Friday, November 30, 2012

Program TV uji ketakutan pengguna lif

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

RIO DE JANEIRO - Satu program televisyen cuba meninjau reaksi para pengguna lif apabila mereka melihat hantu, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.

Kamera dipasang dalam lif itu tanpa disedari oleh para pengguna semasa rakaman tersebut dibuat. Dalam program itu, hanya seorang atau dua pengguna sahaja berada di dalam lif tersebut.

Selepas pintu lif itu ditutup, pengguna tersebut tidak menyedari ia sebenarnya tidak bergerak. Cahaya lampu di dalam lif tersebut kemudian terpadam seolah-olah menunjukkan bekalan elektrik terputus.

Semasa bekalan elektrik itu terputus, seorang budak perempuan yang menyamar sebagai hantu dengan membawa anak patung merangkak keluar dari sebuah pintu rahsia.

Apabila cahaya lampu dihidupkan semula, pengguna lif itu terkejut apabila mendapati kanak-kanak perempuan tersebut muncul dengan tiba-tiba.

Wajah kanak-kanak itu yang kelihatan seperti hantu menyebabkan pengguna lif tersebut ada yang menutup mata dengan tangan.

Terdapat juga pengguna lif lelaki yang terus berlari sejurus pintu dibuka. Salah seorang pengguna wanita pernah menjerit apabila melihat 'hantu' itu. - Agensi

Sumber Kosmo! Online 30/11/2012


Palestin diiktiraf negara pemerhati bukan anggota PBB

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

NEW YORK - Selepas penantian selama 65 tahun, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengiktiraf Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota dalam badan dunia itu.

Dalam kekalahan besar kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan kemenangan tersebut sebagai ‘sijil lahir’ untuk negara Palestin.

Generasi muda Palestin sudah tentu akan mengingati tarikh penting ini - 29 November 2012

Kejayaan itu kini menjadi kenyataan walaupun sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat (AS) meningkatkan kempen agresif untuk menggagalkan undian Perhimpunan Agung.

Hanya sembilan daripada 193 negara anggota PBB mengundi untuk menentang penaiktarafan status itu, termasuklah AS, Israel dan Kanada, manakala Australia dan Jerman antara 41 negara yang mengambil pendirian berkecuali.

Palestin sebelum ini menolak cadangan supaya sebuah negara Yahudi dan Arab ditubuhkan selepas penjajahan British ke atas Palestin berakhir. - AFP

Sumber Utusan Online 30/11/2012

Palestine Map and Palestine Satellite Image

Thursday, November 29, 2012

Lahar Gunung Kilauea mengalir ke laut

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KALAPANA, Hawaii - Sebuah gunung berapi dekat Taman Negara Gunung Berapi di sini mengalirkan lahar ke laut sejak Sabtu lalu.

Beberapa pegawai menyatakan, jika lahar tersebut berterusan mengalir ke laut dari Gunung Kilauea, ia akan menarik kehadiran ramai pelancong.

- Reuters

Sumber Kosmo! Online 29/11/2012

Denverpost  |  Gadling

Wednesday, November 28, 2012

Indonesia Beri Lampu Hijau Kepada Jet Sukhoi Rusia

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

JAKARTA: Indonesia telah mengiktiraf jet pesawat penumpang buatan Rusia yang selamat untuk diterbangkan selepas enam bulan model yang sama terhempas ke kawasan gunung berapi semasa demonstrasi penerbangan.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan pada Rabu berkata, lembaga pengarah jabatan penerbangan awam negara itu pada minggu lepas melihat pesawat Sukhoi Superjet-100 layak untuk diterbangkan.

Ervan berkata, kelayakan itu berdasarkan proses pengesahan yang panjang dan teliti dan tidak ada kaitan dengan siasatan nahas yang masih dijalankan.

Mei lalu, pesawat Sukhoi Superjet-100 terhempas di kawasan gunung berapi semasa membuat demonstrasi penerbangan bagi menarik perhatian para pembeli, sehingga mengorbankan semua 45 orang di dalamnya.

