Wednesday, August 28, 2013

Petua dan tips bibir cantik menawan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Mungkin ramai di antara kaum wanita inginkan bibir cantik menawan. Tapi ada di antara mereka yang masih tidak tahu apa punca bibir jadi hitam, mengelupas dan kelihatan tidak segar. Semestinya mereka ini inginkan cara dan tips yang boleh menjadikan bibir kelihatan lebih sihat.

Apakah Puncanya?

Bibir yang menggelupas, hitam dan kering adalah disebabkan kurangnya collagen dalam bibir. Makanan dan minuman yang anda makan biasanya mengandungi bahan kimia yang banyak, boleh mengakibatkan kerosakan bibir. Malah kekurangan vitamin C juga menyebabkan bibir kering dan hitam, namun jika pengambilan vitamin C yang berlebihan boleh membuatkan nafas berbau. Oleh itu, terdapat beberapa tips dan petua yang memudahkan anda melakukan penjagaan bibir dengan berkesan.

1. Jangan biasakan untuk menjilat atau membasahkan bibir terutama ketika bibir tengah kering. Ini kerana air liur mempunyai enzim yang menyebabkan kerengsaan pada luar bibir.

2. Jadikan 'lipbalm' sebagai teman baik anda. Bawalah selalu keman-mana anda pergi.

3. Jangan gelupas atau tarik kulit bibir yang mati. Ia akan menyebabkan bibir anda luka dan berdarah. Seeloknya gunakan kain yang bersih atau 'wet tissue' untuk mengelap bibir yang gelupas itu.

4. Pilihlah gincu yang sesuai supaya tidak tersalah pilih kerana ia akan menyebabkan bibir anda hitam dan kering. Bagi penggemar gincu juga, tidak perlulah menggunakan gincu yang sudah setengah tahun umurnya, kerana ia akan merosakkan bibir anda.

5. Elakkan daripada selalu memakan makanan yang pedas, panas dan bergetah seperti buah duku.

6. Bagi yang gemar menggunakan bahan semulajadi, hirisan tomato boleh disapukan pada bibir anda. Biarkan selama 10 - 15 minit dan lakukannya sebanyak 2, 3 kali sehari. Hasilnya, bibir anda kelihatan lebih halus dan bebas dari pecah-pecah.

7. Jus lemon yang dicampur madu juga memerahkan bibir anda kerana jus lemon merupakan pemutih semulajadi yang mengandungi gliserin yang baik untuk kesihatan kulit. Tambahan pula, madu boleh melembapkan kulit serta bibir kelihatan semulajadi dan lebih lembap. Untuk hasil yang baik, lakukan sebanyak 2 kali seminggu terutama dalam suhu sejuk dan panas.

8. Minum air 8 gelas sehari boleh mencegah dehidrasi yag menyebabkan bibir kering dan merekah.

9. Bersih gincu sebelum tidur, boleh mengelakkan debu dan bakteria melekat.

10. Jangan merokok dan minum alkohol (haram bagi Muslim) kerana rokok dan alkohol mempunyai bahan kimia yang boleh hitamkan bibir.

Sumber : Pelbagai.

Tuesday, August 27, 2013

Yogurt untuk cantik

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Yogurt atau susu masam merupakan sejenis makanan yang kaya dengan sumber protein, kalsium, potassium, mineral dan vitamin untuk manfaat luaran dan dalaman tubuh badan.

Ia bukan sahaja baik untuk sistem penghadaman malah boleh dijadikan sebagai krim semulajadi yang bebas daripada bahan kimia. Apa yang menarik, krim ini dapat dilakukan di rumah tanpa melibatkan kos yang banyak. Nak tahu manfaat yogurt untuk kecantikan dalaman dan luaran anda? Mari lihat kebaikannya di
sini.

Melembapkan kulit
Kultur hidup bersama asid laktik di dalam yogurt mampu melembut, melembap dan membuang sel kulit mati. Sapukan yogurt ke seluruh wajah tangan serta kaki dan biarkan ia selama 20 minit sebelum dicuci dengan air suam. Lebihan yogurt tadi boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk disapu pada wajah sebagai pupur.

Untuk kulit kering
Bagi mereka yang mempunyai masalah kulit terlalu kering, tambahkan sedikit madu ke dalam yogurt kerana madu mempunyai unsur pelembap. Selain itu, anda juga boleh mencampurkan tiga sudu besar yogurt bersama dua sudu besar lobak merah yang sudah dikisar. Sapukan campuran tersebut pada wajah dan biarkan selama 20 minit sebelum dicuci dengan air suam.

Mencerahkan kulit
Campurkan yogurt dengan satu sudu besar serbuk koko dan satu
sudu besar madu. Gaulkan bersama-sama sehingga menjadi pekat sebelum disapukan pada wajah. Pastinya kulit akan tampil lebih segar, cerah dan bercahaya.

Membuang sel kulit mati
Yogurt juga boleh digunakan untuk membuang sel kulit mati dengan cara mencampurkan dua sudu besar yogurt dengan satu sudu besar oat. Gosokkan pada wajah dan tubuh badan dengan gerakan bulat agar semua sel kulit mati dapat dibuang.

Selain itu, anda boleh mencampurkan yogurt dengan kulit buah-buahan sitrus seperti oren yang sudah dikisar dan dikeringkan bersama dua sudu besar yogurt.

