Thursday, October 31, 2013

“Deepavali Vaalthukal”

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Selamat menyambut Deepavali (juga disebut sebagai Depawali, Dipavali, Dewali, Diwali, Divali, Dipotsavi, Dipapratipad) kepada semua yang meraikannya walau di mana anda berada.

Wishing Happy Diwali to everyone!
Deepavali Vaalthukal!! Shubh Diwali!!

Tuesday, October 29, 2013

Ibadah sembelihan korban dibolehkan di sekolah

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments




Monday, October 28, 2013

Fakta : 6 Kesilapan Termahal Dalam Sejarah Manusia

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Krisis loji tenaga nuklear Chernobyl.
6. Krisis Loji Tenaga Nuklear Chernobyl

Ia antara kesilapan yang paling teruk pernah berlaku dalam sejarah manusia. Kemalangan di Chernobyl berlaku disebabkan peralatan yang rosak dan tidak dibaiki setelah amaran dikeluarkan. Hasilnya, empat reaktor nuklear hilang kawalan semasa ujian kecemasan yang membawa kepada krisis yang terkenal di seluruh dunia ini. Dianggarkan, ia menelan kerugian sebanyak US$38 Billion serta menyebabkan dua orang pekerja terkorban serta merta dan yang lainnya meninggal dunia sekian lama selepas kejadian itu termasuk 28 orang ahli bomba.

Kebakaran hutan terbesar dalam sejarah California.
5. Kebakaran Hutan Terbesar Dalam Sejarah California

Ini adalah satu kesilapan yang dilakukan oleh seorang pemburu pada musim luruh tahun 2003. Pemburu berkenaan dikatakan telah hilang semasa memburu dan akibat telah berputus asa, dia menyalakan isyarat asap kecemasan di sebuah ladang berdekatan wilayah San Diego. Api yang marak kemudiannya tersebar hingga memusnahkan hampir 300,000 ekar hutan. Ia juga
menyebabkan kehilangan nyawa seramai 14 orang dan memusnahkan 2,322 buah rumah di sepanjang jalan. Pada akhirnya, kerugian yang dialami dianggarkan bernilai US$1.5 Billion!

Tragedi di pelantar minyak "The Piper Bravo".
4. Tragedi di Pelantar Minyak "The Piper Bravo"

Ada masa-masanya di dalam sejarah apabila kecuaian dan kesilapan membawa kepada kehilangan nyawa dan wang. Inilah yang berlaku pada Mei 1994 apabila pemeriksa keselamatan terlupa untuk menggantikan injap di pelantar minyak Piper Bravo semasa pemeriksaan rutin. Pemeriksa telah mengeluarkan dan menggantikan semua injap keselamatan yang lain kecuali satu injap yang telah dilupakan. Seorang pekerja yang tidak pernah tahu bahawa salah satu injap keselamatan telah dilupakan menekan butang menghidupkan pam minyak di pelantar minyak berkenaan. Ia merupakan keputusan yang sangat buruk dan sangat mahal. Pelantar tersebut meletup dan membunuh seramai 167 orang pekerja dan memusnahkan harta bernilai US$3.4 Billion.
Kemalangan kapal tangki minyak The Exxon Oil.

3. Kemalangan Kapal Tangki Minyak The Exxon Oil

Ini adalah kemalangan yang berlaku pada tahun 1989 dan ia disebabkan oleh kesilapan kapten kapal yang terlalu mabuk pada ketika itu. Kapal tersebut dikatakan sedang dalam perjalanan ke Carlifonia tetapi terlanggar kapal Prince William Sound di luar perairan pantai Alaska yang menyebabkan tumpahan minyak mentah sebanyak 760,000 tong minyak. Hasilnya, US$4.4 Bilion telah dibelanjakan bagi proses membersih dan membaiki kerosakan yang disebabkan oleh kemalangan tersebut.

