Sunday, November 25, 2012

Kawal situasi cemas di rumah

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu mempelajari teknik pertolongan cemas terutama membabitkan kejadian anak tercekik atau tersedak makanan yang kerap berlaku terutama di kalangan bayi.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Malinee Thambyayah berkata, kemahiran pertolongan cemas mampu mengurangkan risiko bahaya terhadap bayi sebelum bantuan tiba.

“Dalam kes tercekik membabitkan bayi, ia sukar menggunakan kaedah Heimlich yang biasanya dilakukan kepada orang dewasa.

“Apabila menyedari bayi tidak sedarkan diri dan wajah berubah warna, dia perlu dibaringkan secara terbalik di atas lengan penjaga manakala telapak tangan pula berfungsi menstabilkan kepala dan leher bayi. Pastikan kedudukan kepala lebih rendah berbanding badan bayi.

“Kemudian, tepuk bahagian belakang bayi antara tulang belikat menggunakan tangan. Sekiranya masih tidak bernafas, baringkan bayi di tempat rata dan tekan dadanya menggunakan dua jari,” katanya ketika dihubungi.

Seandainya bayi masih tidak bernafas, penjaga perlu memeriksa dalam mulut bayi dan dinasihatkan jangan cuba menarik keluar objek, melainkan ibu bapa boleh melihat halangan itu dengan jelas. Sebaik-baiknya ibu bapa menggunakan jari untuk mengeluarkan objek berkenaan.

Selepas itu, penjaga perlu melakukan pernafasan mulut ke mulut sebanyak dua kali dan sekiranya masih tidak berjaya, ulangi langkah seperti sebelumnya.

Dr Malinee berkata demikian mengulas dua laporan Harian Metro semalam mengenai dua kejadian membabitkan bayi lelaki berusia dua bulan yang meninggal dunia akibat tercekik biji rambutan, manakala bayi 20 bulan tersedak biji gajus namun sempat diselamatkan.

Dalam dua kejadian di Kuala Terengganu, Terengganu dan Alor Gajah, Melaka itu, kedua-dua penjaga meninggalkan bayi mereka bersama kanak-kanak lain untuk melakukan sesuatu di dapur termasuk membuat susu dan memasak.

Sumber myMetro Ahad 25/11/2012

0 comments:

Post a Comment