Menghapuskan bintik hitam dan bintik putih
Campuran serbuk beras dan yogurt yang dijadikan pes pekat mampu menghilangkan bintik hitam dan putih pada wajah sekaligus membersihkan wajah agar kelihatan berseri.

Caranya mudah sahaja. Sapukan pes tersebut dangan gerakan membulat pada wajah dan biarkan seketika sebelum dicuci dengan air sejuk. Kacang walnut juga boleh diguna untuk menggantikan beras.

Hilangkan jerawat
Masalah jerawat akan segera pulih dalam tempoh seminggu apabila menyapu yogurt setiap hari pada wajah. Kandungan zink yang terdapat di dalam yogurt membantu mengeringkan jerawat selain mengurangkan kesan merah dan keradangan.

Mengecilkan liang roma
Kandungan zink di dalam yogurt juga mampu mengecilkan liang roma dan menjadikan tona kulit anda kelihatan lebih sekata.

Hapuskan lingkaran gelap bawah mata
Sapukan sedikit yogurt di kawasan sekitar bawah mata selama 15 minit sebelum mencucinya. Di samping itu, campuran yogurt bersama serbuk kunyit, jus limau dan madu boleh disapu kepada bahagian kulit yang menjadi gelap akibat matahari selama 40 minit sebelum dibasuh.

Atasi masalah penuaan
Yogurt juga boleh mengelakkan anda daripada masalah kedutan sehingga membuatkan anda kelihatan tua dari usia sebenar. Caranya ialah dengan mencampurkan yogurt bersama minyak zaitun dan biarkan ia disapu pada kulit selama 30 minit. Lakukan tiga kali seminggu untuk hasil yang menakjubkan.

Hasilkan yogurt anda sendiri dengan dua liter susu penuh krim dan separuh liter susu yogurt yang mengandungi kultur hidup. Jangan lupa simpan di dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama!

Sumber : Nasibah Abdul Ghani | Tupai – Fri, Aug 23, 2013 5:22 PM MYT

Sunday, August 25, 2013

Teleskop Magellan lebih tajam dari Hubble

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Teleskop Magellan di gurun Chile.
Teleskop Magellan di gurun Chile mengunakan teknologi baru, disebut MagAP atau Magellan Adaptive Optic.

Dikembangkan oleh universiti Arizona, mampu mengambil ketajaman gambar berbanding teleskop Hubble.

Ukuran cermin teleskop Magellan sekitar 7 meter dapat mengambil gambar 2X lebih tajam dari teleskop Hubble yang mengunakan cermin 2.5 meter.

Contoh gambar di kanan, lebih tajam dibanding foto Hubble, kerana cermin teleskop Magellan lebih besar.

Titik kecil pada foto dengan zoom teleskop dapat memperlihatkan gambar dengan lebih jelas.

Di bawah ini teknologi teleskop MagAO, dari jauh tidak terlihat jelas, dengan pembetulan 1000 Hz; kedua bintang semakin jelas terlihat.

Sumber : UANews

Friday, August 23, 2013

Khutbah Jumaat : Percanggahan fahaman Syiah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Mencederakan tubuh badan
sebagai memperingati peristiwa
Karbala pada hari Asyura.
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah membuat keputusan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak. Penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang sama sekali. Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang-undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja. Dan Muzakarah tersebut juga menetapkan bahawa sebarang penerbitan, penyiaran atau penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-ain berhubung dengan ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Di Negeri Selangor juga fatwa pengharaman Syiah telah dikeluarkan pada 14 Februari 1998 yang memutuskan bahawa: “Fahaman dan ajaran Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya”.

Sehubungan dengan itu, untuk pengetahuan Muslimin sekalian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengisytiharkan pada 24 Julai 2013 bahawa Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5(1), Akta Pertubuhan 1966. Dari segi implikasi pengharaman Persatuan Syiah Malaysia di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966. Antaranya adalah;

a) Tiada seorangpun boleh menggunakan semula nama Pertubuhan Syiah Malaysia untuk didaftarkan sebagai pertubuhan kepada peruntukan Seksyen 7(3)(b) Akta Pertubuhan 1966.

b) Segala akaun, aset dan harta Pertubuhan Syiah Malaysia akan diserah dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

c) Tiada seseorangpun boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam Bangunan, menghasut, mendorong, mendapatkan yuran atau bantuan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil Pertubuhan Syiah Malaysia. Mereka yang bertanggungjawab menjalankan apaapa aktiviti Pertubuhan Syiah Malaysia akan disiasat dan didakwa di Mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Penyelewengan akidah dan pengamalan ajaran Syiah jelas bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara penyelewengan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Mendakwa bahawa al-Quran yang ada di tangan umat Islam pada hari ini adalah tidak lengkap.

Kedua : Mendakwa bahawa Jibril a.s. tersilap menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w yang sepatutnya diturunkan kepada Saidina Ali K.R.W.

Ketiga : Menolak sebahagian hadis atau riwayat para sahabat besar Rasulullah s.a.w. seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Abu Hurairah dan lain-lain lagi.

Keempat : Mengkafirkan sebahagian sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. antaranya Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidatina Aishah R.A.

