Saturday, December 08, 2012

264 murid terima bantuan keperluan sekolah di Alor Setar

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

ALOR SETAR - Philips Moris Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Salam Malaysia bagi membantu kanak-kanak sekolah dari keluarga miskin melakukan persediaan yang lebih lengkap bagi memulakan penggal baharu persekolahan tahun depan.

Sejak 2005, syarikat itu menghulurkan sumbangan dalam program 'Kembali Ke Sekolah' bagi meringankan bebanan kewangan keluarga dari kawasan pedalaman.

Pengarah Hal Ehwal Korporat Philips Moris (Malaysia) Sdn Bhd, Richard James berkata sumbangan yang diberikan itu tidak besar tetapi dapat membantu keluarga kanak-kanak tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampian bantuan berupa pelbagai peralatan seperti beg sekolah, pakaian seragam, kasut, stokin dan alat menulis kepada 264 murid dari 32 buah sekolah di sini, Jumaat.

Peralatan sekolah tersebut disampaikan oleh Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu, Datuk Dr Freezailah Che Yeom berkata selain program 'Kembali Ke Sekolah', mereka dan syarikat itu juga membantu merapatkan jurang digital dengan menubuhkan pusat maklumat dan tekonologi komunikasi (ICT) bagi komuniti kurang bernasib baik.

Sumber BERNAMA 8/12/2012

0 comments:

Post a Comment