengan memantau hubungan kita agar terus dekat kepada Allah. Bukan menjauhkan diri daripada Allah dengan melakukan perkara yang dilarang seperti berhibur tanpa batas-batas antara lelaki dan perempuan, menikmati makanan dan minuman haram, bersukaria sehingga mengabaikan kewajipan solat atau menonton rancangan-rancangan televisyen yang mendedahkan lakonan yang tidak syar‘ie dan melalaikan kita daripada ibadah.
Hari ini saya ingin mengingatkan kepada semua bahawa beberapa langkah yang wajar dilaksanakan dalam bulan Syawal, adalah:
Pertama : Puasa enam hari dalam bulan Syawal. Kelebihan puasa ini disebut di dalam hadis daripada Abu Ayyub R.A. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan enam hari dalam bulan Syawal, maka dia seolah-olah berpuasa selama setahun”. (Riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Puasa enam Syawal ini boleh dilaksanakan secara berterusan atau berturutan enam hari, atau secara berasingan (berselang-seli), asalkan di dalam bulan Syawal.
Namun, cara yang lebih baik dan afdhal adalah secara berturutan selepas Aidilfitri, iaitu mulai hari raya kedua atau 2 Syawal sehingga 7 Syawal. Kaedah ini lebih afdhal kerana ia menggambarkan sikap seorang hamba yang suka dan bersegera melakukan ibadah. Lagipun, hari raya sebenar yang disyariatkan hanya berlaku pada 1 Syawal, iaitu hari yang diharamkan berpuasa bagi semua umat Islam.
Puasa enam Syawal ini juga boleh digandingkan dengan puasa qada’ atau puasa nazar. Justeru, sesiapa yang mempunyai hutang puasa Ramadhan, khususnya kaum wanita, boleh melaksanakan qada puasa mereka di dalam bulan Syawal. Ini bagi mendapatkan kelebihan puasa enam Syawal. Jangan kita bertangguh-tangguh dalam melaksanakan puasa sunat ini kerana dikhuatiri, kita akan terlepas peluang yang datang setahun sekali.
Namun, kaedah yang lebih baik adalah dengan melaksanakan puasa ganti dahulu selama jumlah hari yang berhutang, kemudian barulah dilaksanakan puasa enam Syawal secara berasingan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang menjelaskan tentang fadhilat puasa enam Syawal, seperti yang diriwayatkan oleh Thawban r.a yang bermaksud:
“Puasa Ramadhan itu menyamai sepuluh bulan, dan puasa enam hari (Syawal) menyamai dua bulan. Kesemua itu menyamai puasa setahun”. (Riwayat an-Nasa’ie)
Ini juga adalah berdasarkan kaedah dalam hadis lain bahawa setiap amal kebaikan akan dibalas oleh Allah dengan sepuluh kebajikan (pahala). Justeru, sebulan Ramadhan menyamai sepuluh bulan dan enam hari pula menyamai enam puluh hari atau dua bulan. Sabda Rasulullah s.a.w:
“..Dan satu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh gandaannya”. (Riwayat al-Bukhari)
Kedua : Kita hendaklah terus mewajibkan diri ke masjid dan surau untuk solat fardu secara berjemaah kerana tuntutan solat fardu berjemaah itu jauh lebih besar pahalanya daripada solat bersendirian.
Kita telah menunjukkan kemampuan untuk berjemaah dalam bulan Ramadhan, khususnya di malam hari. Kita solat Isyak berjemaah begitu juga bertarawih dan witir. Puratanya kita telah berjemaah 15 rakaat atau 27 rakaat dalam satu malam. Maka, kekalkanlah prestasi itu dengan sekurang-kurangnya 3 rakaat maghrib dan 4 rakaat solat isyak berjemaah pada waktu malam, serta 3 solat fardu yang lain.
Ketiga : Kita hendaklah terus melaksanakan ibadah malam, sekurang-kurangnya dua rakaat sunat tahajjud atau 1 rakaat witir. Bukankah Ramadhan telah membuktikan kita mampu bangun setiap hari untuk bersahur? Maka sewajarnya kita berusaha untuk istiqamah dengan qiamullail pada waktu sahur kerana waktu tersebut adalah waktu yang sesuai untuk memohon keampunan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah az-Zariyat ayat 18:
“Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”.
Keempat : Kita hendaklah menjadikan tadarus al-Quran sebagai amalan harian kita. Sekurang-kurangnya, kita hendaklah membaca satu muka setiap hari. Mudah-mudahan maksud ayat-ayat al-Qur'an yang dibaca akan menjadi pembimbing kita setiap hari.
Kelima : Kita hendaklah mengelakkan diri dari bersikap berlebihlebihan ketika berseronok. Sesungguhnya tamatnya Ramadhan bukanlah bererti tamatnya tungkus lumus kita untuk beribadah. Begitu juga, menjelangnya Syawal bukan bererti bebasnya kita dari segala kongkongan. Sebaliknya, Ramadhan adalah tempoh kita berlatih membiasakan diri dengan ibadah dan mengawal hawa nafsu.
Keenam : Kita hendaklah mengelakkan diri dari makan atau menjamu secara berlebihan. Cukuplah kita berpada dengan makanan yang dapat menjaga kesihatan diri dan melangsungkan hidup untuk beribadah kepada Allah SWT. Allah mengingatkan kita untuk makan dan minum, tetapi jangan berlebihan sehingga terlalu kenyang atau membuang makanan yang berlebihan.
Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 31:
“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”.
Apa yang penting adalah kita berazam dan bertekad untuk memeriahkan perayaan Idulfitri kita dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amalan ibadah termasuk puasa enam Syawal. Jangan kita ketinggalan dalam mengejar kelebihan-kelebihan yang disediakan Allah SWT ini. Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadhan dan Syawal kita pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Janganlah kita biarkan diri kita hanyut dalam keseronokan berhari raya selama sebulan sehingga ketinggalan mendapatkan ganjaran akhirat sebagai persediaan dan bekalan kita selepas mati. Kalau kita tidak laksanakan pada tahun ini, bila lagi kita akan memulakannya.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undangundang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui)”. (An-Nur : 21)
0 comments:
Post a Comment