Kelayakan itu akan membenarkan penghantaran pesawat kepada pelanggan pertamanya di Asia Tenggara, syarikat penerbangan Indonesia, Sky Aviation, yang telah menandatangani kerjasama untuk 12 pesawat. - AP

Sumber mStar Online 28/11/2012

Malaysia Teratas Dalam Kalangan Negara Berpendapatan Sederhana Tinggi Dari Segi Ketenteraman Dan Keselamatan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Malaysia menduduki tangga teratas dalam kalangan 30 negara berpendapatan sederhana tinggi, dan di tangga ke-16 di peringkat global dalam menjamin keselamatan rakyatnya, kata laporan Indeks Kedaulatan Undang-undang World Justice Project (WJP) 2012.

Laporan itu berkata Kerajaan Malaysia secara relatif, bersikap bertanggungjawab, berbanding negara berpendapatan sederhana tinggi lain.

"Sistem mahkamah sivilnya pula menduduki tangga ke-39 di peringkat global, dan kelapan dalam kalangan negara berpendapatan sederhana tinggi.

"Malaysia mendapat markah baik bagi keselamatan orang ramai, menduduki tangga teratas dalam kalangan negara yang berpendapatan dalam kelas sepertinya dan setara dengan negara seperti Perancis dan Belgium," katanya.

Laporan itu, yang dikeluarkan di Washington DC, minggu ini, memberi ranking kepada negara dalam lapan bidang yang mempunyai kaitan dengan kedaulatan undang-undang: had mengenai kuasa kerajaan, rasuah, keselamatan, hak asasi, keterbukaan kerajaan, penguatkuasaan peraturan, keadilan sivil dan keadilan jenayah.

Ia melibatkan temu bual dengan 97,000 orang biasa dan lebih 2,500 pakar di 97 negara.

Sumber BERNAMA 28/11/2012

Google Maps perluas perkhidmatan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

LONDON - Perkhidmatan Google Maps kini diperluaskan meliputi bahagian dalaman di beberapa bangunan di Britain untuk membantu orang ramai memudahkan perjalanan mereka.

Peta interaktif itu juga boleh dilayari di dalam talian bagi membolehkan orang ramai merancang perjalanan.

Satu daripada bangunan yang terlibat ialah Lapangan Terbang Manchester dan kini penumpang boleh melihat pelan lantai terminal bagi memudahkan arah tuju mereka.

Sesiapa pun boleh melihat peta itu dengan mendaftar masuk ke dalam laman web tersebut dan insiden tidak menemui dewan berlepas kini tidak akan berlaku kerana pengguna boleh menerima arahan melalui telefon pintar mereka.

Pelan lantai bagi ketiga-tiga terminal di lapangan terbang itu juga boleh dilihat, selain setiap tingkat yang ada bagi membolehkan penumpang mengetahui lokasi seperti kedai, bar dan restoran.

Lokasi tempat daftar masuk, pintu berlepas dan pusat maklumat turut boleh diketahui untuk kemudahan penumpang.

Antara bangunan lain yang terlibat termasuklah Kings Cross Station di London, Lapangan Terbang Heathrow, Stadium Wembley dan beberapa gedung beli-belah, termasuk Debenhams dan Selfridges. - AGENSI

Sumber Utusan Online 28/11/2012

Mail Online  |  Manchester Evening News  |  Airport Parking  |  Whats On Xiamen

Transformasi Bahasa Melayu Perlu Seiring Transformasi Negara - Bekas KP DBP

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

GEORGE TOWN - Kerajaan disaran memberi perhatian serius terhadap transformasi bahasa bagi memastikan ia bergerak seiring dengan era transformasi yang merangkumi pelbagai bidang.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk A. Aziz Deraman berkata kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan di kalangan masyarakat, organisasi awam dan swasta dilihat semakin hilang serta membimbangkan.

"Memang ada sedikit keresahan di kalangan cendekiawan, budayawan dan pemikir bahawa seperti negara kita memang merdeka, tetapi kedudukan bahasa negara yang harus diamal semua orang, seperti belum mencapai taraf sebagaimana merdekanya negara.

"Saya sangat percaya bahawa kita tidak boleh maju dengan meninggalkan bahasa negara kita sendiri. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi hendaklah berada pada tahapnya yang cukup mantap," katanya kepada Bernama selepas forum 'Dilema dan Hala Tuju Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka' anjuran Universiti Sains Malaysia di sini Selasa.