2. Kemalangan Roket Angkasa Challenger

The Challenger merupakan sebuah kapal angkasa yang dibina dan dimiliki oleh NASA. Ia meletup 72 saat selepas berlepas dan membunuh kesemua angkasawan. Siasatan mendapati letupan tersebut disebabkan oleh kecuaian jurutera NASA dari segi reka bentuk kapal angkasa berkenaan. Hasilnya, ia telah menyebabkan kerugian sebanyak US$5.5 Billion dalam proses pembinaan kapal angkasa itu.

1. Pembelian Time Warner oleh AOL

Pembelian Time Warner oleh AOL.
Syarikat-syarikat juga pernah membuat kesilapan dan ini adalah antara kesilapan yang paling teruk yang pernah dibuat oleh sesebuah syarikat. AOL telah membeli syarikat Time Warner pada harga US$180 Billion  pada tahun 2000 tetapi dijual semula sembilan tahun kemudiannya pada kos yang rendah iaitu sebanyak US$36 Billion. Pada akhir, AOL telah kerugian sebanyak US$146 Billion!

Sumber : Interesting6

Wednesday, October 23, 2013

Timelapse di Mauna Kea Heavens tempat teleskop

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Di Hawai menjadi salah satu syurga untuk beberapa jurugambar astronomi. Di sana terdapat teleskop skala besar, tempatnya sangat bersih dengan langit yang cerah dan berada di daerah terpencil yang bebas pencemaran termasuk pencemaran cahaya.

Dari ketinggian 4,200 meter dan lebih, pembuat video yang masih menyelesaikan studi astronomi di Universiti Hawaii. Dia mendapatkan akses untuk masuk ke fasiliti observerasi Mauna Kea sampai berjalan-jalan di sekitar teleskop.

Pembuatnya si Sean Goebel, menyatakan, teleskop panduan laser di sana, mengunakan sinar laser dengan kekuatan 15 - 40W, laser digunakan untuk melacak turbulensi (meluncur gelora) di atmosfera serta menghilangkan kabur pada gambar. Di daerah ini pesawat dilarang melintas kerana sinar laser dapat menganggu pilot pesawat. Sean membuat video selama 3 malam pada April dan 4 malam pada musim panas yang lalu.

Sila lihat video timelapse yang dibuat oleh Sean di bawah ini. Tonton dengan HD 720, gambarnya bersih.

Sumber : Petapixel  |  Sgphotos.com

Lihat juga : Wikipedia




Saturday, October 19, 2013

Timelapse foto dari Pelle Cass mengabungkan banyak foto untuk satu foto

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Teknik dari Pelle Cass membuat foto Time Lapse, bukan video Time Lapse. Satu foto digabung dari beberapa foto lain, membuat jalan lengang terlihat sangat ramai dalam satu foto.

Dari semua foto diatur dan ditempelkan bahagian yang kosong dengan mengkombinasikan satu orang yang sedang berjalan, lalu diisi lagi dengan urutan satu orang lain. Demikian juga dengan kenderaan. Akhirnya membuat satu foto time lapse. Dari 4
orang yang sedang berjalan dapat menampilkan 20 atau 30 orang yang berjalan. Hanya mengunakan proses edit dari beberapa foto yang dibuat.

Berbeza dengan foto Time Lapse mengabadikan satu pemandangan dengan urutan banyak foto menjadi sebuah video yang dipercepat. Yang ini dibuat  hanya untuk satu foto dari beberapa urutan foto. Idea menarik dari teknologi Time Lapse foto.

Pelle menjelaskan bagaimana idea dan pembuatan sebuah foto yang digabung dari banyak foto. Tekniknya boleh dilihat di video Youtube.

