PAGOH - Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat menegaskan rancangan projek pembinaan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini yang bernilai hampir RM1 bilion bukan 'cerita kosong', sebaliknya akan memacu pembangunan di kawasan utara Johor.
Timbalan Perdana Menteri berkata fasa pertama pembangunan berkenaan akan dimulakan tahun depan yang sekali gus menyangkal cakap-cakap bahawa kerajaan berbohong mengenainya. "Ini bukan cerita kosong... pasal ada orang beritahu saya papan tanda sudah naik lebih setahun tetapi projek masih belum dibina.

"Saya sebagai wakil rakyat tidak pernah bohong. Apabila kita buat sesuatu, kita akan laksanakannya," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Deepavali Parlimen Pagoh, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata seluruh masyarakat Pagoh perlu berbangga dengan pembangunan tersebut kerana memudahkan anak mereka mendapat pendidikan terbaik tanpa perlu pergi jauh dari kawasan Pagoh untuk menimba ilmu.

"Inilah keistimewaan Pagoh. Ini bukan 'angkat bakul masuk sendiri'. Di selatan Johor sudah ada Iskandar Malaysia dan Rapid Petronas, jadi di utara Johor ini, yang terbaik ialah pembinaan hab pendidikan tinggi," katanya.
Sumber BERNAMA 23/11/2012
0 comments:
Post a Comment