Kelima : Menambah lafaz dalam Kalimah Syahadah seperti berikut;
Keenam : Mendakwa para imam mereka bermula daripada Saidina Ali sehinggalah imam-imam yang dilantik selepasnya bersifat maksum daripada dosa kecil dan besar sepertimana para anbiya' yang bezanya hanyalah mereka tidak diturunkan wahyu.
Iklan nikah Mut'ah.

Ketujuh : Mereka mengamalkan nikah Mut’ah yang seolah-olah menghalalkan perbuatan zina.

Kelapan : Mencederakan tubuh badan sebagai memperingati peristiwa Karbala pada 10 Muharrram.

Kesembilan : Menjadikan taqiyyah yang maksudnya ialah berdusta dan berpura-pura sebagai salah satu rukun iman.

Implikasi daripada penyebaran atau penularan fahaman yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini. Peristiwa-peristiwa sejarah masa silam memperlihatkan kepada kita bahawa permusuhan, persengketaan dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan jika fahaman Syiah dibiarkan bertapak di dunia Islam. Syiah menganggap orang-orang Islam dari kalangan Ahli Sunnah halal darahnya dan harus dibunuh terutama dengan cara yang tidak diketahui oleh sesiapapun.

Pada hari ini pendedahan tentang pergolakan di timur tengah melibatkan golongan Nusayriah iaitu satu cabang pelampau aliran Syiah telah mengakibatkan pembunuhan ke atas warga Sunni. Kebencian bersangatan golongan Syiah terhadap umat Islam Sunni dipaparkan dalam bentuk pembunuhan hatta terhadap kanak-kanak tanpa sebarang belas kasihan di mana sejumlah hampir 110,000 nyawa mereka yang tidak berdosa terkorban dalam konflik berdarah hampir dua (2) tahun di Syria.

Bahkan mereka menembak menara-menara masjid, memperolok-olokkan solat umat Islam Sunni, membakar al-Qur`an dan mencemarkan masjid. Berdasarkan hakikat ini jugalah, seorang tokoh cendekiawan Islam terkenal Prof. Dr. al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi dalam komentar terbarunya berkaitan Syiah menegaskan bahawa Syiah adalah golongan yang kafir
dan menyesatkan.

Berdasarkan pengalaman lalu mahupun perkembangan semasa, Malaysia amnya dan Negeri Selangor khasnya tidak mahu perkara sedemikian berlaku dan ternyata fahaman Syiah boleh meninggalkan kesan pemikiran negatif, pendustaan berleluasa, kekeliruan dalam pengajaran Islam, menyebar atau menular amalan syirik yang akhirnya mewujudkan perpecahan besar di kalangan umat Islam.

Langkah mengekang fahaman Syiah atau fahaman lain yang menyeleweng ini digiatkan supaya masyarakat Islam yang belum terkena jangkitannya mengenali bahaya fahaman-fahaman tersebut dan berusaha sedaya-upaya untuk menjauhinya. Justeru, amat diharapkan Muslimin sekalian secara kolektif mendepani isu ini secara serius antaranya:

Pertama : Kita hendaklah berpegang teguh dengan ilmu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan hujjah dan rujukan yang diiktiraf, bukan sekadar ikut-ikutan;

Kedua : Mengukuhkan kefahaman terhadap al-Qur`an dan alSunnah dari semua aspek termasuk bacaan, hafazan dan pengajaran yang berkaitan; serta mendalami ilmuilmu Islam melalui ulama atau guru-guru bertauliah yang diiktiraf dan diyakini pengajarannya.

Ketiga : Meningkatkan kewaspadaan terhadap propaganda atau eksploitasi dilakukan oleh golongan syiah yang berselindung di sebalik sentimen kasih dan cintakan ahl al-bayt (keluarga Rasulullah s.a.w), memperjuangkan ahl  al-bayt dan menentang kezaliman yang dilakukan terhadap ahl al-bayt;

Khatib pada hari ini juga mahu berkongsi dengan para muslimin sekalian langkah-langkah drastik oleh pihak berkuasa bagi mengekang fahaman Syiah dari menular ke peringkat akar umbi. Kerajaan Negeri Selangor melalui Pekeliling Am Tahun 2013 menyebut bahawa semua pegawai di agensi-agensi di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor termasuk mereka yang memegang jawatan dalam Badan-Badan Berkanun atau Pihak Berkuasa Tempatan:

(i) Dilarang berpegang kepada ajaran dan fahaman Syiah kerana bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah; atau

(ii) Dilarang sama sekali untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan dan berpegang atau menyebarkan ajaran-ajaran atau fahamanfahaman yang terkandung di dalam ajaran dan fahaman Syiah;

(iii) Dilarang sama sekali menerbitkan atau membantu menerbitkan apaapa bentuk versi atau variasi atau apa-apa terjemahannya dalam apaapa bahasa atau apa-apa bahan publisiti atau apa-apa bahan, sama ada bahan cetak, elektronik atau selainnya atau melalui media atau apa-apa kaedah yang boleh membawa kepada penyebaran ajaranajaran tersebut; atau

(iv) Dilarang untuk menjadi anggota atau pemimpin mana-mana golongan fahaman Syiah atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan Syiah dengan apa jua cara sekalipun.