Friday, October 18, 2013

Khutbah Jumaat: Pembelajaran sepanjang hayat tuntutan Islam

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Masih belajar walaupun warga emas.
Dalam kehidupan di dunia ini kita amat dituntut mempelajari pelbagai ilmu bertujuan untuk memakmurkan dunia ini. Kita juga dituntut mengikhlaskan niat menuntut ilmu hanya kerana Allah SWT. Allah SWT meletakkan kekuatan akal fikiran dan ilmu pengetahuan sebagai keutamaan yang mampu mengatasi kekuatan-kekuatan lain yang ada pada manusia. Kesinambungan budaya menuntut ilmu berterusan bermula sejak Nabi Adam a.s hingga sampai kepada rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa yang bersejarah ketika penurunan wahyu yang pertama di Gua Hira’ juga adalah berkaitan dengan keilmuan.

Firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq ayat 1-5:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Dia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah dan Tuhanmulah yang maha pemurah, yang mengajar (manusia) melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”. 

Ayat tersebut menjelaskan bahawa Islam menyeru umatnya supaya menjadi orang yang berilmu dan mementingkan keilmuan. Sejarah telah membuktikan bahawa keunggulan sesuatu bangsa adalah bergantung kepada ketinggian ilmu masyarakatnya. Umat yang mementingkan ilmu pasti akan bangkit sebagai umat yang terulungdan bertamadun di mata dunia. Benarlah segala seruan Allah SWT dan Rasul-Nya bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan.

Oleh yang demikian, proses menuntut ilmu adalah satu usaha yang berterusan sepanjang hayat seseorang insan. Hukama’ ada mengatakan bahawa:

“Tuntutlah ilmu sejak dari buaian lagi hingga ke liang lahad”.

Justeru, intisari kata-kata tadi menjelaskan kepada kita bahawa Islam amat menggalakkan setiap manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Selain daripada itu, apa yang dapat dicerap juga ialah batas usia mahupun kekangan-kekangan yang ada, baik yang berupa halangan kebendaan, kewangan mahupun fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu halangan kepada kita untuk menuntut ilmu kerana dalam agama Islam ia merupakan satu proses yang berterusan dan berpanjangan. Arahan ini diperkukuhkan lagi bersandarkan sebuah hadis daripada Anas Ibnu Malik r.a bahawa nabi s.a.w bersabda:

“Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam”. (Riwayat Ibnu Majah dan Abu Ya’ala) .

Islam amat memuliakan ilmu pengetahuan dan menganjurkan umatnya supaya menjadi orang yang berilmu pengetahuan. Dalam hal ini, menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam sama ada tua ataupun muda. Mempelajari ilmu pengetahuan sepanjang hayat amat digalakkan untuk mengangkat ketinggian peradaban umat pada masa akan datang. Lantaran itu, proses pembelajaran yang dimaksudkan bukan sahaja menuntut ilmu di sekolah dan di universiti malah boleh juga belajar melalui pembacaan, ceramah, bengkel dan apa sahaja cara yang dapat membantu meningkatkan ilmu pengetahuan. Usia yang dianugerahkan oleh Allah akan terisi dengan ilmu yang bermanfaat kepada diri dan masyarakat. Allah SWT telah menjelaskan kedudukan orang yang berilmu dalam surah al-Mujadilah ayat 11:

“…Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat…”. 

Menurut Sayyid Qutb Rahimahullah dalam Tafsirnya Fi Zilal al-Quran menukilkan bahawa:

“Ilmu Allah itu tidak terbatas luasnya dan tidak mampu dijangkau semuanya oleh manusia. Oleh itu, hendaklah kita tidak bersikap sombong dengan sentiasa berusaha ingin mendalaminya. Apa saja yang boleh membawa kebaikan dan kesejahteraan perlu dipelajari sama ada secara formal atau tidak kerana ia adalah tuntutan Islam”. 

Imam Al-Ghazali Rahimahullah menegaskan bahawa:

“Ilmu itu kehidupan hati daripada kebutaan, sinar penglihatan daripada kezaliman dan tenaga badan daripada kelemahan. Dengan ilmu, hamba Allah itu sampai ke tempat orang baik-baik dan darjat yang tinggi yang membezakan antara manusia dan haiwan”.

