Wednesday, March 27, 2013

Kampung Tanduo ditutup dengan rasminya, penduduk dipindah ke lokasi baharu

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Penduduk melihat sendiri kerosakan rumah
mereka di Kampung Tanduo.
LAHAD DATU, 27 Mac (Bernama) -- Pasukan keselamatan memutuskan untuk menutup Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh militan Sulu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata semua penduduk kampung itu yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke satu lokasi baharu yang akan diputuskan kemudian.

Penduduk Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Labian
yang ditempatkan di Dewan Embara Budi di Lahad Datu
berdoa supaya krisis pengganas Sulu
di kampung mereka segera berakhir.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pihak keselamatan mendapati kawasan yang menjadi kubu pengganas sejak pencerobohan
12 Feb lepas itu terjejas teruk susulan gerakan ofensif yang dilancarkan 5 Mac lepas.

"Setakat ini, itu yang kita putuskan, kita akan bincang perkara ini lagi tetapi perbincangan di peringkat pasukan keselamatan mendapati lebih sesuai penduduk kampung itu yang jumlahnya tidak begitu ramai ditempatkan di satu tempat yang akan dikenal pasti kemudian," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini Rabu.

Ketua-ketua keluarga penduduk Kampung Tanduo yang
dikawal rapi oleh pihak keselamatan dibawa melihat keadaan
rumah mereka selepas lebih 20 hari ditinggalkan semalam.
Beliau berkata penempatan semula penghuni 12 rumah di kampung itu akan dibuat di kawasan berdekatan Kampung Tanduo dan lokasinya akan dikenal pasti dengan kerjasama pengurusan Felda Sahabat.

Hamza turut memaklumkan bahawa kawasan Kampung Tanjung Batu kini bebas daripada ancaman pengganas dan pihaknya akan bermesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Daerah Lahad Datu dan ketua masyarakat kampung berkenaan bagi membincangkan proses membenarkan penduduk untuk kembali ke rumah masing-masing.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.
Beliau berkata proses penggeledahan dan pembersihan kini diteruskan ke Tanjung Labian dan Tanagian sebelum memasuki kawasan Sungai Bilis dan yakin proses itu mampu diselesaikan segera sebelum
memutuskan untuk membenarkan penduduk kembali ke rumah atau sebaliknya.

Terdahulu, Hamza berkata pasukan keselamatan merampas sepucuk pistol, enam butir peluru dan sebilah parang yang ditinggalkan militan selepas berlaku pertempuran di kawasan Sungai Bilis, Gugusan Labian pagi Rabu.

Penduduk Tanduo dipindahkan.
Beliau berkata kejadian pada 7.30 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi pembersihan di kawasan itu sebelum terserempak dengan tiga pengganas yang bertindak melepaskan
tembakan ke arah anggota keselamatan.

"Pengganas kemudian melarikan diri apabila diserang balas. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan di kedua-dua pihak, katanya.

Sumber BERNAMA 27/03/2013

0 comments:

Post a Comment