Bagi Pihak Berkuasa Agama khususnya Jabatan Agama Islam Selangor telah mengambil beberapa pendekatan dalam mendepani isu Syiah di Negeri Selangor antaranya menerusi khutbah Jumaat tentang penyelewengan fahaman Syiah, penjelasan dari semasa ke semasa kepada semua pegawai Masjid, memantau dan mengekang sebarang publisiti aktiviti yang berkaitan dengan syiah.

Tindakan tegas secara perundangan juga boleh diambil di bawah Seksyen 12(C) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No 9 Tahun 1995 berhubung kesalahan menghina pihak berkuasa agama (Mufti). Tangkapan melibatkan pengikut Syiah telah dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor pada 15 Disember 2010 seramai 125 orang dan pada 15 Oktober 2012 seramai 118 orang.

Dalam usaha membanteras penularan fahaman Syiah ini, Jabatan agama Islam Selangor mendapat kerjasama sepenuhnya dari Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pendaftar Pertubuhan (ROS), Lembaga Penapisan Filem (LPF) berkaitan kawalan bahan penerbitan, pengeluaran cakera padat atau cakera padat digital dan Jabatan Imigresen.

Sebagai penegasan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku ketua agama negeri ini telah menitahkan agar tiada rakyat di Negeri Selangor menganut fahaman Syiah yang telah difatwa dan diwartakan menyeleweng daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dialah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi”. (Al-A’raf : 178)

Wednesday, August 21, 2013

Majlis Riang Ria Raya 2013

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Monday, August 19, 2013

Cara paling mudah menguji bateri

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Bagaimana mengetahui bateri anda masih elok atau tidak? Di sini ialah satu cara mudah dan mengagumkan menguji mana-mana bateri alkali tanpa alat! Kerja dalam beberapa saat! Sila tonton video…

Sumber : Instructables

Saturday, August 17, 2013

Pengebom air pada kemalangan di lebuhraya

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Lihat bagaimana pesawat pengebom air menggugurkan bahan pemadam api pada kebakaran yang berlaku disebabkan perlanggaran antara sebuah jentolak dan lori pengangkutan dan tidak lama lagi akan melanda seluruh kawasan berhampiran jika lambat dipadamkan, di kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Trans-Labrador, di utara Kanada pada 29 Julai yang lalu.

Oleh kerana lokasi kejadian yang jauh dan terpencil, kenderaan kecemasan adalah berbatu jauhnya, di mana bandar terdekat Goose Bay-Happy Valley berada lebih 241 km, jadi pengebom air dihantar untuk memadamkan kebakaran. Pemandu lori bernasib baik sempat dikeluarkan oleh pemandu jentolak dan terselamat.

Fakta menarik pesawat:

Nama: Bombardier 415 Superscooper.

Nama sebelum: Canadair CL-415 Superscooper.

Keupayaan: 6,140 litres (1,620 U.S. gallons).

Pengeluar: Bombardier Aerospace, North Bay, Ontario.

Penerbangan pertama (penghantaran): Disember 1993 (November 1994).

Aktif dalam perkhidmatan di: Kanada (Quebec, 8; Ontario, 9; Newfoundland dan Labrador, 4; Manitoba, 4), Croatia, Greek, Itali, Perancis, Malaysia, Maghribi, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Jumlah dibina: 88 buah.

Harga seunit: CAD $32 million (RM 101 juta).

Sumber : Autos.ca  |  Carscoops  |  CBC News  |  Dailymail  |  Wimp  |  Wordlesstech

Khutbah Jumaat : Persaudaraan sesama Islam

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Ikatan persaudaraan merupakan satu prinsip dalam Islam yang ditanam secara mendalam dalam hati kaum muslimin. Keteguhan ikatan persaudaraan sesama Islam amat dititikberatkan dalam usaha untuk mewujudkan ukhuwah islam yang kukuh. Malah, persaudaraan sesama islam yang dipertautkan dan dijalinkan atas dasar akidah adalah lebih kuat memandangkan umat Islam berpegang kepada tunjang dan dasar yang sama iaitu menjadikan ad-din sebagai asas kepada tali persaudaraan. Betapa pentingnya kita menjaga persaudaraan sesama islam kerana ia merupakan ingatan dan pesanan sebagaimana yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w :
“Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara”. (Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)

Islam mengajar umatnya agar bersatu dan menegaskan kepada semua umatnya supaya hidup bersaudara sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10:
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”.

Islam menyuruh umatnya agar peka dengan perkembangan dan hal ehwal saudara-saudaranya sesama Islam. Menyuruh umatnya membantu saudaranya yang kurang berkemampuan dan tertindas. Ikatan persaudaraan seagama atau seakidah adalah sangat mulia dan memberi kesan besar dalam pembentukan kesatuan umat. Tanpanya masyarakat akan berpecah-belah, menjadi lemah, malah tidak mustahil suatu ketika diperkotak-katikkan. Oleh kerana itu, apabila bersaudara, kita perlulah mengamalkan sikap yang selari dengan pemupukan persaudaraan seperti tolongmenolong dan bekerjasama khususnya dalam urusan kebajikan dan mendapat manfaat.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 71:
“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik dan melarang daripada berbuat kejahatan”.