Beliau berkata usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan seharusnya diperhebat seperti kemahuan serta keazaman politik negara.

Sumber BERNAMA 28/11/2012

Tuesday, November 27, 2012

PRU-13 bukan Disember

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Parlimen tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan pada Disember.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan ditegaskan Presiden Umno itu pada majlis Taklimat Presiden kepada perwakilan Umno di sini, Selasa.

"Beliau (Najib) nyatakan (PRU-13) tidak dalam bulan 12," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat tertutup itu di sini.

Bagaimanapun menurut Ahmad Zahid, Perdana Menteri tidak menyatakan alasan tertentu mengapa PRU-13 tidak akan diadakan pada bulan Disember akan datang.

"Tidak ada alasan. Tapi saya fikir kerana kita mempunyai tempoh sehingga bulan Mac tahun depan dan kita ada 60 hari selepas tamat tempoh itu untuk adakan pilihan raya.

"Tapi saya yakin apa yang lebih penting ialah beliau mahu lihat jentera bersiap sepenuhnya," katanya.

Baru-baru ini Najib secara berseloroh pernah memberi bayangan bahawa PRU-13 boleh diadakan pada Disember ini walaupun negara dilanda musim tengkujuh.

Beliau yakin walaupun musim tengkujuh, jentera parti politik yang bertanding mampu menghadapi sebarang kemungkinan.

Selain itu Ahmad Zahid berkata, menerusi taklimat berkenaan Najib menegaskan agar jentera parti disemua peringkat bersiap sedia untuk menghadapi PRU-13.

"Perdana Menteri minta supaya jangan bekerja hanya apabila Parlimen dibubarkan. Ertinya kesiapsiagaan ini harus dimulakan sekarang.

"Beliau mahu persiapan jentera hendaklah diletakkan dalam gear lima supaya kita boleh bergerak pantas dan kita tak tunggu Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) dibubarkan," katanya.

Sumber mStar Online 27/11/2012

Anggota Parlimen Perlu Ikuti Kursus Sensitiviti Gender

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Semua Anggota Parlimen termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan-timbalannya perlu mengikuti kursusberkaitan sensitiviti gender bagi mengelakkan mereka mengeluarkan kenyataanberbaur seksis ketika persidangan berlangsung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kursus kefahaman itu akan dianjurkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membantu anggota Parlimen mengetahui garis panduan mengenai isu-isu sensitif.

"Parlimen mengambil perhatian atas cadangan termasuk yang dibangkitkan oleh Batu Gajah (DAP-Fong Poh Kuan). Saya rasa ini tidak ada masalah (mengikuti kursus dari semasa ke semasa).

"Mungkin sesi akan datang ada orang baru, yang baru perlu ditarbiah, disekolahkan," katanya ketika menggulung perbahasan usul menerima penyata jawatankuasa peraturan-peraturan mesyuarat di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat atau pengerusi diberikan hak atau kemudahan untuk menentukan sama ada pernyataan itu seksis atau tidak berdasarkan kepada intonasi dan suasana perbahasan di Dewan Rakyat.

"Ada perkataan yang digunakan dalam suasana biasa, ia tidak boleh dianggap sebagai kurang sopan seperti 'celaka, sial' itu dalam keadaan apa sekalipun, ia memang tidak sopan.

"Kalau macam bocor, itu tidak dianggap tidak sopan. Tetapi suasana perbahasan dan intonasi ia digunakan, itu menjadikannya seksis," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian meluluskan pindaan kepada PeraturanMesyuarat 36(4) sedia ada yang menyebut "adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan menggunakan bahasa kurang sopan (biadab)."

Selepas pindaan diluluskan, Peraturan Mesyuarat 36(4) menyebut:"Adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat pernyataan yang seksis." - BERNAMA

Sumber mStar Online 27/11/2012

Malaysian Standard Diterima Dan Diguna Pakai Di Peringkat Antarabangsa

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Malaysian Standard (MS) yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) telah diterima, diguna pakai dan diaplikasi di peringkat antarabangsa termasuk negara yang bukan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata Standards Malaysia juga adalah badan yang diiktiraf oleh International Standard Organisation.

Sehubungan itu, katanya program pembangunan standard halal dan MS sentiasa dijalankan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak dari negara ini, dari rantau Asia dan benua lain bagi memastikan ia terus diterima.