Oleh yang demikian, setiap individu haruslah berusaha melakukan proses pembelajaran sepanjang hayat bagi mewujudkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Pembangunan insan dan juga pembangunan modal insan hanya dapat dilakukan melalui ilmu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi.

Bersempena Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2013 yang disambut pada bulan Oktober ini bertemakan “ Pembelajaran Sepanjang Hayat” marilah sama-sama kita berusaha untuk mencapai kualiti hidup yang sejahtera dan bertamadun. Hendaklah setiap daripada kita mestilah berilmu dan terus menimba ilmu pengetahuan. Pembelajaran sepanjang hayat adalah jawapan yang paling tepat yang seharusnya dilakukan oleh generasi sekarang. Antara langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah:

1. Menghadirkan diri ke kuliah-kuliah yang diadakan di mana-mana sama ada di masjid-masjid, surau-surau, dewan seminar, program-program wacana, forum dan sebagainya.

2. Hendaklah menggunakan kesihatan yang ada, usia yang lanjut untuk menambah dan mencari ilmu terutama untuk memperbaiki amal ibadah kita.

3. Kita semua hendaklah memastikan ahli keluarga kita dapat mewarisi dan mengamalkan ilmu-ilmu yang bermanfaat khususnya ilmu-ilmu fardhu ain.

4. Hendaklah memastikan dan menggunakan usia yang lanjut dengan amalan-amalan yang terbaik untuk mencapai matlamat Husnul
Khatimah.

Akhir sekali, mimbar menyeru dan mengingatkan bahawa adalah amat malang sekali apabila sebilangan para jemaah yang selesai melaksanakan solat fardhu maghrib dan terus meninggalkan majlis-majlis pengajian ilmu yang diadakan oleh pihak masjid ataupun surau. Luangkanlah sedikit masa walaupun untuk seketika.


“Katakanlah (wahai Muhammad) Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”. 
 (Az-Zumar : 9)

Sunday, October 13, 2013

Bila gadis mengamuk di kedai kopi!

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Apa berlaku jika ada orang yang bersikap kurang sensitif menumpah air atas laptop anda? Pasti sekali anda tidak akan sekadar tersenyum.

Kalau anda ada kuasa 'superpower', mesti itulah masa yang paling sesuai nak gunakannya, macam klip video di bawah.

Semua itu diatur sebagai promosi untuk filem Carrie, memang kreatif. Baru beberapa hari video itu dimuat naik ke Youtube, ia sudah ditonton lebih 34 juta kali!

Friday, October 11, 2013

Khutbah Jumaat: Penghayatan Korban

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Jasa para perajurit negara yang sanggup berkorban nyawa membanteras
pengganas komunis wajar dikenang dan dihargai generasi kini.
Beberapa hari lagi kita akan menyambut hari raya Idul-adha dan melaksanakan ibadah korban. Sebagaimana yang kita maklum bahawa menyembelih korban itu adalah sebagai bukti pengorbanan seorang hamba untuk tujuan beribadah kepada-Nya. Mudah-mudahan segala pengorbanan, kebajikan dan amal soleh kita akan diterima oleh Allah dan ianya menjadi saksi kebaikan kita di dunia dan di akhirat kelak.

Bagi umat Islam kisah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as ketika peristiwa korban anaknya Nabi Ismail, adalah suatu manifestasi ketundukan dan lambang ketaatan yang cukup tinggi dalam menjunjung titah perintah Allah SWT. Daripada peristiwa inilah telah disyariatkan dan dihubungkan dengan ibadah haji dan ibadah korban yang disambut setiap tahun. Ketaatan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as terhadap perintah Allah SWT dalam Al-Quran ini adalah lambang ketaqwaan seorang hamba terhadap penciptanya.