Jika wujud dikalangan muslim perbezaan pendapat dan ideologi dalam memahami sesuatu cabang ilmu atau didalam politik kepartian atau sebagainya, itu tidak bermakna kita harus memutuskan ikatan persaudaraan yang dituntut untuk dipereratkan didalam islam. Sejauh mana sekalipun kita berbeza pendapat disebabkan perbezaan kefahaman masing-masing terhadap nass syarak, namun Islam tidak membenarkan sama sekali perpecahan berlaku. Jika perbezaan tersebut berlaku berasaskan perbezaan ijtihad para ulama’. Demikian juga perbezaan pendapat ini menjadi satu aspek yang tidak mungkin dapat dipisahkan dari sifat tabi’e manusia. Bahkan sebenarnya perbezaan pendapat itu menjadikan Islam itu agama yang lebih dinamis dan fleksibel. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w ada bersabda:
“Jangan kamu memutuskan hubungan, tidak bertegur sapa, membenci dan berhasad dengki, sebaliknya jadilah hamba Allah yang bersaudara”. (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini memberi peringatan kepada kita supaya memelihara hubungan persaudaraan antara satu sama lain. Sikap benci membenci, dengki, khianat dan seumpamanya boleh mengakibatkan permusuhan dikalangan umat islam dan boleh membawa kepada perpecahan ummah.

Dalam memelihara ikatan persaudaraan ini, Islam memberikan beberapa garis panduan antaranya:

1. Setiap Muslim mestilah bertindak membantu saudaranya seperti satu jasad, ini dapat diperhatikan dari sabda Rasulullah s.a.w:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal rasa cinta dan sayang serta saling mengasihi seperti satu jasad, apabila anggota badan yang satu sakit, maka yang lain ikut merasakan sakit dengan demam dan tidak boleh tidur”. (Riwayat Muslim)

Keteguhan ikatan persaudaraan sesama Islam amat dititikberatkan dalam mewujudkan sifat kasih mengasihi sesama insan kerana ia dapat membina kesatuan umat Islam yang kukuh. Malah, persaudaraan yang dijalinkan atas dasar kasih sayang ini akan mendapat rahmah dan kurniaan yang besar dari Allah.

2. Seorang muslim perlu mengelakkan daripada perasaan tiada bersefahaman sesama sendiri, malah tidak membuat tuduhan liar antara satu sama lain. Sekiranya timbul perkara yang tidak memuaskan hati, perlu diadakan perbincangan dalam semangat musyawarah, bersepakat dan bekerjasama dalam perkara dasar. Tetapi dalam sesetengah hal yang tidak mendapat persetujuan khususnya membabitkan isu ranting atau furu’ maka perlulah bertolak ansur, berlapang dada serta saling bermaaf-maafan. Setiap muslim juga perlu mengikis sifat-sifat tercela yang wujud didalam mereka seperti sifat dengki sesama sendiri. Kerana sifat hasad menyebabkan terputusnya hubungan persaudaraan sesama Islam, begitu juga sifat suka membuat fitnah, mengumpat, buruk sangka serta mencari-cari salah dan aib sesama Muslim.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 12:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani”. 

Justeru itu, setiap muslim diingatkan supaya tidak mudah percaya kepada sesuatu berita yang disampaikan kepadanya, terutama daripada sumber yang meragukan atau sukar dipercayai.Sikap suka mendengar dan mempercayai cakap orang juga tidak digalakkan kerana boleh jadi khabar yang disampaikan itu palsu dan sengaja direka bagi tujuan menjatuhkankan maruah atau memecah belahkan kesatuan ummah. Penegasan ini telah dirakamkan oleh Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan”.

Islam sangat mengalakan hubungan baik antara satu sama lain, ini dapat diperhatikan dalam hubungan sesama islam, Islam datang dengan rahmat untuk menyatukan hati-hati, merapatkan barisan dan mengarahkan kepada satu kesatuan ukhuwah. Di samping itu menjauhi sebab-sebab yang boleh membawa kepada perpecahan yang mengakibatjan menjadikannya lemah. Tujuan kesatuan ini agar dapat mewujudkan nilai-nilai yang luhur dan mulia, agar manusia dapat beribadah kepada Allah SWT.

Ikatan yang diguna pakai oleh Islam untuk menyatukan umatnya merupakan ikatan yang kukuh, tidak sama dengan ikatan yang lain, tidak seperti ikatan tali yang mengikat sesuatu simpulan akan rosak apabila tali itu musnah. Berbeza dengan iktan ukhuwah didalam Islam, ia adalah ikatan yang paling kuat, lebih kuat daripada ikatan darah, ikatan warna kulit, ikatan bahasa, ikatan tanah air. Ia adalah ikatan iman, dimana para muslimin berada dibawahnya. Dengan ikatan iman seorang mukmin dapat mempereratkan persaudaraannya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Tidak sempurna iman sesorang itu, sehinggalah ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihani dirinya sendiri”.

Inilah dasar persaudaraan Islam yang diasaskan diatas tuntutan agama dan dipelihara dengan ruh keimanan dengan perasaan mahabbah yang sejati menjadi terasnya. Maka dengan semangat ini, terbinannya sifat saling hormat-menghormati, bantu membantu, berusaha untuk mewujudkan kebaikan, menghindarkan kejahatan dan ianya menjadi amalan hidup muslim dalam masyarakatnya. Inilah di antara petunjuk hadis yang patut diambil perhatian oleh setiap orang Islam untuk memelihara keteguhan dan keutuhan perpaduan dalam hubungan persaudaraan kerana dengan memeliharanya wujudlah perasaan muhibbah diselubungi oleh suasana aman damai.