"Sejak 2006, terdapat 34 buah negara OIC telah menjalani kursus MS manakala pada tahun ini (selain OIC), negara seperti Jepun, Belanda, India dan Filipina turut menjalani kursus yang sama.

"Ini bermakna mereka mengiktiraf, mengguna pakai malah ingin mempelajaridari segi teknik MS yang kita bangunkan untuk diaplikasi di negara mereka,"katanya ketika menjawab soalan tambahan Hamim Samuri (BN-Ledang) di persidangan Dewan Rakyat Selasa.

Hamim dalam soalan asalnya meminta kementerian menyatakan peranan yang dimainkan Standards Malaysia dalam merealisasikan Malaysia sebagai pusat makanan halal.

Fadillah berkata pelbagai perjanjian dan kerjasama teknikal telah dimeterai di peringkat antarabangsa seperti yang dilakukan dengan Egyptian Organization for Standardization and Quality, Saudi Standard Metrology and Quality Organization dan Saudi Food and Drug Authority.

"Kenapa Arab Saudi, kerana negara itu dilihat sebagai peneraju OIC dan apabila Arab Saudi mengguna pakai SM kita, diharapkan negara dalam OIC turut mengambil langkah yang sama sebagai panduan di negara mereka," katanya.

Beliau juga berkata Standards Malaysia berperanan dalam membangunkan MS, mempromosikan penggunaannya dan menjalankan aktiviti akreditasi ke atas badan-badan penilaian pematuhan. BERNAMA

Sumber mStar Online 27/11/2012

‘Ikon Wanita Muda 2012’ Hadiah Hari Lahir Terindah Buat Deejay Lin

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, DJ Lin menganggap penganugerahan Ikon Wanita Muda 2012 (Kesatria Puteri Penyiaran Radio) yang diterima bersempena Himpunan Wanita Muda Negara 2012 pada Ahad lalu sebagai penyuntik semangat untuk terus berjuang dalam penyiaran radio.

Menurut Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid, pengiktirafan itu juga merupakan hadiah terindah bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-37 pada 31 Disember depan.

“Bagi Lin, anugerah ini adalah hadiah terindah sempena hari lahir saya yang akan disambut pada 31 Disember depan.
Deejay Lin bersama trofi anugerah Ikon
Wanita Muda 2012 atas sumbangannya
dalam dunia penyiaran radio.

“Ia juga adalah penyuntik semangat untuk saya terus berjuang dalam industri penyiaran radio,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online pada Selasa.

Lin menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad lalu.

Lin merupakan antara 12 penerima anugerah tersebut yang diberikan kepada wanita yang cemerlang dalam profesion masing masing.

Antara penerima lain adalah Datuk Siti Nurhaliza (Kesenian) dan Pandelela Rinong (Sukan).

Penyampai rancangan Suria Cinta berkata, pemilihan itu dilakukan berdasarkan beberapa kriteria iaitu keberkesanan rancangan popular itu sehingga mampu menyatukan pendengar untuk saling berkongsi pengalaman cinta masing-masing.

“Selain berkongsi pengalaman cinta dengan para pendengar, rancangan itu juga berjaya menemukan cinta di kalangan pendengar.

“Sehingga kini, lebih 300 pendengar berjaya menemui jodoh,” katanya.

Selain itu, katanya, hubungan rapat bersama peminat juga dilihat sebagai satu bentuk penglibatan secara dekat kepada masyarakat menerusi beberapa program dan aktiviti yang diatur bersama kelab peminat Fan DJ Lin CintaMania.

“Umpamanya aktiviti ‘Konvoi Raya ke Rumah Peminat ke Utara dan Lembah Kelang’ di mana saya mengambil inisiatif untuk turun padang berkunjung ke rumah peminat di seluruh negara sebagai penghargaan kerana menyokong karier saya selama ini,” katanya.

Pengiktirafan itu merupakan anugerah keempat yang diterima selepas memenangi trofi Penyampai Radio Wanita Terbaik dan Rancangan Interaktif Terbaik (Suria Cinta) di Anugerah Seri Angkasa pada 2005 dan 2010.