Umat Islam perlu memahami bahawa setiap peristiwa dan kisah-kisah yang dipaparkan di dalam al-Quran adalah sesuatu yang mesti diambil pengajaran dan iktibar darinya. Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf ayat 111:
“Sesungguhnya kisah para nabi itu mengandungi pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Al Quran itu bukanlah cerita-cerita yang direka, tetapi ia menjelaskan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab yang sebelumnya, dan sebagai keterangan yang menjelaskan segala sesuatu, serta menjadi hidayah dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”

Begitulah kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as terhadap perintah Allah SWT yang menciptakan dirinya. Semoga kesan penghayatan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihima as-salam itu akan dapat memotivasikan dan mendorong diri kita agar terus berusaha untuk menjadi umat yang terbaik serta tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Satu persoalan yang perlu dilontarkan kepada diri kita ialah; adakah kita hari ini telah menjadi seorang hamba yang benar-benar memiliki ciri-ciri pengorbanan yang sama seperti pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihima as-salam?

Kisah kehidupan Rasulullah s.a.w itu jika dikaji dan difahami, jelas memaparkan kepada kita bahawa perjalanan hidup Rasulullah s.a.w itu sebenarnya penuh dengan pengorbanan diri, pengorbanan emosi, harta dan jiwa raga yang berlaku secara langsung kepada baginda s.a.w. Oleh itu, Allah SWT telah memerintahkan kepada kita agar menjadikan kehidupan Rasulullah s.a.w sebagai contoh tauladan yang unggul.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21:

“Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT”.

Firman Allah ini memberi gambaran bagaimana Rasulullah SAW sentiasa berhadapan dengan ujian dan tekanan. Namun dengan jihad dan pengorbanan yang tinggi sahajalah ianya mampu ditangani.

Maka umat Islam hari ini perlu menyedari bahawa dalam kehidupan mereka mestilah ada konsep pengorbanan yang perlu dicatatkan sebagai suatu perkara yang mesti diperjuangkan dalam kehidupan ini bagi melayakkan diri mereka untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

Pertembungan antara hak dan batil adalah suatu sunnatullah. Ini adalah kerana kedatangan Islam itu adalah untuk menghancurkan dan menghilangkan kebatilan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 81:

"Dan katakanlah: telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang batil (kufur dan syirik); Sesungguhnya yang batil itu pasti akan lenyap".

Lantaran itu, untuk melihat Islam itu dimuliakan dan dimenangkan mengatasi kepercayaan dan cara hidup yang lain, maka umat Islam perlulah sanggup bersedia untuk berkorban demi Islam. Satu persoalan yang mungkin timbul: adakah umat Islam hari ini telah memiliki jiwa yang sanggup berkorban untuk mempejuangkan agama mereka?.

Sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah menunjukkan kepada kita bahawa mereka sanggup berjuang demi agama yang tercinta ini. Setelah kematian bapa saudara dan isterinya pada tahun kesepuluh kerasulan, tekanan, ugutan bunuh dan penindasan dilakukan terhadap Nabi bertambah hebat, namun demi Allah dan agama yang tercinta, Baginda tetap bersabar dan bertawakal bahawa hanya Allah sahaja yang dapat memberi pertolongan.

Rasulullah pernah membawa diri ke Taif untuk meminta perlindungan daripada ancaman di Mekah. Namun di sana, banyak tekanan dan kezaliman seperti dilempar batu, duri dan najis, akan tetapi Rasulullah tetap bersabar dan memohon agar mereka diberikan hidayah dan petunjuk. Rasulullah dan para sahabatnya berkorban meninggalkan tanah air tercinta iaitu Mekah dan berhijrah ke Madinah semata-mata untuk membina kekuatan Islam sekalipun di bumi yang jauh lagi asing.

