Tuesday, May 14, 2013

Terima kasih cikgu! Selamat Hari Guru

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Guru Besar dan seluruh warga SK Jeram Batu 20 mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru walau di mana anda berada. Terima kasih Cikgu!

Hayatilah sajak "Guru Oh Guru" oleh Sasterawan Negara, Usman Awang yang membawa makna cukup besar kepada warga pendidik. Marilah kita membaca, memahami serta menghayati sajak ini. Mudah-mudahan menjadi pendorong kita semua untuk menjadi guru cemerlang, gemilang dan terbilang sepanjang perkhidmatan dan sehingga akhir hayat kita nanti, amin.

Guru Oh Guru

Sasterawan Negara Dato’ (Dr) Usman Awang @
Tongkat Warrant @ Adi Jaya @ Atma Jiwa @
Pengarang Muda @ Amir @ Manis @
Rose Murni @ Setiabudi @ Zaini @ UA.
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi sempena Hari Guru dan kepada guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang - 1979

0 comments:

Post a Comment