Sumber mStar Online 27/11/2012

Kesedaran kosongkan tangki septik masih rendah

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Tahap kesedaran dalam kalangan orang awam di negara ini bagi mengosongkan tangki septik masih lagi rendah, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata sejak Kempen Pengosongan Tangki Septik Individu dilaksanakan tahun lepas, kesedaran dalam kalangan pemilik premis adalah seramai 68,548 orang tahun lalu berbanding 56,406 pada tahun sebelumnya. - BERNAMA

Sumber Utusan Online 27/11/2012

Penjawat awam perlu tangani tekanan perasan dengan baik

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

PUTRAJAYA — Penjawat awam dinasihat supaya menangani tekanan perasaan dengan baik memandangkan budaya kerja dan tuntutan persekitaran kehidupan masa kini telah banyak berubah berbanding 10 atau 20 tahun lepas.

Nasihat itu diberikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf semasa beliau merasmikan Seminar Psikologi dan sambutan Hari Psikologi peringkat kementerian, di sini hari ini.

Beliau berkata, penjawat awam perlu memiliki jati diri dan pegangan agama yang kukuh.“Meskipun memiliki latar belakang akademik yang cemerlang, ia belum tentu menjanjikan kehidupan yang harmoni serta kestabilan mental dan emosi. Jadi mereka perlu kuat untuk berdepan dengan cabaran,” katanya.

Sumber Kosmo! Online 27/11/2012

Persepsi Keterlaluan Tentang Rasuah Tidak Cerminkan Keadaan Sebenar Di Malaysia

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Persepsi berkaitan rasuah yang "melampau" tidak mencerminkan realiti Malaysia yang terus berkembang mantap di bidang sosial dan ekonomi.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Anis Yusal Yusoff berkata Malaysia mencatat prestasi baik dari segi penerimaan pelaburan asing dan daripada usahawan tempatan, yang seterusnya menghasilkan pertumbuhan kukuh ekonomi dan kadar pembangunan yang tinggi.

Katanya walaupun Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia mencatat mata 4.3 dalam Laporan Transparency International 2011, kadar pertumbuhan negara ini sentiasa cergas sejak 12 tahun lepas, dengan purata pertumbuhan 4.8 peratus dari tahun ke tahun.

"Kaji selidik ringkas kami mendapati Malaysia tidak akan mencapai kadar pelaburan, kadar pertumbuhan dan kadar pembangunan insan yang dinikmatinya sekarang sekiranya negara ini begitu teruk daripada segi rasuah seperti yang digambarkan," kata beliau dalam kertas kerja bertajuk "Membanteras Rasuah: Memahami Inisiatif Pencegahan Rasuah di Malaysia".

Kertas kerja setebal 72 muka surat itu dibentangkan pada forum bertajuk "Membasmi Rasuah: Sejauh Mana Kejayaan Kita?" yang dirasmikan penutupannya oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di sini, Isnin. Anis Yusal berkata Malaysia mengalami pemulihan pantas pada 2010, dengan kadar pertumbuhan suku keduanya mencecah lebih 10 peratus.

Katanya Malaysia juga menarik jumlah pelaburan langsung asing (FDI) pada kadar kukuh.

"Kadar pelaburan lebih banyak dikaitkan dengan tanggapan tentang rasuah, berbanding dengan petunjuk ekonomi lain dan selalunya, orang akan menjangka bahawa peningkatan kadar amalan rasuah akan menyekat kemasukan FDI," katanya.

Beliau berkata mata CPI itu menunjukkan peningkatan kadar kesedaran yang mungkin wujud di kalangan orang ramai dan kesedaran mereka tentang kesan negatif rasuah terhadap masyarakat dan ekonomi. "Dari satu segi, trend ini adalah positif. Memang sesuatu yang menggembirakan apabila melihat orang ramai semakin memberi tumpuan terhadap isu penting ini dan mahukan kerajaan meningkatkan kebertanggungajwabannya," kata beliau.

Beliau berkata ada kemungkinan bahawa peningkatan persepsi orang ramai terhadap rasuah berpunca daripada kempen ahli politik yang menuduh pihak lain lebih teruk mengamalkan rasuah berbanding keadaan sebenar. - BERNAMA.

