Wednesday, November 28, 2012

Transformasi Bahasa Melayu Perlu Seiring Transformasi Negara - Bekas KP DBP

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

GEORGE TOWN - Kerajaan disaran memberi perhatian serius terhadap transformasi bahasa bagi memastikan ia bergerak seiring dengan era transformasi yang merangkumi pelbagai bidang.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk A. Aziz Deraman berkata kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan di kalangan masyarakat, organisasi awam dan swasta dilihat semakin hilang serta membimbangkan.

"Memang ada sedikit keresahan di kalangan cendekiawan, budayawan dan pemikir bahawa seperti negara kita memang merdeka, tetapi kedudukan bahasa negara yang harus diamal semua orang, seperti belum mencapai taraf sebagaimana merdekanya negara.

"Saya sangat percaya bahawa kita tidak boleh maju dengan meninggalkan bahasa negara kita sendiri. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi hendaklah berada pada tahapnya yang cukup mantap," katanya kepada Bernama selepas forum 'Dilema dan Hala Tuju Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka' anjuran Universiti Sains Malaysia di sini Selasa.

Beliau berkata usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan seharusnya diperhebat seperti kemahuan serta keazaman politik negara.

Sumber BERNAMA 28/11/2012

0 comments:

Post a Comment