Friday, November 09, 2012

Guru Mesti Ajar Apa Yang Diperlukan Masa Depan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KOTA BAHARU - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata warga guru mesti lebih kreatif dan mempunyai idea untuk mengajar apa yang diperlukan pada masa depan dalam usaha melahirkan generasi yang mampu menguasai pelbagai bidang.

Timbalan Perdana Menteri berkata guru yang kreatif dan inovatif boleh membantu merealisasikan hasrat untuk melahirkan generasi yang bukan sekadar mampu bersaing, tetapi boleh menguasai pelbagai bidang pada masa depan.

"Sudah tiba masanya kita melahirkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang, kita perlu kuasai bidang-bidang tertentu, tak perlu bergantung kepada orang asing, tetapi rakyat Malaysia yang menjadi peneraju," katanya ketika berucap pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Enggang, di sini, Khamis.

Lebih 6,000 hadir pada perhimpunan itu. Turut hadir isteri timbalan perdana menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata golongan guru mempunyai tanggungjawab besar dalam usaha melahirkan generasi masa depan untuk mencapai Wawasan 2020.

"Warga gurulah yang bertanggungjawab menjana dan mencorak pemikiran tahap tinggi," katanya.

Beliau berkata kaedah pengajaran sebelum ini dilihat tidak begitu efisien lagi dalam melahirkan generasi yang mampu bersaing dengan negara-negara maju.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata sejak Oktober tahun lepas kementerian memulakan gerak kerja awal melaksanakan Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Beliau berkata pelan itu kelak diharap dapat melahirkan generasi yang lebih berinovatif dan kreatif dalam menjana peluang-peluang ekonomi baru untuk bangsa dan negara.

"Kita mahu guru-guru komited sepenuhnya, profesion guru menjadi profesion pilihan di kalangan mereka yang cemerlang dalam akademik, guru mesti menguasai semua bidang ilmu, barulah dapat melahirkan generasi yang lebih berilmu," katanya.

Sumber BERNAMA 8/11/2012

0 comments:

Post a Comment