Saturday, December 01, 2012

Akta Bankrap akan dikaji semula - Perdana Menteri

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan mengkaji semula Akta Bankrap bagi meringankan beban rakyat yang muflis akibat beban hutang.

Perdana Menteri berkata, pihaknya akan meneliti kaedah pengisytiharan bankrap serta mencari jalan bagi membebaskan mereka yang sudah diisytihar muflis.

"Undang-undang bankrap sekarang ini sangat ketat. Kadang-kadang seseorang itu hanya jadi penjamin sahaja.

Bersemangat... Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak
menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan
Agung UMNO 2012 di PWTC, sebentar tadi. -
Foto Effendy Rashid.
"Jadi kerajaan akan kaji semula dan buat peraturan baru supaya dapat ringankan lagi cara untuk isytiharkan seseorang itu bankrap.

"Kita juga akan cuba cari jalan untuk lepaskan seseorang itu menjadi bankrap," katanya. "Bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan. Mana yang boleh dan munasabah kita cuba bebaskan," kata Presiden UMNO.

Najib berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Usul mengenai Akta Bankrap itu dikemukakan oleh Pemuda UMNO pada perhimpunan tersebut yang menyebut lebih 120,000 orang kini menghadapi masalah muflis akibat beban hutang.

Di bawah Akta Bankrap 1967, seseorang itu akan diisytihar muflis jika mereka menanggung hutang minimum RM30,000 dan mengaku tidak mampu membayar hutang tersebut.

Perdana Menteri turut menaikkan jumlah pinjaman maksimum Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) daripada RM50,000 kepada RM100,000 bagi menggalakkan lebih ramai wanita menjadi usahawan.

Sumber Utusan Online 1/12/2012

0 comments:

Post a Comment