Friday, July 12, 2013

Khutbah Jumaat: Zakat Fitrah Pelengkap Menuju Taqwa

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Sempena keberadaan kita di bulan Ramadhan al-Mubarak ini, marilah kita mempertingkatkan ketaqwaan kita sesuai dengan matlamat kefardhuan ibadah puasa di bulan ini. Selain itu, kita juga dipertanggungjawabkan menunaikan ibadah zakat sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 43;
“Dan kamu dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah semua (secara berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk”.

Antara keagungan bulan Ramadhan ialah Allah SWT mensyariatkan ibadah puasa dan zakat fitrah. Zakat fitrah diwajibkan kepada umat Islam untuk menyucikan dan memperkayakan jiwa, membersihkan harta serta menampung kekurangan yang berlaku sepanjang berpuasa di bulan Ramadhan. Ia juga sebagai tanda bahawa seorang hamba itu mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah kepada mereka dengan dinafkahkan kepada saudara se-Islam yang memerlukan.

Zakat fitrah mengandungi dua aspek yang penting dalam kehidupan manusia iaitu manusia sebagai hamba Allah SWT dan manusia yang bersaudara sesama mereka.

Menunaikan zakat fitrah adalah merupakan pernyataan iman kepada Allah SWT dan melahirkan hubungan kasih sayang dan persaudaraan sesama manusia terutama golongan kaya dengan golongan miskin. Melalui ibadah ini, lahirlah suasana mahabbah dan saling bantu membantu antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan di dunia.

Sesungguhnya ibadah zakat fitrah yang disyariatkan pada tahun ke 2 hijrah merupakan zakat badan yang dikenakan terhadap makanan utama sesebuah negara seperti beras, kurma, gandum dan anggur. Di Negara kita, zakat fitrah dikenakan atas beras dengan kadar satu gantang baghdad bersamaan 3 cupak sukatan Malaysia atau 2.25 kilogram. Ia harus ditunaikan dalam bentuk nilai duit berdasar kepada harga pasaran beras mengikut berat yang ditentukan tersebut.

Untuk makluman seluruh ahli jemaah sekelian, Majlis Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa harga zakat fitrah pada Ramadhan ini ialah sebanyak RM7.

Oleh itu, ada beberapa perkara penting yang wajib diberi perhatian berkaitan zakat fitrah untuk kefahaman kita bersama, antaranya adalah:

1. Seseorang itu diwajibkan menunaikan zakat fitrah apabila telah memenuhi syarat-syarat tersebut, iaitu :
  • Islam. 
  • Sempat hidup di Bulan Ramadhan dan Syawal walaupun sesaat di bulan Ramadhan sehingga sesaat di bulan Syawal.
  • Memiliki sesuatu (makanan, harta atau wang) yang lebih daripada keperluan dirinya dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya seperti isterinya, ibu atau bapa yang miskin dan anak-anak.

2. Ibadah zakat fitrah wajib ditunaikan selewat-lewatnya sebelum solat Idulfitri. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ibnu Abbas r.a berkata bahawa : 

“Rasulullah s.a.w telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari berkata-kata dengan perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang maqbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain”.
(Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan kepada hadith ini, para ulamak rahimahullah telah menghuraikan bahawa, seseorang yang melengahkan bayaran zakat fitrah sehingga luput waktu yang ditentukan, bukan sahaja berdosa, bahkan dia tetap wajib membayarnya sesudah itu. Selagi zakat fitrah itu belum ditunaikan, maka ia tetap menjadi hutang yang ditanggungnya, sehinggalah dia membayarnya walau pada akhir hayatnya.

Gambar arkib: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
membayar zakat fitrah kepada amil Majlis Agama Islam
Wilayah Persekutuan, Mohd. Zul Rushdi Salleh selepas
menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya.
Walaubagaimanapun, sekiranya seseorang itu benar-benar terlupa, maka mereka tidak berdosa, tetapi ia tetap juga wajib mengqada’kan zakat fitrah itu. Ini berdasarkan kepada pandangan ijma’ ulamak, antaranya Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya bertajuk : al-Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, menyatakan bahawa: 

“Kewajipan zakat fitrah dan harta itu tidak gugur dari orang yang lupa membayarnya dan dia tetap wajib mengqada’ zakat fitrah dan harta itu”.

3. Namun begitu, ibadah zakat fitrah harus ditunaikan pada awal bulan Ramadhan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri.

4. Zakat fitrah adalah wajib ditunaikan oleh setiap individu muslim samaada lelaki atau wanita, muda atau tua, kanak-kanak atau dewasa, merdeka atau hamba. Pengabaiannya menyebabkan segala ibadah yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan tidak diterima oleh Allah SWT. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Anas Bin Malik bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : 

“Pahala puasa Ramadhan itu tergantung di antara langit dan bumi. Zakat fitrahlah yang akan menyampaikannya.”
(Riwayat Ad-Dailami)

Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada hamba-hambaNya yang memenuhi hajat saudaranya yang lain ketika saat yang amat memerlukan. Lebih-lebih lagi apabila kita laksanakan amal-amal kebajikan di dalam Bulan Ramadhan yang mulia ini. 

