Monday, June 17, 2013

Fadhilat dan kelebihan bersedekah

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Dari Amru bin Auf RA katanya Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya)."

Huraian Hadis:
Selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.

Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su'ul khotimah) kerana sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya. (HR at-Tirmidzi)

Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

* Bersedekah menutup 10 pintu kejahatan.
* menolak bala dan memanjangkan umur.
* harta yang halal akan diampunkan dosanya.
* dilepaskan dari neraka dan masuk ke syurga.
* Bersedekahlah dengan sebaik-baik barang yang ada pada kita.

Jangan kamu menolak orang yang mula-mula meminta padamu itu kerana kadang-kadang datang kepadamu itu bukan manusia...

Fadhilat Sedekah
Dari Abu Hurairah RA, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda : “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.” (H/R. Bukhari).

“Sesiapa yang sanggup di antara kamu menjaga dirinya daripada api neraka hendaklah ia bersedekah walau hanya dengan sebiji kurma, dan sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik.” (H/R. Ahmad dan Muslim)

Sedekah mempunyai kelebihan yang amat banyak, di antaranya adalah seperti berikut: ”Menggandakan kebaikan, ganjaran yang besar, menolak bala, meredakan kemurkaan Allah, menyelamatkan diri dari api neraka, memanjangkan umur, melembutkan hati, melenyapkan perasaan takabur & angkuh, dan akhirnya menerima ganjaran amalan yang berkekalan dan berterusan ”

Kebaikan dan kelebihan Sedekah

Sebahagian ulama berkata : Sedekah itu 10 Kebaikan dan kelebihan - lima di dunia dan lima di akhirat.

Lima di dunia:
1. Mencucikan hartanya.
2. Mencucikan badannya.
3. Menolak daripada penyakit.
4. Menggembirakan orang miskin dan menggembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal.
5. Berkat hartanya dan diluaskan Allah rezekinya.

Lima di akhirat:
1. Dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari qiamat ketika sangat panas.
2. Ringan hisabnya.
3. Berat timbangan (amalan) di akhirat.
4. Mudah melalui titian Siratulmustaqim.
5. Bertambah darjatnya di dalam syurga.

Rasullullah s.a.w. telah bersabda: “Sedekah seseorang kamu yang ikhlas itu akan menutup 70 pintu kejahatan. Sedekah seseorang kamu itu akan dibalas oleh Allah s.w.t. dengan 4 jenis pembalasan iaitu:
1. Satu sedekah yang dibalas dengan 10 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada fakir miskin.
2. Satu sedekah yang dibalas dengan 70 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada kaum keluarga dan sanak saudara.
3. Satu sedekah yang dibalas dengan 700 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada sahabat handai dan teman-teman.
4. Satu sedekah yang dibalas dengan 1000 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada para penuntut ilmu atau orang yang berjihad pada jalan Allah.

Hadis-hadis Rasulullah tentang kelebihan bersedekah, susunan Ibnu Umar Asseluluni.

[Mafhumnya] Orang yang mengusahakan bantuan (pertolongan) bagi janda dan orang miskin ibarat berjihad di jalan Allah dan ibarat orang solat malam. Ia tidak merasa lelah dan ia juga ibarat orang berpuasa yang tidak pernah berbuka.
(Hadis Riwayat: Imam Bukhari)

[Mafhumnya] Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi (menyelesaikan) kesulitan orang lain.
(Hadis Riwayat: Imam Ahmad)

[Mafhumnya] Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (dari kalanganmu) dengan bersedekah dan persiapkan doa untuk menghadapi datangnya bencana.
(Hadis Riwayat: Imam Ath-Thabrani)

[Mafhumnya] Tiap muslim wajib bersedekah. Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bekerja dengan keterampilan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu bersedekah.” Mereka bertanya lagi. Bagaimana kalau dia tidak mampu?” Nabi menjawab: “Menolong orang yang memerlukan yang sedang teraniaya.” Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi menjawab: “Menyuruh berbuat ma’ruf. “ Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi s.a.w. menjawab, “Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah.”
(Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Imam Muslim)

[Mafhumnya] Orang yang membatalkan pemberian (atau meminta kembali) sedekahnya adalah seperti anjing yang makan kembali muntahnya. (Hadis Riwayat: Imam Bukhari)

[Mafhumnya] Barangsiapa diberi Allah harta dan tidak menunaikan zakatnya kelak pada hari kiamat dia akan di bayang-bayangi dengan seekor ular bermata satu di tengah dan punya dua lidah yang melilitnya. Ular itu mencengkam kedua rahangnya seraya berkata, “Aku hartamu, aku pusaka simpananmu.” Kemudian Nabi s.a.w. membaca firman Allah surah Ali Imran ayat 180: “Dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah jua segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi.” (Hadis Riwayat: Imam Bukhari)

[Mafhumnya] Abu Dzarr R.a. berkata bahawa beberapa sahabat Rasulullah s.a.w. berkata, “Ya Rasulullah, orang-orang yang banyak hartanya memperoleh lebih banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat dan berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka boleh bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Nabi s.a.w. lalu berkata, “Bukankah Allah telah memberimu apa yang dapat kamu sedekahkan? Tiap-tiap ucapan Tasbih adalah sedekah, Takbir sedekah, Tahmid sedekah, Tahlil sedekah, Amar Makruf sedekah, Nahi Mungkar sedekah, Berjimak dengan isteri pun sedekah.” Para sahabat lalu bertanya, “Apakah memuaskan nafsu syahwat mendapat pahala?” Nabi menjawab, “Tidakkah kamu mengerti bahawa kalau dipuaskan nafsu syahwat di tempat yang haram bukankah itu berdosa? Begitu pula kalau syahwat diletakkan di tempat halal, maka dia memperoleh pahala.
(Hadis Riwayat: Imam Muslim)

[Mafhumnya] Tiap-tiap amalan makruf (kebajikan) adalah sedekah. Sesungguhnya di antara amalan makruf ialah berjumpa kawan dengan wajah ceria (senyum) dan mengurangi isi baldi mu untuk diisikan ke mangkuk kawan mu. (Hadis Riwayat: Imam Ahmad)

Allah Ta’ala berfirman: "Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji.” (Al-Baqarah ayat 267)


Nabi saw. bersabda, “Tidaklah berkurang harta yang disedekahkan.” (HR Muslim)

Allah Ta’ala berfirman: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya." (Al- Baqarah ayat 261)

Nabi saw. bersabda, “Tiada datang waktu pagi melainkan ada dua malaikat yang turun kepada manusia, lalu satunya berdoa, “Ya Allah, berilah ganti bagi yang bersedekah.” (HR. Bukhari)

Allah Ta’ala berfirman: “Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia sebaik-baik pemberi rezeki”. (Saba’ ayat 39).

Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah, sama ada laki-laki mahu pun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan ganjaran kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Al Hadid: 18)

Nabi saw. bersabda, “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.”
(HR. Tirmidzi, disahihkan Al Albani dalam Sahih At Tirmidzi, 614)

Nabi saw. bersabda, “Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.”
(HR. Thabrani, disahihkan Al Albani dalam Sahih At Targhib, 873)

والله أعلم

0 comments:

Post a Comment