Tuesday, December 11, 2012

Kementerian Pelajaran akan iktiraf kurikulum Dini, Tahfiz

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang dalam proses mengiktiraf kurikulum Dini dan kurikulum Tahfiz yang digunapakai di Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebagai kurikulum kebangsaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata perkara itu bagaimanapun masih lagi di peringkat perundangan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Raja-Raja Melayu.

"Sekiranya selesai dari segi perundangan, maka kita (kerajaan) dapat mengiktiraf kurikulum Dini dan Tahfiz sebagai kurikulum kebangsaan dan barang kali akan memudahkan lebih banyak SAN dan SAR dinaiktaraf sebagai Sekolah Agama Bantuan Rakyat (SABK)," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr Arifin SM Omar berkenaan langkah kerajaan dalam memartabat SAN dan SAR, di Dewan Negara, hari ini.

Katanya sebaik SAN dan SAR berdaftar sebagai SABK, pelbagai insentif dan bantuan yang diperuntuk kerajaan, boleh dinikmati mereka.

"Ini membolehkan pula kementerian untuk memperuntuk guru yang berkelayakan, menyediakan bantuan geran per kapita, buku teks, pentaksiran bersistematik, penaziran berkualiti serta pengurusan yang cekap di SAN dan SAR.

"Selain itu, kementerian juga boleh menyalurkan bantuan kewangan kepada sekolah itu, dapat membantu dalam membiayai pengurusan, elaun tambahan gaji guru, pembaikan kecil serta prasarana pendidikan yang diperlukan SAR mahupun SAN," katanya.

Beliau berkata sehingga kini, hanya 105 SAR dan 90 SAN telah mendaftar sebagai SABK.

Sumber Bernama 11/12/2012

0 comments:

Post a Comment