Daripada Abdullah bin Umar r. a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“(Antara) orang yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah orang banyak memberi manfaat kepada masyarakat, dan (diantara) amalan yang paling Allah sukai ialah kegembiraan yang dimasukkan dalam hati seorang muslim, atau menghilangkan baginya kesulitan, atau menyelesaikan hutang-piutangnya, atau menghilangkan baginya kelaparan”.
(Riwayat Imam Tabrani)

Bayangkan, di waktu kita berasa seronok dan gembira untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, anak-anak kita mendapat baju dan kasut baru, isteri kita seronok dengan kuih-muih beraneka jenis dan rumah kita dihias indah, namun ada di kalangan insan yang sedih dan berduka kerana tidak mampu memberikan makan dan minum yang cukup untuk anak-anak mereka. Apatah lagi untuk membeli walau sehelai pakaian dan kasut baru untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Siapakah yang sanggup untuk menggembirakan hati-hati mereka kalau tidak kita sendiri. Ingatlah! Dengan kita menunaikan zakat fitrah, ia menjadi penawar kepada kesedihan dan menyerikan wajah golongan miskin untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh bermakna.

Bahkan, Allah SWT pula akan memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada hamba-hamba-Nya yang sanggup mengorbankan harta mereka semata-mata melaksanakan segala perintah-Nya termasuk ibadah zakat dan sedekah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 274:
“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sembunyi atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita”.

Untuk makluman para jemaah sekelian, pihak Lembaga Zakat Selangor telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk umat Islam menunaikan zakat fitrah, zakat harta, zakat perniagaan, zakat pendapatan dan lain-lain lagi. Tunaikanlah zakat-zakat tersebut di Lembaga Zakat Selangor melalui dua puluh empat (24) kaunter zakat yang beroperasi di sembilan (9) daerah di Negeri Selangor selama 7 hari seminggu. Pembayaran zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui ‘amil-‘amil fitrah yang telah dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor yang bertugas di masjid atau surau yang berhampiran dengan anda.

Sesungguhnya, wang zakat yang terkumpul melalui Lembaga Zakat Selangor, akan dapat diurus dengan lebih sistematik dan dimanfaatkan secara menyeluruh kepada golongan asnaf yang berhak menerima bantuan zakat di Negeri Selangor ini.

Untuk makluman sidang hadirin juga, setiap kali apabila datangnya Bulan Ramadhan, menjadi keutamaan setiap tahun, pihak Lembaga Zakat Selangor melaksanakan pemberian dan pengagihan wang zakat lebih awal untuk memastikan golongan fakir dan miskin dapat menikmati Ramadhan dan Syawal dengan lebih gembira dan selesa. 
Sempena ketibaan Ramadhan dan Aidilfitri pada tahun ini, lebih RM15 juta telah diagihkan kepada lebih 21,000 orang asnaf fakir dan miskin di seluruh Negeri Selangor. Selain itu, seramai 1,400 orang saudara baru yang menerima bantuan berjumlah 560 ribu ringgit. Pemberian jumlah wang zakat yang besar ini adalah hasil kesedaran umat Islam di Selangor tentang kewajipan dan kepentingan menunaikan ibadah zakat.

Semoga dengan pengagihan zakat kepada mereka yang berhak, Allah memberikan rahmat, keberkatan dan kebahagian kepada tuan-tuan yang menunaikan kewajipan zakat ini.

Kita amat bersyukur kerana dengan penuh rahmat Allah SWT dan kasih-Nya telah memberi peluang kepada kita untuk menikmati kehadiran Bulan Ramadhan pada tahun ini. Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai pesta beribadah dengan melipatgandakan ibadah kita bukan semata-mata pesta juadah sehingga ke penghujung Ramadhan. Oleh itu, marilah kita mencontohi Nabi s.a.w berdasar kepada riwayat yang menyatakan bahawa, Rasulullah s.a.w melipat-gandakan amalan baginda termasuk ibadah solat, zakat dan sedekah apabila datangnya bulan Ramadhan.

Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a bahawa:

“Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling dermawan. Baginda lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan semasa beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan sifat dermawan Rasulullah S.A.W melebihi angin yang berhembus”. (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, marilah kita rebut peluang yang diberikan ini untuk bersungguh-sungguh beramal dan berbakti melaksanakan ibadah dengan cara terbaik samaada ibadah fardhu ataupun sunat, memperbanyakkan taubat dan memohon ampun kepada Allah, semoga kita kembali menemui Allah dengan penuh kesejahteraan dan kemenangan membawa bersama amal-amal kebajikan yang akan dipersembahkan kepada-Nya.

Justeru, sempena keberadaan kita di awal Ramadhan ini, dengan azam dan tekad yang kuat, marilah kita jadikan Bulan Ramadhan pada tahun ini lebih baik berbanding sebelumnya. Pastikan kewajipan zakat fitrah telah kita selesaikan demi beroleh kesempurnaan ibadah dan keberkatan disisi Allah SWT.
“Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui”.
(Al-Baqarah : 261)

0 comments:

Post a Comment