Sunday, November 18, 2012

Pendidikan Khas Untuk Kumpulan Memerlukan Perhatian Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

GOLD COAST - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan memasukkan bab baru berkaitan pendidikan khas untuk kumpulan yang memerlukan perhatian bagi mencakupi keperluan khas kumpulan tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penambahan bab itu dilakukan setelah mengambil kira maklum balas yang diterima sejak laporan awal pelan itu dilancarkan September lepas, katanya.

Berikutan itu, katanya, satu makmal untuk melihat keperluan khas untuk kumpulan yang memerlukan diadakan di mana beliau memberi pengiktirafan terhadap perakuan-perakuan baik yang dikemukakan makmal itu.

"Dan kita ada satu bab baru untuk menunjukkan dalam sistem pendidikan kita, mengenai kumpulan memerlukan perhatian khas, ada dijelaskan dengan lebih terperinci," katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan sembilan hari ke Australia di sini pada Ahad.

Muhyiddin berkata masih ada ruang untuk pelbagai pihak memberikan maklum balas untuk memperkukuhkan pelbagai aspek dalam laporan awal pelan itu sebelum pelan lengkap disediakan meskipun ia kini berada di peringkat akhir.

"Kita sudah sampai peringkat akhir, lepas ini perlu dimantapkan, laporan akhir perlu disediakan," katanya.

Turut dipertimbangkan hasil maklum balas yang diterima daripada masyarakat Cina ialah mengenai sistem pendidikan sekolah jenis kebangsaan seperti tuntutan persatuan Dong Zhong yang mahu kelas peralihan dikekalkan.

Muhyiddin berkata pendekatan anjal untuk kelas peralihan mungkin boleh dilaksanakan sekiranya ia mahu dikekalkan bergantung kepada keupayaan pelajar.

"Kalau mereka rasa perlu lagi sekolah peralihan, mungkin kita boleh buat dalam bentuk yang lebih 'flexi' sebab keperluan pelajar ini berbeza-beza.

"Kalau pelajar itu hanya perlu masuk untuk tempoh tiga bulan atau enam bulan tidak perlu tunggu setahun, supaya yang mana dia kurang dalam Bahasa Malaysia boleh diperkukuhkan, bagi saya ia bukan masalah besar," katanya.

Sumber BERNAMA 18/11/2012

0 comments:

Post a Comment