Istana Kehakiman |
Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed berkata niat Parlimen ialah untuk memastikan setiap warganegara menggunakan hak asasi mereka tanpa menjadi sekatan atau ancaman kepada warga senegara, atau negara.
Beliau berkata akta itu hanya melarang protes jalanan dan bukan semua perhimpunan besar-besaran yang bermula dari satu tempat.
Abdul Wahab berkata demikian ketika membalas hujah peguam Karpal Singh yang membangkitkan isu perundangan berhubung tiga pertuduhan terhadap anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu sama ada Seksyen 4(1)(c) akta itu tidak konsisten dan melanggar peruntukan di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
"Akta ini melarang protes jalanan kerana ia membawa mesej negatif, gangguan serta ancaman terhadap keselamatan, ketenteraman awam, keamanan dan kestabilan negara," kata Ketua Bahagian Pendakwaan di Pejabat Peguam Negara itu.
Jumaat lepas, Karpal berhujah akta itu melarang sama sekali hak untuk berhimpun dengan cara mengadakan protes jalanan.
Bagaimanapun, Abdul Wahab berkata larangan terhadap protes jalanan diperkenal bagi menyeimbangkan pelaksanaam hak untuk berhimpun secara aman dan hak orang lain untuk hidup, bekerja, membeli-belah, berdagang dan menjalankan perniagaan di kawasan yang terjejas berikutan perhimpunan.
Beliau berkata tidak pernah menjadi niat untuk akta itu menghalang hak berhimpun secara aman.
"Ia adalah niat Parlimen bagi memperkukuh hak untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Abdul Wahab juga berhujah bahawa sekatan terhadap protes jalanan adalah sesuatu yang munasabah di bawah peruntukan Perkara 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Kamardin Hashim kemudian menetapkan 13 Dis untuk peguam Ram Karpal Singh menjawab hujah Abdul Wahab.
Sumber BERNAMA 30/11/2012
0 comments:
Post a Comment