Sumber mStar Online 27/11/2012

Malaysia Tawar 3.3 Juta Pekerjaan Menjelang 2020

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menyediakan 3.3 juta pekerjaan baru dalam pelbagai sektor menjelang 2020 hasil usaha sama antara kerajaan dan pihak swasta, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata peluang pekerjaan untuk warga tempatan semakin meningkat dari semasa ke semasa, khususnya yang ditawar oleh Jabatan Tenaga Kerja dan agensi lain di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk lepasan sekolah, universiti dan penganggur.

"Menjelang 2020, negara memerlukan tenaga kerja yang berprestasi dan berkemahiran tinggi. Malaysia juga memerlukan sekurang-kurangnya lebih daripada 40 peratus pekerja mahir menjelang tahun 2020 untuk berada pada tahap sama dengan negara maju," katanya.

Justeru, katanya Kementerian Sumber Manusia akan menumpukan perhatian dalam pembangunan latihan kemahiran kepada warga tempatan bagi merealisasi sasaran menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Maznah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Kemahiran dan Kerjaya bersama Warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012 anjuran Kementerian Sumber Manusia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral Isnin.

Sumber BERNAMA 27/11/2012

Satu petak tempat letak kereta dijual RM509,190

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

HONG KONG - Satu petak tempat letak kereta individu dijual pada harga AS$166,666 (RM509,190) di Hong Kong, menurut beberapa laporan semalam.

Petak itu kini menjadi salah satu cara untuk para pelabur memperoleh keuntungan dengan menjualnya pada harga yang tinggi.

Pada minggu lalu, seorang hartawan Hong Kong, Li Ka-shing menjual 514 petak tempat meletak kereta dan memperoleh sebanyak AS$77 juta (RM235.24 juta), menurut akhbar South China Morning Post dan The Standard.

Petak tempat meletak kereta di Hong Kong boleh disewa pada harga AS$490.30 (RM1,497) hingga AS$606.43 (RM1,852) sebulan. - AFP

Sumber Kosmo! Online 27/11/2012

Abs Cbn News  |  Asia One  |  Bangkok Post  |  Dawn.com  |  South China Morning Post  |  The Standard

Minat Dalam Sains, Matematik Di Tahap 28 Peratus - Fadillah

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Penyelidikan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan minat dalam Sains dan Matematik di sekolah dan universiti ialah di tahap 28 peratus, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, Isnin.

"Kementerian mahu peratusan minat dalam Sains dan Matematik meningkat kepada 60 peratus supaya kumpulan bakat dalam Sains, Teknologi dan Inovasi(STI) dapat diperbesarkan," katanya kepada Bernama pada majlis penyampaian hadiah Yayasan Sains Toray Malaysia (MTSF) di sini.

Fadillah menyampaikan anugerah dan geran kepada 34 saintis dan penyelidik, sebagai mewakili Menteri Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, pada majlis itu.

Jumlah pemohon bagi anugerah dan geran itu adalah terbanyak bagi tahun ini, iaitu 318 bagi geran, 140 bagi Anugerah Pendidikan Sains dan 20 bagi Anugerah Sains dan Teknologi.

Sumber BERNAMA 27/11/2012

Monday, November 26, 2012

KL disenaraikan Kota Raya Beli-Belah ke-4 Terbaik Dunia

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur disenaraikan sebagai kota raya membeli-belah ke-4 terbaik dunia oleh rangkaian berita global CNN, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata dalam kajian CNN menerusi '10 Top Best Shopping Cities in the Wolrd', kota raya New York menduduki tempat pertama diikuti Tokyo dan London. Paris berada di tempat kelima, diikuti Hong Kong, Buenos Aires, Vienna, Dubai dan Madrid, katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

"Penghakiman adalah berdasarkan empat kriteria, iaitu kemudahan bergerak, nilai untuk wang, kepelbagaian dan pengalaman. "Kuala Lumpur meraih 30 mata daripada 40 mata keseluruhan: enam mata bagi kemudahan bergerak, 10 mata bagi nilai untuk wang, lapan mata untuk kepelbagaian dan 10 mata bagi pengalaman," tambah beliau. New York meraih 35 mata, diikuti Tokyo (34) dan London (31).

Dr Ng berkata, Kuala Lumpur merupakan satu-satunya kota raya yang meraih 10 mata penuh dalam nilai untuk wang, sekali gus menunjukkan bahawa kepelbagai produk yang terdapat di bandar raya ini, mampu dimiliki dan harga berpatutan.

