Friday, December 28, 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 Dibentang Ke Kabinet Pada Januari

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan dibentang kepada Kabinet Januari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pelan yang lengkap kemudiannya akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya tahun depan.

"Pelan yang kini berada di peringkat akhir setelah menerima laporan dan pandangan daripada pelbagai pihak, sudah diterima supaya ianya dapat dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

"Kita sudah banyak membuat perbincangan. Saya fikir tidak ada satu pihak yang terkecuali.

"Jadi langkah ini agak komprehensif dan lengkap dan sudah disediakan. Malahan kita tambah baik lagi kalau ada kekurangan kita lihat dalam tempoh dua tiga bulan lepas," katanya pada sidang akhbar selepas majlis interaksi bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik Muda di sini, pada Jumaat.


September lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Antara yang digariskan adalah menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan.

Mengenai bantahan pihak tertentu termasuk Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Muhyiddin berkata kementerian tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

"(Tetapi) kita sudah ambil kira semua. Malah pandangan Dong Zong pun sebahagiannya sudah diambil kira tentang status sekolah Cina, bantuan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

"Bukan tujuan kita sediakan blue print untuk puaskan Dong Zong, tetapi yang penting memuaskan rakyat," katanya.

Sumber BERNAMA 28/12/2012

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

0 comments:

Post a Comment