Sunday, November 04, 2012

Lawatan sambil belajar ke Taiping & Kuala Kangsar

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Mercu tanda Taiping.
Pada hari Sabtu 3/11/2012 yang lalu, seramai 36 orang murid Tahun 6 dari keluarga Asnaf sekolah ini diiringi oleh 4 orang guru dengan sebuah bas telah melakukan lawatan sambil belajar dua hari satu malam secara percuma termasuk makan dan minum ke Taiping Bandar Warisan dan Kuala Kangsar Bandar Diraja. Mereka bermalam di Homestay Kuala Kangsar.

Taman Tasik Taiping.
Berikut adalah fakta dan antara tempat-tempat menarik yang terdapat di sana.

Taiping, merupakan antara daerah tertua, bersejarah dan amat menarik untuk dilawati. Kewujudan Taiping yang terletak dalam daerah Larut, memang amat sinonim sebagai bandar pelancongan. Kebanyakan bangunan masih mengekalkan ciri-ciri penjajahan British. Bermula sebagai sebuah pekan kecil bijih timah hingga menjadi ibu negeri pertama Perak.

Mee udang Kuala Sepetang.
Sekarang ia masih tetap unggul dengan ciri-ciri sejarahnya sehingga dikenali sebagai Bandar Warisan. Bandar yang hanya bermula dengan penempatan sebilangan orang Melayu telah menarik ramai orang asing ke situ kerana terjumpanya bijih timah yang banyak.

Peristiwa ini berlaku berikutan terjumpanya gajah Long Jaafar yang bernama Larut, berlumuran lumpur yang mengandungi bijih timah. Bersempena nama gajah tersebut, daerah itu dinamakan Larut.

H.N.Ridley & pokok getah tertua.
Bandar Taiping yang terletak di Negeri Perak, dahulunya dikenali sebagai Klian Pauh dan telah ditukar kepada Taiping sempena tamatnya Perang Larut pada tahun 1874. Taiping berasal daripada perkataan Cina "Tai-Peng" yang bermaksud aman selamanya.

Dengan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, Taiping telah menjadi sebuah bandar yang utama di Negeri Perak sebagai pusat pentadbiran British berbanding Bandar Taiping sebagai salah satu bandar yang tertua di Malaysia.

Bandar Taiping merupakan bandar yang terkenal mengenai tempat yang terkenal mengenai hujan. Selalunya hujan akan mencurah pada waktu petang. Anda boleh menikmati suasana hujan yang nyaman sekali.

Taman Tasik Taiping.
Taman Tasik Taiping

Pemandangan sungguh cantik. Ada pokok-pokok tua di sepanjang jalan. Tempat yang menarik untuk bersiar-siar, beriadah dan 'shooting' filem juga. Dibina pada tahun 1880 dan merupakan taman tasik paling awal dan antara yang terindah di Malaysia. Ia dibina semasa pemerintahan Inggeris di Malaysia. Taman yang indah ini terletak di berhampiran Bukit Larut dan Zoo Taiping.
Papan tanda arah di Zoo Taiping.
Zoo Taiping

Merupakan zoo tertua di Malaysia. Terdapat pelbagai haiwan yang menarik dan esotik. Zoo Taiping dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang. Bayaran masuk untuk Zoo Taiping  Dewasa RM10.00 dan kanak-kanak RM6.00. Murid sekolah rendah RM4.00. Kamera dan video tidak ada bayaran di kenakan. Kemudahan tren untuk pengangkutan di dalam Zoo Taiping  ada di sediakan. Zoo Taiping dan Nite Safari merupakan antara destinasi pilihan pelancong ke negeri Perak, ianya dipercayai merupakan Zoo paling tua dan mula-mula dibuka di Malaysia. Jadi, bukanlah sesuatu perkara yang pelik jika ianya menjadi lokasi pilihan 'mesti dilawati' jika anda ke Taiping, Perak.