Pada awal bulan ini, Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai destinasi membeli-belah kedua terbaik di Asia Pasifik oleh Globe Shopper Index yang dicipta oleh 'Economist Inteligence Unit' yang merupakan sebahagian daripada kumpulan ahli ekonomi dan ditauliahkan oleh syarikat pelancongan membeli-belah, 'Blue Global' yang terletak di Switzerland.

Sumber BERNAMA 26/11/2012

Asiance Magazine |  Asia News Network  |  CNN  |  Kaz Inform  |  The Asian Parent  |  Topix

Tips ketika menghadapi banjir

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

1. Dapatkan maklumat terkini cuaca dan situasi banjir melalui saluran radio, televisyen dan internet.

2. Simpan semua dokumen penting di dalam bekas/ beg/ fail di tempat yang tinggi dan mudah diambil sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan

3. Orang awam diminta sentiasa peka dengan amaran banjir daripada pihak berkuasa.

4. Apabila berlaku banjir, pastikan semua suis elektrik dan suis utama dimatikan untuk mengelakkan kejadian renjatan elektrik.

5. Apabila berlaku banjir, segera berpindah (ke pusat pemindahan/ rumah saudara lain/ tempat tinggi) seperti yang diarahkan pihak berkuasa.

6. Jika terperangkap dalam banjir, hubungi pihak berkuasa untuk bantuan dengan melaporkan keadaan dan kedudukan anda.

7. Awasi kanak-kanak dan jangan biarkan mereka bermain di kawasan banjir atau di tepi sungai/ parit/ longkang/ saluran air yang deras.

Sumber Portal Banjir

Dana Bantuan Pelajar Miskin 1Malaysia

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Perbadanan Tabung Tinggi Pendidikan Nasional, PTPTN akan memperkenalkan satu lagi skim bantuan terbarunya untuk manfaat pelajar.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, ia dikenali sebagai Dana Bantuan Pelajar Miskin 1Malaysia, ia digerakkan dengan kerjasama beberapa syarikat swasta.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi TV3 pagi tadi.

Jelasnya, penubuhan Dana Bantuan Pelajar Miskin 1Malaysia itu masih diperingkat penyelarasan terakhir dengan Kementerian Kewangan.

Sebaik dimuktamadkan, beberapa fasa dalam perundangan berkaitan operasi PTPTN termasuk kaedah-kaedah cukai pendapatan 1997, akan dipinda di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Selain syarikat swasta, PTPTN juga sudah bersetuju dengan FELDA yang akan menyediakan dana berjumlah RM15 juta setahun untuk bantuan pinjaman pendidikan kepada anak-anak FELDA yang menuntut di IPTA dan IPTS.

Sumber TV3 26/11/2012

Roda gergasi 'Malaysia Eye' bakal beroperasi April tahun depan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

MELAKA: Projek pembangunan 'Malaysia Eye' di Pulau Melaka di sini yang bakal menjadi roda gergasi ke-13 tertinggi di dunia dijangka beroperasi pada April tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini projek bernilai RM40 juta itu berjalan mengikut jadual dan mencapai kemajuan 15 peratus membabitkan kerja pemasangan cerucuk.

"Kerja pemasangan struktur roda ini pula akan dimulakan pada Februari tahun depan," katanya ketika melakukan lawatan di tapak projek berkenaan di sini.

Katanya, roda gergasi buatan China yang mempunyai 54 gondola dengan ketinggian 101 meter mampu membangunkan kawasan Pulau Melaka yang turut menempatkan Wildlife Theatre sebagai destinasi pelancongan terkenal di seluruh dunia.

Selain roda gergasi, kawasan seluas 0.05 hektar dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat swasta tempatan, The Eye Sdn Bhd itu akan turut menempatkan taman tema berkonsepkan 'air dan cahaya' serta sebuah hotel setinggi 28 tingkat, katanya.

Sementara itu, Mohd Ali mengalu-alukan lebih banyak peserta industri pelancongan melabur di negeri itu khususnya dalam pembangunan taman tema berskala besar.

