Saturday, December 08, 2012

20,000 Unit Rumah PR1MA, Monorel Untuk Rakyat Pulau Pinang - Najib

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

GEORGE TOWN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berjanji untuk memberi dua hadiah besar kepada rakyat Pulau Pinang iaitu pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dan perkhidmatan monorel jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat semula untuk memerintah negeri ini.

Katanya, 10,000 unit rumah mampu milik itu akan dibina dalam masa terdekat di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) manakala baki 10,000 unit akan dibina oleh agensi-agensi kerajaan termasuk JKP Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).

"Rumah-rumah itu akan dijual di bawah harga pasaran untuk rakyat Pulau Pinang, contohnya jika rumah itu harga pasarannya RM500,000 kita jual dengan harga RM300,000 sahaja," katanya ketika berucap melancarkan Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Beliau berkata permohonan untuk PR1MA boleh dibuat melalui online yang dibuka hari ini dan cabutan (undian mendapatkan rumah) akan dibuat secara telus.

Najib berkata satu lagi janji yang akan ditunaikan ialah pembinaan perkhidmatan monorel sebagai langkah mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin serius.

"Kita tahu rakyat Pulau Pinang dihantui dengan kesesakan lalu lintas. Jadi, kita tengok macam mana nak selesai masalah ini dan akan membina sistem monorel sama seperti perkhidmatan LRT (transit aliran ringan) yang ada di Kuala Lumpur," katanya.

Sumber BERNAMA 8/12/2012

0 comments:

Post a Comment