Kesimpulan dan pengajaran yang dapat diambil daripada khutbah ini adalah:

1. Kita sebagai umat Islam adalah bersaudara, maka kewajipan kita adalah untuk memperkukuhkan tali persaudaraan kita sepanjang masa.

2. Untuk mengekalkan persaudaraan sesama Islam kita hendaklah sentiasa menjaga diri kita dan memeliharanya supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakan hubungan persaudaraan kita, seperti menjaga lidah kita agar tidak menyebut perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

3. Senantiasa berpegang teguh kepada Ajaran al-Quran dan al-Sunnah agar kita tidak terkeluar dari landasan yang telah digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah.
"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”. (Al-Hujurat : 10)

Thursday, August 15, 2013

Selamat Hari Kemerdekaan ke-56 dan Selamat Hari Malaysia ke-50

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa apabila “Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku” menjadi tema hari kemerdekaan yang ke-56 yang akan disambut pada 31 Ogos ini.

Tema itu dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara. Selain itu, konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.

Sempena tarikh keramat, 31 Ogos setiap tahun yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat negara kita, Guru Besar dan seluruh warga SK Jeram Batu 20 memohon marilah kita seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan terus berjuang mengekalkan kemerdekaan yang kita nikmati sekarang ini. Tanamkan semangat kemerdekaan melalui cara pemikiran minda kelas pertama sekali gus mempertahankan keamanan yang telah diperjuangkan oleh para pemimpin negara, sama ada yang terdahulu, masa kini atau akan datang.

Kita sebagai rakyat Malaysia, seharusnya berasa bangga dengan amalan budaya budi pekerti yang tinggi yang telah berjaya menyatupadukan seluruh rakyat berbilang kaum sekali gus mengekalkan kedaulatan negara Malaysia yang kita cintai. Selamat Hari Kemerdekaan ke-56: “Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku” dan Selamat Hari Malaysia ke-50. Dirgahayu Malaysiaku tercinta.

Tuesday, August 13, 2013

Tempat meletak basikal tercanggih!!

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Masalah kekurangan ruang biasa berlaku di ibu negara Jepun, Tokyo. Di sana, hendak mencari lokasi untuk meletakkan basikal pun begitu sukar.

Di Jepun, para cerdik pandai di sana mencipta satu cara untuk meletakkan basikal dikenali sebagai Eco-Cycle yang keseluruhannya automatik dan terletak 11 meter di bawah tanah. Sistem itu boleh menyimpan kira-kira 200 buah basikal pada satu-satu masa.

Walaupun Jepun terkenal sebagai negara pengeluar kereta berjenama dan juga sistem pengangkutan di sana dikenali sebagai yang paling maju di atas muka bumi ini, basikal masih menjadi popular untuk penduduk Jepun bergerak ke sana sini.

Bagaimanapun, untuk orang Jepun meletakkan basikal mereka memang susah. Ia terpaksa diletakkan ditepi jalan sehingga membahayakan pengguna lain terutamanya pejalan kaki.

Sebuah syarikat Jepun Giken Seisakusho yang pakar dalam sistem mengatasi banjir mencipta Eco-Cycle. Ia terdiri dari ruang simpanan basikal setinggi lima tingkat untuk memudahkan pemilik basikal meletakkan basikal dengan selamat.

Proses mudahnya untuk meletakkan basikal dengan Eco-Cycle hanya selama 8 saat. Eco-Cycle berbentuk silinder yang besar dengan kelebaran tujuh meter. Bagaimanapun pemilik basikal perlu membayar yuran bulanan untuk menggunakan perkhidmatan itu.

Pemegang akaun akan diberikan sekeping kad, untuk menggunakannya mereka hanya perlu meletakkan basikal di depan pintu Eco-Cycle dan kemudian basikal itu seperti disedut ke dalam tanah dan disimpan dengan selamat.

Ia telah diperkenalkan di Jepun pada 2010 di Taman Konan Hoshi No Ken, sejak itu basikal yang diletakkan secara salah di tepi jalan hampir tiada lagi. Syarikat Seisakusho kini sedang membina Eco-Cycle di seluruh Jepun. – Mynewshub.my

Sumber Dannychoo  |  Twistedsifter

Sunday, August 11, 2013

Berpuluh-puluh ribu umat Islam bersembahyang di jalan-jalan di Moscow sempena Eid al-Fitr

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Berpuluh ribu umat Islam membanjiri di jalan-jalan sekitar
Masjid Cathedral Moscow, untuk menunaikan solat sunat Eid al-Fitr.
Di Masjid Cathedral, Moscow telah diadakan solat sunat sempena Eid al-Fitr, yang menanda penghujung bulan suci Islam, Ramadan. Solat dan khutbah khas Eid al-Fitr telah diketuai oleh Pengerusi Majlis Mufti Rusia, Ravil Gainutdin yang dihadiri berpuluh-puluh ribu umat Islam.

Dataran dan jalan-jalan bersebelahan yang terletak berhampiran stesen metro "Prospekt Mira" sekitar masjid telah dipenuhi orang. Solat sunat sempena Eid al-Fitr telah diadakan di semua masjid di negara ini, termasuk di Moscow.

