Friday, July 26, 2013

Khutbah Jumaat: Malam Seribu Bulan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Malam seribu bulan atau yang dimaksudkan sebagai lailatul qadr dalam al-Quran merupakan satu malam yang amat istimewa, yang dikurniakan oleh Allah SWT hanya kepada umat nabi Muhammad SAW.

Sebagaimana disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran surah al-Dukhan ayat 3 :


“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab)”.

Lailatul qadar mengingatkan umat Islam tentang sejarah penting penurunan al-Quran. Pada malam ini, Allah SWT telah menurunkan al-Quran kepada nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia. Al-Quran ini mengandungi mukjizat terbesar yang menjadi panduan, hidayah dan pembimbing kepada manusia ke arah hidup yang lebih aman, sejahtera dan berkekalan hingga ke alam akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2 :
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”.

Penurunan al-Quran bukanlah sekadar untuk dijadikan suatu kebanggaan atau sekadar untuk dibaca dalam bulan Ramadhan sahaja, atau pada majlis-majlis tertentu sahaja, tetapi juga menjadi satu tanggungjawab bagi umat Islam untuk beramal dan melaksanakan isi-isi kandungannya.

Perintah-perintah yang terkandung di dalamnya bukan sahaja berkait dengan ibadah-ibadah khusus yang bersifat peribadi, bahkan juga menyentuh aspek-aspek kehidupan bermasyarakat termasuklah dalam urusan muamalah, jenayah dan juga pemerintahan negara. Justeru, mengamalkan al-Quran itu mestilah secara keseluruhan tanpa mengabaikan walau sedikitpun setiap perintah yang terkandung di dalamnya.

Kita sebagai umat Islam perlu sentiasa berusaha untuk memahami dan menghayati isi-isi kandungan al-Quran dengan sebaik-baiknya. Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman dalam surah Sod ayat 29;

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar”.

Dengan menghayati isi-isi kandungan al-Quran ini, jiwa kita akan merasa gementar terhadap ancaman Allah SWT keatas orang-orang yang engkar, lantas akan mendorong kita untuk terus mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Ketaatan terhadap perintah-perintah Allah SWT ini akan menjadikan jiwa kita aman dan tenteram, bahkan dapat pula menjamin kebahagiaan hidup kita di dunia dan di akhirat.

Keadaan yang tidak menggembirakan kita dapati ramai di kalangan umat manusia yang masih tidak mahu mencari kebahagiaan melalui ajaran-ajaran al-Quran. Malahan tidak kurang pula di kalangan umat Islam sendiri yang masih tidak tahu membaca al-Quran apatah lagi untuk memahami dan mengamalkan isi-isi kandungannya.

Keengganan dan kegagalan umat Islam dalam menghayati al-Quran sebenarnya telah menjadi punca berlakunya pelbagai krisis yang meruntuhkan akhlak dan akidah mereka. Apabila al-Quran tidak dijadikan sebagai penghibur hati, maka akan digantikan pula dengan pelbagai bentuk hiburan duniawi yang menyemarakkan jiwa mereka, sehingga mereka menjadi leka, lalai dan meninggalkan al-Quran ini dari kehidupan mereka.

Firman Allah SWT di dalam surah Fussilat ayat 41;

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap AlQuran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab suci yang tidak dapat ditandingi”.

Justeru, sewajarnya kita menghargai anugerah penurunan al-Quran pada malam lailatul qadar ini dengan mempertahankan dan meletakkannya pada tempat yang tertinggi dalam sistem kehidupan manusia keseluruhannya. Al-Quran mesti dijadikan panduan dalam hidup kita, bermula dengan diri kita sendiri, ahli keluarga kita, masyarakat kita dan seterusnya di dalam pemerintahan negara kita.

Malam lailatul qadar yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk menurunkan al-Quran itu juga sebenarnya merupakan anugerah kurniaan yang tiada tolok bandingnya kepada umat akhir zaman ini. Oleh kerana itulah Rasulullah SAW amat menganjurkan kepada umatnya agar berusaha mendapatkan kelebihan lailatul qadar ini.

Hal ini disebutkan dalam sebuah hadis daripada sayidatina Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Carilah malam lailatul qadar pada sepuluh hari yang terakhir di dalam bulan Ramadan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Fasa terakhir di dalam bulan Ramadhan ini sewajarnya kita manfaatkan dengan sebaiknya untuk mendapatkan lailatul qadar, iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan, yang disediakan kepada hamba yang ingin mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Selain ibadah puasa yang diwajibkan, terdapat banyak lagi amalan-amalan lain yang boleh kita kerjakan, antaranya;

1. Memperbanyakkan tilawah al-Quran dengan bertadarus, mentadabur dan menghayati isi-isi kandungannya.
2. Memperbanyakkan amalan bersedekah di sepanjang bulan Ramadhan.
3. Istiqamah dengan amalan qiamullail sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, sama ada melakukannya
secara berjemaah di masjid dan surau mahupun bersamasama dengan ahli keluarga di rumah.
4. Memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain seperti solat-solat sunat rawatib, solat sunat terawih dan lain-lain lagi.
5. Menghadiri dan mengikuti majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid atau surau.

Kesemua amalan ini dan amalan-amalan kebaikan yang lainnya, sekiranya dikerjakan dengan kesungguhan dan penuh dengan keikhlasan, insya-Allah ianya akan dapat membantu kita bertemu dengan malam lailatul qadar.

Sesungguhnya lailatul qadar merupakan satu-satunya nikmat kurniaan Allah SWT yang amat besar ganjarannya tetapi tidak dijelaskan waktunya, supaya menjadi dorongan kepada kita untuk terus berlumba-lumba melakukan amal ibadah kepada Allah SWT. Namun agak malang apabila kita mendapati masih ramai umat Islam hari ini lebih sibuk dengan persiapan menyambut hari raya berbanding merebut peluang lailatul qadar yang datang hanya sekali dalam setahun. Padahal ganjaran yang ada di dalamnya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan umur kita yang rata-ratanya tidak sampai pun seribu bulan. Justeru itu, anugerah lailatul qadar ini wajib disyukuri oleh setiap umat Islam sebagaimana juga anugerah al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7 ;

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Tanda kita mensyukuri nikmat kurniaan lailatul qadar adalah dengan cara menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan dengan amal-amal ibadat sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, dalam kesibukan kita membuat persiapan hari raya yang hampir tiba, tidak sewajarnya kita meninggalkan terus satu-satunya nikmat Allah SWT yang amat besar, iaitu lailatul qadar.

Kita seharusnya bijak membahagikan masa untuk membuat persiapan hari raya dengan masa untuk beribadah kepada Allah SWT, terutamanya dalam usaha merebut lailatul qadar pada sepuluh malam yang terakhir ini. Dengan kebijaksanaan seperti ini, kita tidak akan ditinggalkan oleh lailatul qadar begitu sahaja, bahkan dalam masa yang sama juga, kita akan dapat menyambut hari raya dalam keadaan yang sempurna.

Ramadhan akan meninggalkan kita hanya dalam beberapa hari saja lagi. Oleh itu, bersama-samalah kita mempertingkatkan amalan dan berdoa ke hadrat-Nya agar dipertemukan dengan malam lailatul qadar pada kali ini. Bersamalah kita mengamalkan doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, sebagaimana yang diceritakan oleh saidatina Aisyah R.A ketika bertanya kepada baginda: “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadar (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?” Baginda menjawab,“Ucapkanlah,

“Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku”. (Riwayat at-Tarmizi)


“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”.
(Al-Zumar : 9)

0 comments:

Post a Comment