BESUT - Konsep pendidikan 'Ulul Albab' sesuai diserapkan ke dalam sekolah berasrama penuh bagi melahirkan generasi yang seimbang pada aspek duniawi dan akhirat, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Seri Idris Jusoh.
Katanya konsep pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam.
"Sains, teknologi dan pembangunan moral melalui pendidikan berkonsepkan Ulul Albab merupakan fokus utama yang sepatutnya diberi perhatian dalam pendidikan kerana ia dapat menyelamatkan negara daripada pelbagai masalah sosial," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.
Menurutnya pendidikan yang hanya menekankan sains dan teknologi tidak dapat mengatasi isu moral yang semakin serius dalam kalangan generasi muda masa kini.
Idris berkata buat masa ini tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) iaitu di Besut, Gemenceh dan Kepala Batas telah mengguna pakai konsep Ulul Albab sejak tiga tahun lepas.
Sumber BERNAMA 16/11/2012
0 comments:
Post a Comment