Sebelum berhijrah ke Madinah, golongan kafir Quraisy cuba mengepung dengan niat hendak membunuh Baginda, namun Allah SWT menyelamatkannya sehingga terlepas daripada usaha jahat mereka. Tidak beberapa lama Rasulullah di Madinah, beberapa siri peperangan untuk mempertahankan Islam telah berlaku. Antaranya adalah peperangan Badar Kubra. Peperangan ini adalah lambang jihad dan pengorbanan tinggi Rasulullah dan sahabat seramai 313 orang berhadapan dengan 1000 tentera musuh. Namun dengan keimanan dan keyakinan yang tinggi, akhirnya umat Islam memperoleh kemenangan.

Antaranya juga sejarah peperangan Tabuk telah mengajar kita erti pengorbanan harta, jiwa dan tenaga yang dipaparkan oleh Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan sahabat-sahabat yang lain dengan menginfaqkan sebahagian besar harta mereka untuk membiayai jihad peperangan membela Islam. Malah terlalu banyak siri-siri peperangan lain yang menggambarkan pengorbanan Rasulullah dan para sahabat mempertahankan akidah dan Islam yang seharusnya dihayati oleh generasi hari ini.

Semangat inilah yang telah berjaya mengangkat Islam sebagai suatu cara hidup sejak lebih 1400 tahun dahulu. Mereka sanggup “berkorban” dengan harta dan nyawa demi kerana Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujarat ayat 15:

“Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”.

Untuk menjadi umat yang terbaik, ‘khaira ummah’, perlulah kita memiliki pemikiran, perasaan dan sikap yang sanggup “berkorban” seperti yang telah ditunjukkan oleh generasi yang terdahulu itu. Lihatlah bagaimana musuh-musuh umat Islam yang diketuai oleh Zionis hari ini begitu rakus dalam menguasai dunia umat Islam serta menyebar-luaskan ideologi kapitalisma ke seluruh dunia Islam.

Realiti di bumi Palestin khususnya di Ghaza, Iraq, Afghanistan, Mesir, Syria dan beberapa negara lain memberikan gambaran jelas kepada kita akan sikap dan tindak tanduk mereka yang sentiasa rakus memusuhi Islam. Kuncu-kuncu mereka yang terdiri daripada negara Amerika Syarikat sanggup mengorbankan harta dan nyawa rakyatnya semata-mata untuk memastikan ideologi kapitalisma yang mereka anuti itu tersebar ke seluruh dunia khususnya ke bumi umat Islam.

Umat Islam wajib berkorban dan berjihad dengan apa sahaja untuk mempertahankan dan membela negara dan umat Islam yang ditindas oleh musuh Islam, baik berupa wang ringgit, ketenteraan, perubatan, pendidikan, pembangunan mahupun tenaga kerja manusia dan lain-lain. Sekiranya pengorbanan dan jihad umat Islam tidak digandakan, tidak mustahil akan berlaku cengkaman terhadap negara Islam.

Umat Islam di bumi Palestin, bumi tempat terletaknya masjid Al-Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam dan masjid ketiga termulia selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, kini masih lagi berada di bawah kekuasaan rejim kufur Yahudi laknatullah. Begitu juga nasib umat Islam di bumi Iraq, Afghanistan dan lain-lain negara secara keseluruhan masih lagi berada dibawah penguasaan kufur secara langsung mahupun tidak langsung. Kini Syiria dan Mesir pula menghadapi krisis peperangan sesama sendiri yang boleh menggugat kedaulatan Islam.

Justeru, bagi mengembalikan kedaulatan Islam dan umatnya, suatu pengorbanan dari seluruh dunia umat Islam amat diperlukan. Adakah kita umat Islam hari ini telah bersedia untuk melakukan pengorbanan seiring dengan sambutan hari raya korban yang akan diraikan beberapa hari lagi di seluruh dunia?.