Zoo Taiping & Night Safari.
Night Safari

Merupakan salah satu sebab kenapa anda perlu bercuti bersama keluarga di Taiping. Anda dapat melihat habitat haiwan pada waktu malam.
Night Safari Taiping merupakan yang pertama di Malaysia. Keindahan dan keaslian alam semulajadi semakin indah apabila dibayangi cahaya di waktu malam.
Night Safari.
Dalam usaha untuk mengekalkan sumber-sumber alam semulajadi. Night Safari Taiping mempamerkan hidupan-hidupan liar yang aktif pada waktu malam dalam suasana semulajadi. Ini memberi peluang kepada pelawat untuk menghayati dan menghargai khazanah alam semulajadi sambil berhibur serta menenangkan fikiran. Dibuka pada jam 8.00 – 11.00 malam setiap hari. Bayaran masuk Dewasa RM16.00 dan kanak-kanak RM10.00. Kamera dan video tidak di kenakan bayaran.

Muzium Taiping.
Muzium Taiping

Merupakan muzium tertua dan pertama di Semenanjung Malaysia yang ditubuhkan sejak tahun 1883. Idea penubuhannya diasaskan oleh Sir Hugh low, Residen Inggeris di Perak ketika itu. Kurator muzium yang pertama adalah Leonard Wray Jr iaitu seorang ahli botani dan geologi.

Papan tanda Bukit Larut.
Artifak yang dikutip dan dikumpulkan datangnya dari Lembah Kinta dan Lembah Lenggong. Muzium Perak telah menghimpun dan mempamerkan kebudayaan Melayu dan Orang Asli dan juga mempamerkan contoh zoologikal. Di antara contoh zoologikal yang ada di dalam muzium ini ialah rangka badak sumbu. Selain itu, basikal lama, pameran penggunaan rotan oleh Orang Asli dan rumah minitur Orang Asli juga dipamerkan.
Di luar bangunan muzium, boleh dapat dilihat, satu jet lama, koc keretapi wap, kereta wap, patung Kolonel Walker, batu tanda kubu Maharaja Lela, batu nisan purba dari Sungkai dan sampan purba.
Bukit Larut yang sejuk & nyaman.
Bukit Larut

Bukit Larut atau Bukit Maxwell terletak di Taiping, Perak, dengan ketinggian 1,200 m. Kawasan ini merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia. Hampir setiap hari pada waktu petang, hujan turun di kawasan ini. Merupakan kawasan reakreasi Tanah Tinggi di negeri Perak. Bukit Larut atau Maxwell Hill dinamakan sempena residen British ketika itu iaitu George Maxwell pada 1880. Suhu pada siang hari ialah di antara 15 hingga 25 darjah Celsius dan boleh mencecah 10 darjah Celsius pada waktu malam. Kebanyakan pengunjung warga Inggeris yang datang pernah menyamakan Bukit Larut sebagai Switzerland musim bunga. Terdapat juga air terjun dan anak sungai yang sejuk airnya.

Kolam Air Panas Trong.
Kolam Air Panas Trong

Kolam Air Panas, Batu 9, Trong 34800, Changkat Jering, Taiping ini seluas 1 ekar merupakan kolam air panas perubatan yang pertama di Taiping. Mula beroperasi pada 2002 ini sesuai untuk dijadikan rawatan kesihatan tubuh badan dan kulit. Tarikan utama kolam air panas ini ialah mandian herba, merendam kaki dan perkhidmatan mandi. Keunikan kolam air panas semulajadi ini ialah ketinggian paras airnya melebihi bumi dan suhunya tetap dan kekal walaupun cuaca sejuk.

Bukit Merah Lake Town.
Bukit Merah Lake Town

Dari Taiping melalui Jalan Kerian dan Kubu Gajah yang mengambil masa lebih kurang 45 minit perjalanan. Antara kemudahan rekreasi yang didapati di sini adalah Taman Tema Air atau "Water Theme Park", Pulau Orang Utan, Taman Eco-Park yang unik dan menarik dan tempat penginapan seperti Lake Town Inn. Merupakan destinasi eko-pelancongan yang terletak di Utara Semenanjung Malaysia yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan keriangan dalam satu lokasi.

Masjid Ubudiah Kuala Kangsar.
Masjid Ubudiah Kuala Kangsar

Masjid yang terindah di Negeri Perak ini terletak di sebelah kawasan permakaman Di Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Masjid ini dibina di atas kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 (1887-1916) kerana menunaikan nazar baginda.

Kerajaan Negeri Perak kemudian mengarah Colonel Huxley dari Pejabat Kerja Raya di Kuala Lumpur supaya merangka sebuah pelan masjid yang hendak didirikan itu. Tugas membuat pelan rekabentuknya telah diberikan kepada Hubbeclk, seorang arkitek kerajaan dan tugas melaksanakan bangunan itu pula diserahkan kepada Caufield sebagai ketua jurutera Negeri Perak ketika itu.

Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Pembinaan masjid tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul-ketul marmar di tempat simpanannya yang telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan.

Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama, sehinggalah 1917 barulah masjid yang terindah di negeri Perak itu dengan rasminya dibuka oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916. Belanja pembinaan masjid Ubudiah ketika itu di anggarkan berjumlah RM200,000.00

Istana Kenangan.
Istana Kenangan

Diperbuat daripada kayu dan dikenali juga dengan nama Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas. Terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah. Berdinding kelarai berbumbung perabut lima dan perabut pisang sesikat ini telah dirancang pembinaannya selepas banjir besar melanda Perak pada tahun 1926.

Tukang yang membuat istana ialah Haji Suffian dan anak-anaknya yang berasal dari Seberang Perai. Telah siap sepenuhnya pada tahun 1931. Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke 30 (1918-1938) telah berpindah bersemayam di istana tersebut kerana Istana Negara, iaitu istana rasmi Sultan Perak di Changkat Negara akan dirobohkan untuk dibina istana yang baru (Istana Iskandariah sekarang).

Dalam tahun 1933, apabila Istana Iskandariah siap dibina, Sultan Iskandar Shah telah berpindah ke istana tersebut. Istana Lembah atau Istana Tepas diduduki pula oleh keluarga Diraja Perak.

Nama Istana Kenangan hanya bermula pada tahun 1960 an, iaitu selepas istana tersebut diperbaiki semula dengan usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj, bekas Perdana Menteri Malaysia.

Galeri Sultan Azlan Shah.
Pada 16 November 1986, setelah dipelihara, Istana Kenangan dengan rasminya dijadikan Muzium Di Raja Perak hingga ke hari ini.

Galeri Sultan Azlan Shah


Dibuka secara rasmi oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada tarikh 9 Disember 2003. Awalnya istana yang disebut "Istana Hulu" atau disebut Istana Kota terletak di Bukit Chandan, merupakan istana konkrit yang pertama dibina di Negeri Perak. Istana ini kepunyaan Almarhum Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke 28 (1887-1916). Ia mula dibina pada tahun 1889 dan siap pada tahun 1903. Pada tahun 1916, istana ini diduduki oleh anakanda baginda, Almarhum Sultan Abdul Jalil. Dua tahun kemudian, istana ini telah diduduki pula oleh putera baginda iaitu Sultan Yussuff Izudin Shah, Sultan Perak ke 32 (1948-1963).

Pelbagai aneka memorabilia dan barang-barang peribadi milik Sultan Perak dipamerkan di galeri ini. Ada juga bangunan berasingan yang menunjukkan unit kereta kerajaan dan kereta peronda yang digunakan dalam iring-iringan kereta ketika Sultan Azlan Shah memerintah. Ada juga kedai cenderamata yang menjual barang yang berkaitan dengan kesultanan Perak.
Pokok getah tertua.

Pokok getah tertua

Terletak berhampiran dengan Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan satu-satunya pokok getah pertama yang hidup daripada sembilan pokok getah asal yang ditanam.

H.N.Ridley adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Kuala Kangsar sebagai daerah industri getah yang pertama dan akhirnya menjadi sumber pendapatan penting Malaysia.

Jambatan Victoria.
Jambatan Victoria

Jambatan keretapi ini disebut juga Jambatan Enggor kerana letaknya di Enggor, Kuala Kangsar. Jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula dibina pada tahun 1897 dan siap serta dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada tahun 1900.

Jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jambatan ini ialah G.W Fryer, Divisional Engineer dan C.R. Hanson.

Dengan siapnya jambatan ini, maka lengkaplah perjalanan keretapi dari Enggor ke Kuala Kangsar. Dalam tahun 1910, jambatan ini telah digunakan sepenuhnya untuk laluan keretapi dari Perai ke Johor Bahru.

Labu Sayong Kuala Kangsar

Labu sayong Kuala Kangsar.
Tembikar yang lebih dikenali sebagai Labu Sayong berwarna hitam banyak terdapat di Sayong, daerah Kuala Kangsar, Perak. Malah sebut sahaja Sayong, maka tergambarlah keindahan bentuk seni labu yang berwarna kehitaman.

