Friday, March 15, 2013

Kanak-kanak obes berisiko hidap 'Sleep Apnea' - Pakar

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Golongan kanak-kanak yang obes didapati berisiko menghidap 'sleep apnea' atau gangguan pernafasan semasa tidur.

Presiden Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia (SDSM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata gangguan itu berlaku akibat berat badan berlebihan yang menyempitkan saluran pernafasan mereka.

"Apabila kanak-kanak yang obes tidur, udara di saluran pernafasan tidak dapat bergerak dengan sempurna dan ia akan menyukarkan mereka untuk bernafas," katanya pada majlis sambutan Hari Tidur Sedunia 2013 di sini, hari ini.

Menurutnya sleep apnea juga terjadi kepada mereka yang menghidap penyakit berkaitan pernafasan yang lain seperti asma dan tonsil.

Beliau berkata antara simptom seseorang itu mempunyai gangguan sleep apnea ialah berdengkur semasa tidur, sering berasa lemah dan kerap mengantuk.

Menurutnya sleep apnea turut dialami golongan dewasa yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti kerap merokok, mengambil minuman keras serta tidak bersenam.

Bagaimanapun Dr Muhammad Muhsin berkata gangguan tidur itu boleh sembuh sekira pesakit menjalani ujian tidur 'polysomnography' yang terdapat di hospital kerajaan atau swasta yang menyediakannya.

"Melalui ujian itu pesakit dikehendaki tidur semalaman di makmal yang disediakan dengan beberapa wayar dipasang pada tubuh untuk dikenal pasti punca utama gangguan sama ada berpunca dari otak atau bahagian tubuh yang lain," katanya.

Beliau berkata masalah itu jika tidak dirawat akan menjejaskan kualiti hidup kanak-kanak dan golongan dewasa dan boleh membawa maut akibat terputus bekalan oksigen semasa tidur.

Hari Tidur Sedunia yang disambut setiap Jumaat, minggu ketiga dalam bulan Mac, bertujuan memberi penerangan secara khusus kepada mereka yang mempunyai masalah tidur tentang cara mengatasi dan panduan penjagaan tidur yang baik.

-- BERNAMA

Sila lihat entri terdahulu: Peratusan kanak-kanak alami obesiti meningkat

0 comments:

Post a Comment