Sumber http://news.mail.ru/foto/136687/#photo0

Membentang sejadah, kain dan apa sahaja untuk tempat solat.
Puluhan ribu membanjiri kawasan sekitar masjid.
Puluhan ribu membanjiri kawasan sekitar masjid bersedia menunaikan solat.
Puluhan ribu membanjiri kawasan sekitar masjid.
Solat di mana sahaja, walaupun di celah-celah kenderaan.
Solat sunat di mana-mana sahaja di jalan-jalan sekitar masjid.
Selesai berdoa selepas menunaikan solat sunat Eid al-Fitr.
Mendengar khutbah khas Eid al-Fitr. 
Khusyuk mendengar khutbah khas Eid al-Fitr.
Selesai khutbah, kelihatan pengawal sepanjang jalan.
Antara anggota keselamatan yang bertugas di masa tersebut.
Menuju destinasi masing-masing selesai solat sunat Eid al-Fitr.

Friday, August 09, 2013

Khutbah Jumaat : Ramadhan sebulan raya sehari, ibadah berpanjangan kekal setiap hari

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Semalam, kita baru sahaja meraikan tamatnya tempoh satu kursus kerohanian yang panjang. Kursus dan latihan itu bukanlah diatur oleh mana-mana jabatan atau persatuan, tetapi ia diatur sendiri oleh Allah SWT, Tuhan yang mencipta kita dan Maha Mengetahui tentang keperluan diri kita. Marilah kita renungi hadis Rasulullah s.a.w:
“Celakalah seseorang yang bulan Ramadhan menemuinya, kemudian berlalu sebelum dia mendapat keampunan”. (Riwayat at-Tirmidzi)

Kita tentu biasa mendengar ungkapan dalam masyarakat kita: “Puasa sebulan, raya pun sebulan”. Ungkapan yang biasa dilafazkan dalam bentuk gurauan ini nampaknya menjadi amalan dalam masyarakat kita. Walaupun kita mengetahui bahawa ibadah puasa memang difardhukan sebulan penuh (sama ada 29 atau 30 hari), kita biasanya kurang memahami hakikat bahawa hari raya Idulfitri hanya disyariatkan sehari. Jika dibandingkan dengan saudara mara kita di negara-negara Timur Tengah, mereka lebih membesarkan dan memeriahkan Ramadhan berbanding Syawal. Sebaliknya, Idulfitri hanya diraikan dengan takbir pada malam hari raya dan pagi hari raya. Selepas solat dan khutbah Idulfitri, keadaan akan kembali seperti hari-hari biasa di bulan-bulan sebelum Ramadhan.

Kita mungkin beranggapan bahawa suasana seperti itu bukan fenomena yang sesuai dengan masyarakat dan budaya kita. Namun, ada baiknya kita memerhati beberapa perkara agar kita dapat mengimbangkan antara hasil didikan Ramadhan dengan keseronokan meraikan Idulfitri.

Allah SWT telah mewajibkan puasa pada siang hari di bulan Ramadhan. Manakala malam Ramadhan pula sunat dihidupkan dengan ibadah lain, khususnya solat fardu secara berjemaah solat dan sunat tarawih dan juga banyak membaca al-Quran. Manakala untuk hari raya pula, kita memang disunatkan untuk bertakbir dan diakhiri dengan solat sunat dan khutbah hari raya. Selepas itu, kita tidak lagi dituntut untuk bertakbir sepanjang hari itu atau mana-mana hari selepasnya. Ini berbeza dengan perayaan Iduladha yang disunatkan bertakbir berpanjangan hingga hari-hari tasyrik selepas solat fardhu atau sunat.

Kesemua ini menunjukkan bahawa pesta dan keraian sepanjang bulan Syawal umumnya bukanlah berasaskan tuntutan agama. Sebaliknya, ia hanyalah kebiasaan adat dan budaya masyarakat kita. Ia bukanlah tuntutan sebagai ibadah yang khusus, walaupun masih berada dalam lingkungan ibadah yang umum. Ini kerana aktiviti berziarah dan menjamu tetamu termasuk dalam amalan sunat yang boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Walau bagaimanapun, fenomena tahunan sambutan Syawal sering menjadi faktor kita gagal meneruskan prestasi dan mempertahankan pencapaian baik di bulan Ramadhan. Lihat sahaja betapa surau dan masjid menjadi lengang selepas Ramadhan. Perhatikan pula, berapa ramaikah di kalangan kita yang dapat menyelesaikan puasa enam? Yakni puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.

Bulan Syawal ini perlu kita lalui pula dengan memantau hubungan kita agar terus dekat kepada Allah. Bukan menjauhkan diri daripada Allah dengan melakukan perkara yang dilarang seperti berhibur tanpa batas-batas antara lelaki dan perempuan, menikmati makanan dan minuman haram, bersukaria sehingga mengabaikan kewajipan solat atau menonton rancangan-rancangan televisyen yang mendedahkan lakonan yang tidak syar‘ie dan melalaikan kita daripada ibadah.

Hari ini saya ingin mengingatkan kepada semua bahawa beberapa langkah yang wajar dilaksanakan dalam bulan Syawal, adalah:

Pertama : Puasa enam hari dalam bulan Syawal. Kelebihan puasa ini disebut di dalam hadis daripada Abu Ayyub R.A. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan enam hari dalam bulan Syawal, maka dia seolah-olah berpuasa selama setahun”. (Riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

Puasa enam Syawal ini boleh dilaksanakan secara berterusan atau berturutan enam hari, atau secara berasingan (berselang-seli), asalkan di dalam bulan Syawal.

