Friday, December 28, 2012

Bantuan Khas Awal Persekolahan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Kementerian Pelajaran akan mula mengagihkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 10,019 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara secara berperingkat bermula 15 Januari depan.

Di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak September lalu telah meluluskan peruntukkan RM540 juta bagi pemberian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan tahun 2013.

Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.

Murid atau pelajar yang layak menerima bantuan tersebut mesti berstatus warganegara Malaysia, bersekolah kerajaan dan sekolah bantuan, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf dengannya bagi persekolahan tahun 2013. Dokumen yang diperlukan adalah kad pengenalan ibu bapa atau penjaga dan sijil lahir anak.

Pihak sekolah perlu memastikan ibu bapa atau penjaga menurunkan tanda tangan ke atas Senarai Akuan Penerimaan atau Penolakan Bantuan dengan disaksikan dua guru sebagai saksi.

Sekolah yang telah membuat agihan bantuan ini kepada murid yang akan berpindah sekolah perlu meletakkan cop 'telah bayar' bantuan khas RM100 pada borang perpindahan sekolah murid bagi mengelakkan berlakunya pertindihan agihan bantuan berkenaan di sekolah baharu nanti.

Bagi memastikan tidak ada murid yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut, sekolah diminta mendahulukan peruntukkan sedia ada sekolah seperti wang SUWA atau lain-lain peruntukan sekiranya peruntukkan asal tidak mencukupi.

Pengetua atau guru besar dinasihatkan memohon secara rasmi perkhidmatan polis pengiring daripada Ketua Polis Daerah di negeri masing-masing dalam urusan pengeluaran wang melebihi jumlah RM10,000.

0 comments:

Post a Comment