Friday, October 11, 2013

Khutbah Jumaat: Penghayatan Korban

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Jasa para perajurit negara yang sanggup berkorban nyawa membanteras
pengganas komunis wajar dikenang dan dihargai generasi kini.
Beberapa hari lagi kita akan menyambut hari raya Idul-adha dan melaksanakan ibadah korban. Sebagaimana yang kita maklum bahawa menyembelih korban itu adalah sebagai bukti pengorbanan seorang hamba untuk tujuan beribadah kepada-Nya. Mudah-mudahan segala pengorbanan, kebajikan dan amal soleh kita akan diterima oleh Allah dan ianya menjadi saksi kebaikan kita di dunia dan di akhirat kelak.

Bagi umat Islam kisah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as ketika peristiwa korban anaknya Nabi Ismail, adalah suatu manifestasi ketundukan dan lambang ketaatan yang cukup tinggi dalam menjunjung titah perintah Allah SWT. Daripada peristiwa inilah telah disyariatkan dan dihubungkan dengan ibadah haji dan ibadah korban yang disambut setiap tahun. Ketaatan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as terhadap perintah Allah SWT dalam Al-Quran ini adalah lambang ketaqwaan seorang hamba terhadap penciptanya.

Umat Islam perlu memahami bahawa setiap peristiwa dan kisah-kisah yang dipaparkan di dalam al-Quran adalah sesuatu yang mesti diambil pengajaran dan iktibar darinya. Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf ayat 111:
“Sesungguhnya kisah para nabi itu mengandungi pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Al Quran itu bukanlah cerita-cerita yang direka, tetapi ia menjelaskan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab yang sebelumnya, dan sebagai keterangan yang menjelaskan segala sesuatu, serta menjadi hidayah dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”

Begitulah kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as terhadap perintah Allah SWT yang menciptakan dirinya. Semoga kesan penghayatan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihima as-salam itu akan dapat memotivasikan dan mendorong diri kita agar terus berusaha untuk menjadi umat yang terbaik serta tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Satu persoalan yang perlu dilontarkan kepada diri kita ialah; adakah kita hari ini telah menjadi seorang hamba yang benar-benar memiliki ciri-ciri pengorbanan yang sama seperti pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihima as-salam?

Kisah kehidupan Rasulullah s.a.w itu jika dikaji dan difahami, jelas memaparkan kepada kita bahawa perjalanan hidup Rasulullah s.a.w itu sebenarnya penuh dengan pengorbanan diri, pengorbanan emosi, harta dan jiwa raga yang berlaku secara langsung kepada baginda s.a.w. Oleh itu, Allah SWT telah memerintahkan kepada kita agar menjadikan kehidupan Rasulullah s.a.w sebagai contoh tauladan yang unggul.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21:

“Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah SWT”.

Firman Allah ini memberi gambaran bagaimana Rasulullah SAW sentiasa berhadapan dengan ujian dan tekanan. Namun dengan jihad dan pengorbanan yang tinggi sahajalah ianya mampu ditangani.

Maka umat Islam hari ini perlu menyedari bahawa dalam kehidupan mereka mestilah ada konsep pengorbanan yang perlu dicatatkan sebagai suatu perkara yang mesti diperjuangkan dalam kehidupan ini bagi melayakkan diri mereka untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

Pertembungan antara hak dan batil adalah suatu sunnatullah. Ini adalah kerana kedatangan Islam itu adalah untuk menghancurkan dan menghilangkan kebatilan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 81:

"Dan katakanlah: telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang batil (kufur dan syirik); Sesungguhnya yang batil itu pasti akan lenyap".

Lantaran itu, untuk melihat Islam itu dimuliakan dan dimenangkan mengatasi kepercayaan dan cara hidup yang lain, maka umat Islam perlulah sanggup bersedia untuk berkorban demi Islam. Satu persoalan yang mungkin timbul: adakah umat Islam hari ini telah memiliki jiwa yang sanggup berkorban untuk mempejuangkan agama mereka?.

Sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah menunjukkan kepada kita bahawa mereka sanggup berjuang demi agama yang tercinta ini. Setelah kematian bapa saudara dan isterinya pada tahun kesepuluh kerasulan, tekanan, ugutan bunuh dan penindasan dilakukan terhadap Nabi bertambah hebat, namun demi Allah dan agama yang tercinta, Baginda tetap bersabar dan bertawakal bahawa hanya Allah sahaja yang dapat memberi pertolongan.

Rasulullah pernah membawa diri ke Taif untuk meminta perlindungan daripada ancaman di Mekah. Namun di sana, banyak tekanan dan kezaliman seperti dilempar batu, duri dan najis, akan tetapi Rasulullah tetap bersabar dan memohon agar mereka diberikan hidayah dan petunjuk. Rasulullah dan para sahabatnya berkorban meninggalkan tanah air tercinta iaitu Mekah dan berhijrah ke Madinah semata-mata untuk membina kekuatan Islam sekalipun di bumi yang jauh lagi asing.

