Sunday, January 20, 2013

Bantuan Khas Awal Persekolahan beri rahmat kepada golongan kurang mampu

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

TUMPAT - Golongan kurang berkemampuan menyifatkan Bantuan Awal Persekolahan 2013 sebanyak RM100 kepada setiap pelajar yang diterima daripada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Wakaf Baharu, di sini hari ini sebagai rahmat besar kepada mereka.

Bagi ibu bapa pelajar berkenaan, pemberian itu dapat meringankan beban kewangan terutama kepada mereka yang mempunyai beberapa orang anak yang masih bersekolah.

Seorang bapa Kamarul Bahari Idris, 44, dari Kampung Wakaf Baharu berkata bantuan yang diberikan kerajaan ternyata dapat meringankan beban yang ditanggung kerana dua anaknya masih bersekolah.

"Saya bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan, manakala isteri pula hanya tukang jahit. Saya ada empat anak, dua daripadanya masih bersekolah di SK Wakaf Baharu dan Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh.

"Bantuan RM100 ini banyak membantu saya untuk menyelesaikan pelbagai yuran yang sering sahaja tertunggak pada setiap tahun serta membeli keperluan sekolah anak-anak seperti pakaian dan buku sekolah baharu," katanya.

Kamarul Bahari berkata walaupun hanya RM100, namun ia mempunyai nilai yang cukup besar kepada keluarganya kerana mendapat pelbagai manfaat daripada bantuan tersebut.

"Saya rasa lega kerajaan bagi RM100 ini untuk bantuan persekolahan. Tak pernah lagi ada kerajaan yang prihatin beri pelbagai bantuan kepada semua masyarakat," katanya.

Bagi Wan Habsah Wan Yunus, 38, dari Kampung Tok Malik berkata beliau bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan dan ia membuktikan kerajaan tidak memilih bulu.

"Saya menerima bantuan ini bagi pihak anak, Muhammad Azam Zazuri, 14, yang mengalami masalah pendengaran dan terpaksa belajar di kelas khas.

"Walaupun anak mendapat bantuan Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun tetap terima juga bantuan RM100 tersebut," katanya.

Seorang lagi penerima, Phakdi Eipian, 45, berkata masyarakat Siam di negeri ini turut tidak dipinggirkan apabila dapat merasai pelbagai bantuan yang diberi kerajaan yang menjaga kebajikan rakyatnya.

Beliau berkata bantuan tersebut wajar diberi pada setiap tahun kerana dapat memberi pelbagai manfaat terutama kepada golongan pertengahan dan miskin serta OKU.

Bagi seorang guru pula, Salmani Nawi, 39, yang bertugas di SK Bunohan, ada perbezaan ketara berlaku di kalangan masyarakat kampung selepas bantuan awal persekolahan tersebut diperkenalkan pada tahun lepas.

"Dahulu payah nak minta ibu bapa beli buku atau bayar yuran sekolah kerana pendapatan mereka sekadar cukup-cukup makan.

"Tapi selepas bantuan tersebut diperkenalkan ibu bapa kini lebih senang untuk bayar yuran dan jarang berlaku kes yuran sekolah tertunggak," katanya.

Seramai 31,729 pelajar di daerah Tumpat layak menerima bantuan tersebut dengan peruntukan lebih daripada RM3 juta.

Sumber BERNAMA 20/01/2013

0 comments:

Post a Comment