Suatu masa dahulu, labu hitam adalah alat penting yang digunakan sebagai bekas menyimpan air minuman di majlis kenduri. Keistimewaan labu hitam ini ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa jenis penyakit seperti batuk dan demam panas.

Taiping terkenal dengan duriannya.
Durian - (Durio zibethinus L)

Lokasi Taiping dan Kuala Kangsar yang berdekatan dengan pusat pengeluaran buah durian  yang terbaik di Malaysia. Bukit Gantang dan Batu Kurau adalah pusat pengeluran buah durian terbaik di Malaysia dan Dunia.

Petua untuk menghilangkan kepanasan selepas anda makan durian; masukkan air bertapis ke dalam pangsa durian, kemudian anda minum. Insya-Allah mujarab. Petua orang-orang tua dahulu.

Mee Udang Kuala Sepetang.
Mee Udang Banjir Kuala Sepetang

Taiping sudah tentunya berdekatan dengan pusat mee udang yang terkenal dan menjadi buah mulut orang ramai. Terdapat gerai dan restoran yang menyajikan mee udang segar, sumber hasil laut dari Kuala Sepetang. Dari Taiping dengan jarak perjalanan 17 km dan mengambil masa kira-kira 25 minit perjalanan untuk sampai ke Kuala Sepetang.

Port Weld (Kuala Sepetang).
Sekali makan sudah tentu anda ingat lagi. Jangan lupa untuk merasakan mee udang di sini.


Kuala Sepetang (Port Weld)

Keretapi pertama.
Sejarah sistem keretapi di negara ini bermula pada 1 Jun 1885 apabila jalan keretapi yang pertama di Tanah Melayu yang menyambung Taiping dengan Port Weld sepanjang 8 batu (13 km) di buka dengan rasminya oleh Sir Hugh Low, Residen British Perak ketika itu. Kerja-kerja pembinaan jalan keretapi yang pertama ini dimulakan dalam tahun 1882 dan seluruh pembiayaan pembinaan berjumlah £7000 ditanggung oleh Kerajaan Negeri Perak.

Kayu arang.
Tujuan utama jalan keretapi itu dibina ialah untuk menghubungkan antara kawasan perlombongan di Larut dengan pelabuhan terdekat iaitu Port Weld. Jalan keretapi itu juga telah menyenangkan perjalanan keluar masuk buruh dan pelombong ke tempat pekerjaan. Pembinaan landasan ini menjadikan stesen keretapi Taiping sebagai stesen keretapi pertama di negara ini.

Pokok bakau.
Selain mee udang, Kuala Sepetang juga terkenal dengan industri pengeluaran arang, selain daripada sektor perikanan. Arang ini dihasilkan daripada kayu bakau.

Meskipun banyak spesis bakau terdiri Api Api (Avicennia spp), Bakau Kurap (Phizophora Spp), Perepat (Sonneratia Spp), Bakau Berus (Bruguiera Spp) dan Bakau Merah (Rhizophora mangle), tetapi hanya Bakau Minyak (Rhizophora spp) paling sesuai dijadikan sebagai arang kerana mengandungi kandungan minyak yang membolehkan dia bertahan lama sebagai arang selain kurang asap.

Tempat pembakaran kayu arang.
Kayu bakau yang sudah dipotong perlu dibuang kulitnya bagi menjaga mutu arang yang mahu dihasilkan sebelum ia disusun atas para dalam dapur pembakar berbentuk kubah setinggi 30 kaki yang dibina menggunakan tanah liat dan bata sebelum dibakar sehingga rentung sepenuhnya yang mengambil masa 51 hari.
Alat solek dari kayu arang.
Sepanjang tempoh pembakaran kayu bakau terbabit, bahan bakar perlu ditambah setiap dua jam selain memastikan api pembakaran itu tidak padam kerana kejadian itu boleh menyebabkan arang itu terbakar sendiri dengan membentuk bara yang boleh mencetuskan letupan pada kubah dapur terbabit.

Arang perlu disejukkan selama 10 hari. Arang yang terhasil akan dibungkus, selain untuk kegunaan domestik ia juga dipasarkan ke Korea dan Jepun bagi tujuan pembuatan alat-alat kosmetik.

0 comments:

Post a Comment