Kita yang memiliki jiwa berkorban akan senantiasa terpanggil untuk melaksanakan ketaatan kepada seluruh perintah Allah SWT samada ianya berbentuk perintah mahupun larangan Allah SWT dalam usaha kita untuk mendapatkan keredhaan-Nya, walaupun kita terpaksa mengorbankan segala-galanya baik harta mahupun nyawa. Kita wajar memahami bahawa kewujudan kita di dunia ini adalah semata-mata untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada perintah Allah SWT.


Pergilah kamu beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, samada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat (iaitu samada dalam keadaan susah atau senang, bersemangat atau tidak bersemangat); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”. (At-Taubat:41)

Saturday, October 05, 2013

Temasya Olahraga Tahunan Kali Ke-30

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Temasya Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan Jeram Batu 20, kali ke-30, tahun 2013.
Anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Tarikh:
6 Oktober 2013 (Ahad).

Tempat:
Padang SK Jeram Batu 20.

Dato' Amiruddin Setro.
Perasmian pembukaan oleh:
YB Dato' Hj. Amiruddin bin Setro,
DPMS., ASA.,
Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Kawasan Jeram.

Perasmian penutupan oleh:
Guru Besar,
SK Jeram Batu 20.

Dato'/Datin, Tuan/Puan, Saudara/Saudari dijemput hadir.




Friday, October 04, 2013

Khutbah Jumaat: Bahaya sikap takbur dan sombong

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Sifat takbur atau membesar diri adalah sifat yang hanya layak untuk Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaan yang ada pada-Nya, sifat ini membesari diri ini adalah sesuai dan layak bagi zat Allah. Bahkan ia adalah sifat sempurna yang wajib ada pada-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 23:
“Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan dia; Raja yang Menguasai; yang Maha Suci; yang Maha Selamat sejahtera; yang Maha melimpahkan keamanan; yang Maha menaungi; yang Maha Kuasa; yang Maha Perkasa; yang Melengkapi segala Kebesaran. Maha suci Allah dari segala yang mereka sekutukan”.

Takabbur adalah sifat khusus bagi Allah SWT, kita ditegah sama sekali dari bersifat membesar diri atau takbur. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis qudsi daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Allah azzawajalla berfirman: Membesar diri adalah selempang Aku. Keagungan adalah selendang Aku. Sesiapa yang merampasnya mana-mana satu darinya, Aku campakkan dia ke dalam neraka”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ibn Hibban).

Sejarah mencatatkan bahawa kekufuran pertama yang berlaku di langit adalah akibat sifat takbur. Iblis yang telah beribadat kepada Allah SWT sekian lama, akhirnya dihukum kufur, dilaknat dan dihalau oleh Allah dari syurga-Nya lantaran sifat takbur. Walaupun kesalahan Iblis adalah hanya tidak sujud kepada Adam A.S., bukan tidak sujud kepada Allah. Namun, punca kengganan itulah menyerlahkan sifat takbur dan membesar diri yang ada dalam hati Iblis.

Allah SWT merakamkan kejadian itu dalam beberapa ayat al-Quran, antaranya surah al-A’raf, ayat 11-13:
Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. Allah berfirman: "Apakah yang menghalangmu dari sujud ketika Aku perintahkan mu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku dari api, sedangkan dia, Engkau jadikan dari tanah." Allah berfirman: "Turunlah engkau dari syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, Sesungguhnya engkau dari golongan yang hina”.

Iblis enggan sujud kepada Adam kerana sifat takbur dan membesar dirinya. Iblis membesar diri bukan kerana ibadahnya yang banyak. Bukan juga kerana jasa dan sumbangannya. Bukan juga kerana ilmu dan kedudukannya. Iblis takbur kerana asal-usul dirinya sahaja.

Iblis tidak mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Iblis juga tidak ingkar untuk sujud kepada Allah. Tetapi dia enggan sujud kepada Adam kerana merasakan asal-usulnya lebih baik dari Adam. Dia merasakan asal api lebih baik dari asal tanah. Inilah sikap takbur dan kesombongan iblis laknatullah yang menjadikan kufur dan dicampakkan ke dalam api neraka.

