KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta orang ramai mengawasi anak-anak mereka agar tidak menceroboh kawasan larangan TNB bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutamanya semasa musim cuti persekolahan ini.
TNB dalam satu kenyataan pada Rabu berkata para pengguna dinasihatkan agar mematuhi notis makluman berkaitan potensi risiko talian atas bervoltan tinggi yang dipasang di kawasan-kawasan strategik selain melarang kanak-kanak bermain sebarang permainan udara di kawasan itu.
Kenyataan itu turut menasihati pengguna agar tidak memancing di kolam atau tasik berhampiran talian bervoltan tinggi serta menghindari daripada melempar alatan logam berdekatan pepasangan atau menara talian elektrik.
Menurut kenyataan itu juga, pengguna diminta agar tidak membawa peralatan panjang seperti galah ke bawah talian kerana ia boleh menyebabkan renjatan atau pancaran haba malah pengguna turut dinasihat supaya tidak menyentuh atau menghampiri wayar terputus akibat pokok tumbang terutama ketika hujan.
Talian atas voltan tinggi biasanya tidak berbahaya dan selamat kepada orang awam sekiranya langkah berjaga-jaga dititikberatkan.
TNB akan sentiasa melaksanakan kempen keselamatan elektrik secara berterusan bagi mengurangkan kemalangan berkaitan elektrik, kata kenyataan tersebut.
Sumber BERNAMA 21/11/2012
Wednesday, November 21, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment