Monday, January 28, 2013

Tips sebelum pergi melancong

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

UMUM

1. Kaji selidik - Lakukan kaji selidik terlebih dahulu. Selidiki harga tiket pengangkutan, tempat yang ingin dilawati dan rancang percutian terlebih dulu. Pada hari minggu kebanyakan pusat peranginan dan tempat tumpuan pelancong  akan sesak dan menyebabkan  ketidakselesaan. Harga dan caj yang dikenakan pula lebih mahal dari hari-hari biasa. Jika anda pergi melancong selama 4 hari 3 malam contohnya, sediakan jadual perjalanan dari hari pertama sehingga hari terakhir.

2. Senarai semak - Jangan lupa sediakan senarai semak supaya tiada barang yang tertinggal.

3. Promosi/pakej - Apabila memilih untuk bercuti di luar negara pula, pilih negara yang mengadakan promosi pelancongan.  Selain itu menempah tiket penerbangan atau tiket bas lebih awal lebih baik bagi mendapatkan harga yang murah.

4. Wang tunai - Pastikan wang yang cukup disediakan. Kadang-kadang tempat yang ingin kita lawati tiada mesin ATM atau pengurup wang. Jadi sediakan wang tunai yang mencukupi yang boleh anda gunakan di waktu kecemasan. Pastikan wang diletakkan di dalam tempat yang selamat dan elakkan meletak wang yang banyak atau dompet di bahagian yang mudah dicapai penyeluk saku. Penggunaan kad kredit menyebabkan anda dikenakan faedah yang tinggi.


5. Passport - Pastikan anda memiliki passport/dokumen perjalanan yang sah dan belum tamat tempoh, sekurang-kurangnya 6 bulan.

6. Jangan leka - Sentiasa memerhatikan bagasi dan beg anda sepanjang lawatan terutamanya di lapangan terbang atau di dalam bas persiaran.

7. Bagasi - Ketika mengambil bagasi di conveyor, tunggu bagasi anda di bahagian keluar bagasi bagi mengelakkan bagasi anda tertukar atau dicuri. Periksa bagasi anda berada dalam keadaan yang sebaiknya. Sekiranya terbuka atau tidak seperti yang asal, pastikan tiada bendasing yang terdapat di dalam bagasi itu atau dapatkan bantuan ketua rombongan atau pihak berkuasa di lapangan terbang.

8. Beg pakaian  - Pastikan beg yang anda bawa selesa untuk digunakan dan tidak menyusahkan anda. Gantungkan tag nama, alamat dan nombor telefon pada beg anda dan jangan lupa kunci. Anda mungkin boleh meletakkan mangga atau padlock supaya beg tidak dibuka orang yang tidak bertanggungjawab.

9. Tag nama - Anda perlu sentiasa ada tag nama atau kad nama ketua rombongan atau kad nama hotel sepanjang lawatan. Ini kerana di belakang tag nama tercatat nombor kecemasan yang boleh anda hubungi seperti nombor telefon ketua rombongan, pemandu pelancong, wakil agensi di negara terbabit, petugas di KL dan Kedutaan Malaysia negara terbabit.

Push-bag.
10. Salinan dokumen - Sentiasa bawa dan simpan salinan passport, kad pengenalan dan kad ATM/kredit di tempat yang selamat (dalam bagasi/tas tangan) supaya boleh dijadikan rujukan sekiranya barang-barang yang asal hilang atau dicuri. Sebaiknya diimbas (scan) dan emelkan semula kepada anda!

11. Datang awal - Datang awal ke lapangan terbang untuk mengelakkan masalah yang tidak diingini.

12. Gunakan push-bag atau money-belt bagi menyimpan barangan berharga anda ketika keluar lawatan atau membeli-belah.

13. Dompet tambahan - Pertimbangkan untuk membawa 1 lagi dompet yang cuma diisi sedikit wang tunai sebagai umpan. Cara ini berkesan sekiranya anda dirompak.

14. Kenderaan - Jangan menumpang kenderaan sebarangan, sebaliknya gunakan bas persiaran yang telah disediakan atau teksi rasmi jika keluar selepas waktu lawatan. Dapatkan maklumat lanjut tentang kenderaan awam di situ daripada pemandu pelancong, ketua rombongan atau pihak hotel.

Money-belt.
15. Rancang - Untuk menjimatkan tenaga, perbelanjaan dan masa, rancang untuk mengunjungi lokasi menarik berhampiran dalam sehari. Melalui perancangan itu, anda boleh mengetahui jenis pengangkutan ke lokasi pilihan dan bayaran tambang.

HOTEL

1. Kunci pintu - Sentiasa kunci pintu bilik hotel anda ketika anda berada di dalam bilik atau keluar.

2. Dokumen penting - Pastikan barang-barang berharga terutamanya passport disimpan rapi sekiranya anda ingin meninggalkannya di dalam bilik. Seeloknya gunakan peti besi yang ada sesetengah hotel sediakan.

3. Sarapan percuma - Manfaatkan sarapan percuma yang disediakan oleh pihak hotel dan makan hingga kenyang. Jika anda bercuti di Eropah, makanan di sana adalah mahal. Dengan memanfaatkan sarapan yang disediakan di hotel, anda boleh mengurangkan lagi perbelanjaan anda.

4. Kecemasan - Periksa di mana kedudukan pintu kecemasan kebakaran dan tangga bagi memudahkan anda menyelamatkan diri sekiranya sesuatu yang buruk/kecemasan berlaku.

5.  Orang tidak dikenali - Sekiranya anda ingin berjumpa dengan seseorang yang anda tidak kenali di hotel, jadikan lobi atau restoran/kafe sebagai tempat pertemuan.