Manusia atau mana-mana makhluk tidak boleh merasakan dia atau mereka lebih baik dari orang lain kerana asal-usulnya. Manusia tidak boleh merasa bangsanya lebih mulia dari bangsa lain. Ini kerana semua manusia dan semua bangsa dicipta oleh Allah SWT. Janganlah seorang berbangsa Arab merasa lebih mulia dari seorang Eropah. Janganlah seorang berbangsa Melayu merasa lebih mulia dari seorang India. Janganlah juga seorang berbangsa Cina merasa lebih mulia dari bangsa Iban atau Kadazan. Kerana semua bangsa itu dicipta oleh Allah. Bahkan setiap manusia tidak punya pilihan pun untuk lahir di kalangan bangsa mana sekalipun. Apa yang membezakan antara manusia di sisi Allah hanyalah sifat taqwa, iaitu berwaspada pada segala tindakan agar menepati garis panduan syarak yang diturunkan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Sabda Rasulullah s.a.w pula:
“Wahai manusia. Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu. Sesungguhnya bapa kamu adalah satu. Ketahuilah! Tiada kelebihan bagi seorang berbangsa Arab mengatasi seorang yang bukan Arab (‘Ajam), tiada juga kelebihan bagi seorang bukan berbangsa Arab melebihi seorang berbangsa Arab. Tiada kelebihan bagi seorang berkulit merah mengatasi seorang berkulit hitam. Tiada juga kelebihan bagi seorang berkulit hitam melebihi seorang berkulit merah, kecuali dengan taqwa”. (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

Sombong dan takbur adalah penyakit dalam hati. Ia penyakit yang paling merbahaya terhadap iman dan akidah kita. Justeru, setiap manusia hendaklah mengelakkan diri daripada bersifat dengan sifat ini. Setiap kita hendaklah berusaha membersihkan diri daripada sifat ini. Maka penyakit ini dapat diatasi dengan beberapa cara, antaranya:

1. Sentiasa memahami dan mengingati asal-usul kejadian manusia. Allah SWT telah mencipta kita semua daripada Adam A.S., yang berasal daripada tanah. Kemudian kita semua dijadikan pula dari air mani yang dipandang jijik oleh kita sendiri. Justeru, amat tidak layak manusia merasa sombong dan takbur lantaran asal-usulnya itu.

2. Sentiasa merenung kelemahan dan kekurangan diri. Setiap hari kita akan berpeluh dan membuang air. Kita dapat merasakan betapa badan kita adalah sentiasa berbau busuk jika tidak dibersihkan. Begitu juga, bahan buangan kita juga busuk dan jijik. Kita terpaksa menggunakan bahan luar atau benda asing untuk membersih dan mewangikan tubuh badan kita.

3. Sentiasa melakukan kerja-kerja kebajikan walaupun yang mungkin dipandang rendah oleh sebahagian masyarakat. Seperti kerja-kerja mengutip sampah, menyapu lantai, mencuci tandas atau mengangkat barang. Kerja-kerja tersebut tidaklah merendahkan martabat seseorang bahkan ia mengikis sikap takabbur dan sombong.

4. Menyedari kekerdilan dan kelemahan diri sendiri berbanding dengan makhluk-makhluk lain yang dicipta oleh Allah seperti haiwan, gunung-ganang dan sebagainya.

Marilah kita membersihkan hati kita dari segala sifat mazmumah, khususnya sifat takbur dan sombong. Ini kerana sesiapa yang bersifat dengan sifat ini walaupun sedikit, dia tidak akan dapat memasuki syurga Allah di akhirat.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tidak akan masuk syurga, orang yang dalam hatinya ada sifat takbur seberat biji sawi. Dan tidak akan masuk neraka (kekal di dalamnya), orang yang ada iman dalam hatinya seberat biji sawi”. (Riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. (Al-‘Araf : 36)