Namun, cara yang lebih baik dan afdhal adalah secara berturutan selepas Aidilfitri, iaitu mulai hari raya kedua atau 2 Syawal sehingga 7 Syawal. Kaedah ini lebih afdhal kerana ia menggambarkan sikap seorang hamba yang suka dan bersegera melakukan ibadah. Lagipun, hari raya sebenar yang disyariatkan hanya berlaku pada 1 Syawal, iaitu hari yang diharamkan berpuasa bagi semua umat Islam.

Puasa enam Syawal ini juga boleh digandingkan dengan puasa qada’ atau puasa nazar. Justeru, sesiapa yang mempunyai hutang puasa Ramadhan, khususnya kaum wanita, boleh melaksanakan qada puasa mereka di dalam bulan Syawal. Ini bagi mendapatkan kelebihan puasa enam Syawal. Jangan kita bertangguh-tangguh dalam melaksanakan puasa sunat ini kerana dikhuatiri, kita akan terlepas peluang yang datang setahun sekali.

Namun, kaedah yang lebih baik adalah dengan melaksanakan puasa ganti dahulu selama jumlah hari yang berhutang, kemudian barulah dilaksanakan puasa enam Syawal secara berasingan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang menjelaskan tentang fadhilat puasa enam Syawal, seperti yang diriwayatkan oleh Thawban r.a yang bermaksud:
“Puasa Ramadhan itu menyamai sepuluh bulan, dan puasa enam hari (Syawal) menyamai dua bulan. Kesemua itu menyamai puasa setahun”. (Riwayat an-Nasa’ie)

Ini juga adalah berdasarkan kaedah dalam hadis lain bahawa setiap amal kebaikan akan dibalas oleh Allah dengan sepuluh kebajikan (pahala). Justeru, sebulan Ramadhan menyamai sepuluh bulan dan enam hari pula menyamai enam puluh hari atau dua bulan. Sabda Rasulullah s.a.w:
“..Dan satu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh gandaannya”. (Riwayat al-Bukhari)

Kedua : Kita hendaklah terus mewajibkan diri ke masjid dan surau untuk solat fardu secara berjemaah kerana tuntutan solat fardu berjemaah itu jauh lebih besar pahalanya daripada solat bersendirian.

Kita telah menunjukkan kemampuan untuk berjemaah dalam bulan Ramadhan, khususnya di malam hari. Kita solat Isyak berjemaah begitu juga bertarawih dan witir. Puratanya kita telah berjemaah 15 rakaat atau 27 rakaat dalam satu malam. Maka, kekalkanlah prestasi itu dengan sekurang-kurangnya 3 rakaat maghrib dan 4 rakaat solat isyak berjemaah pada waktu malam, serta 3 solat fardu yang lain.

Ketiga : Kita hendaklah terus melaksanakan ibadah malam, sekurang-kurangnya dua rakaat sunat tahajjud atau 1 rakaat witir. Bukankah Ramadhan telah membuktikan kita mampu bangun setiap hari untuk bersahur? Maka sewajarnya kita berusaha untuk istiqamah dengan qiamullail pada waktu sahur kerana waktu tersebut adalah waktu yang sesuai untuk memohon keampunan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah az-Zariyat ayat 18:
“Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”.

Keempat : Kita hendaklah menjadikan tadarus al-Quran sebagai amalan harian kita. Sekurang-kurangnya, kita hendaklah membaca satu muka setiap hari. Mudah-mudahan maksud ayat-ayat al-Qur'an yang dibaca akan menjadi pembimbing kita setiap hari.

Kelima : Kita hendaklah mengelakkan diri dari bersikap berlebihlebihan ketika berseronok. Sesungguhnya tamatnya Ramadhan bukanlah bererti tamatnya tungkus lumus kita untuk beribadah. Begitu juga, menjelangnya Syawal bukan bererti bebasnya kita dari segala kongkongan. Sebaliknya, Ramadhan adalah tempoh kita berlatih membiasakan diri dengan ibadah dan mengawal hawa nafsu.

Keenam : Kita hendaklah mengelakkan diri dari makan atau menjamu secara berlebihan. Cukuplah kita berpada dengan makanan yang dapat menjaga kesihatan diri dan melangsungkan hidup untuk beribadah kepada Allah SWT. Allah mengingatkan kita untuk makan dan minum, tetapi jangan berlebihan sehingga terlalu kenyang atau membuang makanan yang berlebihan.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 31:
“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”.

Apa yang penting adalah kita berazam dan bertekad untuk memeriahkan perayaan Idulfitri kita dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amalan ibadah termasuk puasa enam Syawal. Jangan kita ketinggalan dalam mengejar kelebihan-kelebihan yang disediakan Allah SWT ini. Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadhan dan Syawal kita pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Janganlah kita biarkan diri kita hanyut dalam keseronokan berhari raya selama sebulan sehingga ketinggalan mendapatkan ganjaran akhirat sebagai persediaan dan bekalan kita selepas mati. Kalau kita tidak laksanakan pada tahun ini, bila lagi kita akan memulakannya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undangundang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui)”. (An-Nur : 21)