JANGAN TERLALU MENONJOLKAN DIRI

1. Peta - Sekiranya anda tidak tahu ke mana hendak dituju dan perlu melihat peta, jangan terlalu menonjolkan perbuatan tersebut dan cuba cari tempat yang kurang orang seperti kafe atau pondok telefon. Pastikan anda mencetak terlebih dahulu atau membeli peta tempat yang ingin anda lawati. Ini akan memudahkan anda untuk merancang jenis pengangkutan yang sesuai untuk pergi melawat tempat-tempat menarik yang telah anda tetapkan sebelumnya.

2. Pakaian - Pakailah pakaian yang biasa dan tidak terlalu berbeza daripada penduduk tempatan seperti berbaju corak bunga warna terang diiringi kamera DSLR di leher.

3. Waspada - Berhati-hati sekiranya anda perasan ada seseorang yang memerhatikan gerak-geri anda.

4. Barang kemas - Elakkan dari memakai atau menunjuk barangan kemas yang mampu membuatkan pencuri/perompak tidak perlu berfikir dua kali untuk merompak anda.

5. Sesuaikan diri - Cuba sesuaikan diri anda dengan keadaan sekeliling dan elakkan lagak sebagai seorang pelancong.

SENTIASA INGAT

1. Dapatkan nasihat dan maklumat daripada ketua rombongan atau pemandu pelancong atau internet tentang tahap keselamatan kawasan yang ingin anda lawati sendiri, terutamanya pada waktu malam.

2. Elakkan daripada berjalan sendirian dan berjalan di kawasan yang sunyi, seeloknya biarlah berteman.

3. Sekiranya anda dirompak/diragut, elakkan dari melawan kerana perlu sentiasa ingat nyawa anda adalah lebih berharga.

4. Jauhkan diri anda dari pergaduhan, demonstrasi atau kawasan rusuhan serta-merta.

DI MANA INGIN MENDAPATKAN BANTUAN

1. Ketua rombongan atau pemandu pelancong.

2. Agensi pelancongn yang menguruskan anda di Malaysia.

3. Kedutaan Malaysia atau pejabat Tourism Malaysia negara terbabit atau Kedutaan British sekiranya kedua-duanya tiada.

4. Kementerian Luar Negeri di Malaysia +60388874000 atau +60388874570.

5. Pihak berkuasa tempatan.


LAIN-LAIN

1. Kongsi barang - Jika bercuti bersama kawan-kawan di dalam kumpulan adalah satu tindakan bijak dengan berkongsi sahaja barangan keperluan asas seperti mandian, syampu, ubat gigi ataupun boleh menggunakan apa yang telah dibekalkan oleh pihak hotel.

2. Kurangkan pakaian - Jangan membawa terlalu banyak barang atau pakaian ketika melancong dan pastikan pakaian yang dibawa bersesuaian dengan destinasi yang hendak dituju. Sediakan beg plastik untuk menyimpan pakaian kotor supaya ia dapat diasingkan daripada pakaian bersih.

3. Cenderahati - dapatkan maklumat tentang kawasan yang menjual buah tangan yang murah. Senaraikan juga semua nama ahli keluarga dan rakan supaya anda tidak membeli cenderamata secara berlebihan. Memang kadang-kadang kita jadi rambang mata tetapi jangan sampai rabak pula poket anda, nanti menyesal pula.

4. Makanan - Pastikan tempat makanan yang anda pilih halal dan bersih. Jika anda melancong ke luar negara, bawa bekal makanan halal dan segera seperti mee segera, makanan dalam tin, biskut, air minuman '3 in 1', snek dan lain-lain.

5. Agensi pelancongan - Melancong dengan menggunakan khidmat agensi pelancongan juga sangat digalakkan lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali mahu melancong. Ini dapat mengelakkan anda dari ditipu dan membuang masa.

6. Cari tarikh yang sesuai - Semak tarikh tersebut beberapa kali dan pastikan anda dan keluarga anda tidak mempunyai apa-apa aktiviti lain, sebaiknya tarikh ditentukan 3 bulan sebelum pergi bercuti.

7. Pengangkutan - Pilih pengangkutan yang paling murah serta pemandu pelancong yang tahu mengenai selok-belok kawasan percutian tersebut bagi mengelakkan anda daripada ditipu ataupun tersesat.

8. Bahasa - Bahasa adalah penting. Jika ingin melancong dalam dan luar negara, belajarlah asas bahasa dan dialek. Bahasa akan menjauhkan anda daripada di'sembelih' peniaga atau individu yang gemar 'cekik darah'. Bahasa juga dapat memesrakan anda di mana-mana. Pelajarilah pelbagai bahasa, demi keselamatan dan berjaya menjimatkan wang anda!

9. Ubat - Bawa bersama ubat-ubatan anda, supaya tidak memberi masalah dan dapat menjimatkan kos bila diperlukan.

10. Dana kecemasan - Simpan 20 peratus daripada anggaran perbelanjaan percutian anda untuk dana kecemasan. Dana ini amat berguna jika berlakunya sebarang perkara yang tidak disangka seperti jatuh sakit dan memerlukan rawatan hospital. Dana ini juga membantu anda untuk menampung perbelanjaan anda sekiranya anda telah terlebih belanja daripada anggaran perbelanjaan anda.

11. Berbelanja - Jangan berbelanja terlalu banyak barangan, ingat, pergi melancong untuk berehat dan menenangkan fikiran, bukannya untuk membebankan diri anda.

12. Patuhi undang-undang - Patuhi peraturan, undang-undang serta pantang-larang sewaktu berada di tempat orang.

Rujukan: Puspanita Kementerian Pelancongan Malaysia

0 comments:

Post a Comment