Sunday, November 25, 2012

Pakai kanta lekap hiasan boleh jadi buta

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Kota Bharu: Pengguna yang memakai kanta lekap hanya untuk kecantikan tanpa melakukan pemeriksaan mata terlebih dulu, berisiko menjadi buta akibat jangkitan kuman pada kornea mata.

Berikutan itu, Majlis Optik Malaysia (MOM) menasihatkan pengguna supaya membuat pemeriksaan mata terlebih dulu jika mahu memakai kanta lekap, termasuk kanta lekap berwarna tanpa kuasa.
Menurut majlis berkenaan, pemeriksaan penting bagi memastikan sama ada seseorang pengguna sesuai atau sebaliknya untuk menggunakan kanta lekap kerana pemakaiannya bukan sekadar untuk kecantikan saja.

Kanta lekap hanya sesuai untuk individu yang mempunyai masalah rabun serta masalah mata seperti keratokonus, koloboma iris dan sebagainya selain mereka yang aktif bersukan.

"Kanta lekap juga itu tidak harus dipakai individu yang menghidap masalah mata seperti konjunktivitis kronik, blefaritis, jangkitan kuman dan mata kering, selain pesakit diabetes, HIV positif dan penyakit berjangkit lain di samping individu yang mempunyai tahap kebersihan diri yang rendah," kata majlis dalam satu kenyataan, semalam.

MOM berkata, sekiranya seseorang itu tidak mematuhi peraturan pemakaian kanta lekap, komplikasi paling berbahaya ialah berlakunya jangkitan kuman pada lapisan kornea mata yang dipanggil ulser kornea dan boleh menyebabkan buta.

Pengguna kanta lekap harus segera menghentikan penggunaannya jika mata menjadi merah, berasa sakit serta penglihatan menjadi kabur dan perlu berjumpa doktor mata kerana rawatan segera diperlukan bagi mencegah buta, katanya.

Sumber BH Online 25/11/2012

0 comments:

Post a Comment