PUTRAJAYA - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak lagi akan terpinggir daripada menerima pendidikan awal apabila projek perintis Taska OKU diwujudkan bagi merealisasikan matlamat berkenaan.
Beberapa pihak berkepentingan melihat pelaksanaan projek perintis Taska OKU yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 Sept lepas sebagai 'buah tangan' terbaik bagi golongan itu mendapat sistem pendidikan efektif dan ideal.
Langkah itu juga dilihat sebagai satu mekanisme dan komitmen kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti ke arah Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi dan Wawasan 2020.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie berkata pelaksanaan projek perintis taska OKU itu secara percuma dalam tempoh setahun akan dilancarkan pada Disember merupakan satu pendekatan komprehensif bagi mencari sukatan kurikulum bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak OKU di negara ini.
Beliau yang menyifatkan penubuhan enam taska OKU itu mencipta 'sejarah' baharu golongan berkenaan berkata Taska OKU dapat membantu mengurangkan kos dan masa, malah memenuhi keperluan semasa bagi tujuan perkembangan awal kanak-kanak OKU.
"Kanak-kanak OKU akan diberikan pengasuhan berkualiti malah setiap pengasuh atau pengusaha taska adalah tertakluk kepada Akta Taska 1984," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Sumber BERNAMA 13/11/2012
0 comments:
Post a Comment