Sebelum berhijrah ke Madinah, golongan kafir Quraisy cuba mengepung dengan niat hendak membunuh Baginda, namun Allah SWT menyelamatkannya sehingga terlepas daripada usaha jahat mereka. Tidak beberapa lama Rasulullah di Madinah, beberapa siri peperangan untuk mempertahankan Islam telah berlaku. Antaranya adalah peperangan Badar Kubra. Peperangan ini adalah lambang jihad dan pengorbanan tinggi Rasulullah dan sahabat seramai 313 orang berhadapan dengan 1000 tentera musuh. Namun dengan keimanan dan keyakinan yang tinggi, akhirnya umat Islam memperoleh kemenangan.

Antaranya juga sejarah peperangan Tabuk telah mengajar kita erti pengorbanan harta, jiwa dan tenaga yang dipaparkan oleh Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan sahabat-sahabat yang lain dengan menginfaqkan sebahagian besar harta mereka untuk membiayai jihad peperangan membela Islam. Malah terlalu banyak siri-siri peperangan lain yang menggambarkan pengorbanan Rasulullah dan para sahabat mempertahankan akidah dan Islam yang seharusnya dihayati oleh generasi hari ini.

Semangat inilah yang telah berjaya mengangkat Islam sebagai suatu cara hidup sejak lebih 1400 tahun dahulu. Mereka sanggup “berkorban” dengan harta dan nyawa demi kerana Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujarat ayat 15:

“Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”.

Untuk menjadi umat yang terbaik, ‘khaira ummah’, perlulah kita memiliki pemikiran, perasaan dan sikap yang sanggup “berkorban” seperti yang telah ditunjukkan oleh generasi yang terdahulu itu. Lihatlah bagaimana musuh-musuh umat Islam yang diketuai oleh Zionis hari ini begitu rakus dalam menguasai dunia umat Islam serta menyebar-luaskan ideologi kapitalisma ke seluruh dunia Islam.

Realiti di bumi Palestin khususnya di Ghaza, Iraq, Afghanistan, Mesir, Syria dan beberapa negara lain memberikan gambaran jelas kepada kita akan sikap dan tindak tanduk mereka yang sentiasa rakus memusuhi Islam. Kuncu-kuncu mereka yang terdiri daripada negara Amerika Syarikat sanggup mengorbankan harta dan nyawa rakyatnya semata-mata untuk memastikan ideologi kapitalisma yang mereka anuti itu tersebar ke seluruh dunia khususnya ke bumi umat Islam.

Umat Islam wajib berkorban dan berjihad dengan apa sahaja untuk mempertahankan dan membela negara dan umat Islam yang ditindas oleh musuh Islam, baik berupa wang ringgit, ketenteraan, perubatan, pendidikan, pembangunan mahupun tenaga kerja manusia dan lain-lain. Sekiranya pengorbanan dan jihad umat Islam tidak digandakan, tidak mustahil akan berlaku cengkaman terhadap negara Islam.

Umat Islam di bumi Palestin, bumi tempat terletaknya masjid Al-Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam dan masjid ketiga termulia selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, kini masih lagi berada di bawah kekuasaan rejim kufur Yahudi laknatullah. Begitu juga nasib umat Islam di bumi Iraq, Afghanistan dan lain-lain negara secara keseluruhan masih lagi berada dibawah penguasaan kufur secara langsung mahupun tidak langsung. Kini Syiria dan Mesir pula menghadapi krisis peperangan sesama sendiri yang boleh menggugat kedaulatan Islam.

Justeru, bagi mengembalikan kedaulatan Islam dan umatnya, suatu pengorbanan dari seluruh dunia umat Islam amat diperlukan. Adakah kita umat Islam hari ini telah bersedia untuk melakukan pengorbanan seiring dengan sambutan hari raya korban yang akan diraikan beberapa hari lagi di seluruh dunia?.

Kita yang memiliki jiwa berkorban akan senantiasa terpanggil untuk melaksanakan ketaatan kepada seluruh perintah Allah SWT samada ianya berbentuk perintah mahupun larangan Allah SWT dalam usaha kita untuk mendapatkan keredhaan-Nya, walaupun kita terpaksa mengorbankan segala-galanya baik harta mahupun nyawa. Kita wajar memahami bahawa kewujudan kita di dunia ini adalah semata-mata untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada perintah Allah SWT.


Pergilah kamu beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, samada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat (iaitu samada dalam keadaan susah atau senang, bersemangat atau tidak bersemangat); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”. (At-Taubat:41)

0 comments:

Post a Comment