Sumber BERNAMA 26/11/2012

Tanaman 'Rock Melon' TKPM Di Besut Diiktiraf Antara Terbaik Di Negara Ini

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Ketua Pengarah Pertanian Mustafa Kamal Baharuddin (kiri)
dan Pengurus Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)
Tok Dor Besut, Mohd Nasir Ali bersama-sama memasukkan
buah melon yang telah siap dibersihkan ke dalam kotak untuk
dieksport keluar negara ketika mengadakan lawatan ke TKPM
di sini, Isnin. TKPM membabitkan kawasan seluas 57 hektar
dengan penyertaan seramai 29 peserta termasuk
14 siswazah tani. - Foto BERNAMA
BESUT, 26 Nov (Bernama) -- Projek tanaman 'rock melon' di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tok Dor di sini diiktiraf antara lima TKPM terbaik di negara ini kerana berupaya mengeluarkan hasil memberangsangkan untuk pasaran tempatan mahupun eksport.

Dengan pengiktirafan itu, Terengganu muncul sebagai negeri terbesar mengeluarkan tanaman 'rock melon' di negara ini dengan kejayaan menghasilkan pendapatan bersih kira-kira RM10 juta, sejak beroperasi 2006.


Mustafa (kanan) meneliti buah melon untuk dieksport
Ketua Pengarah Pertanian, Mustafa Kamal Baharuddin berkata projek yang dimulakan sejak tujuh tahun lalu itu memberi pendapatan lumayan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan kepada 29 peserta termasuk 14 peserta dari program siswazah tani, melibatkan pembangunan kawasan seluas 57 hektar.

"Pengeluaran rock melon di sini menggunakan teknologi canggih yang didapati bebas daripada sebarang serangan penyakit selain dapat ditanam sepanjang masa tanpa mengira musim," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan di sini, pada Isnin.

Katanya, buah 'rock melon' yang dihasilkan di sini juga berjaya dieksport ke pasaran Singapura, Dubai dan Hong Kong.

Sumber BERNAMA 26/11/2012

Hampir kesemua agensi kerajaan laksanakan OSS di pelbagai peringkat

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

SHAH ALAM: Hampir kesemua agensi kerajaan melaksanakan perisian sumber terbuka (OSS) di pelbagai peringkat hingga menjimatkan kos pelesenan berjumlah RM370 juta, kata Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal.

Beliau berkata, sebanyak 719 daripada 724 agensi kerajaan atau 99.3 peratus melaksanakan OSS.
“Penggunaan OSS juga mampu menjimatkan 'berlipat kali ganda' perbelanjaan sesebuah agensi melalui pengurangan kos pembangunan, hasil daripada perkongsian kod sumber aplikasi.

"Pelaksanaan OSS di sektor awam turut meningkatkan kualiti dan interopabiliti sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ke arah perkhidmatan awam yang berintegrasi secara 'seamless'," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perisian Sumber Terbuka Kerajaan Malaysia (MyGOSSCON) 2012, di sini, hari ini.

Mohamad Zabidi berkata, teknologi OSS adalah satu perkongsian kepakaran dan idea untuk meningkatkan lagi keupayaan teknologi ICT melalui kos yang efektif.

“Berdasarkan satu penyelidikan yang dijalankan sebuah syarikat pakar runding OSS mendapati teknologi itu lebih menjimatkan berbanding perisian berlesen dengan kadar 70 peratus lebih murah.

"Melalui inisiatif inilah tercetusnya kolaborasi strategik yang menggabungkan jalinan kepakaran global dan tempatan seterusnya melonjakkan kecemerlangan sistem penyampaian perkhidmatan dan membantu dalam usaha meningkatkan daya saing negara," katanya.
Mohamad Zabidi berkata, pelaksanaan OSS di Malaysia juga memperlihatkan kejayaan iaitu lebih 39 syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) menjana RM595 juta dalam negara dan lebih RM234 juta pendapatan eksport.

“Sebanyak 6,026 peluang pekerjaan juga disediakan melalui pelaksanaan OSS,” katanya.

Sumber BERNAMA 26/11/2012

Malaysia Menyerlah Pada CIGIF 2012

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KANGAR - Malaysia menyerlah pada acara Korea Cyber International Genius Inventor Fair (CIGIF) 2012 yang berlangsung di Seoul semalam apabila kesemua 46 produk yang dipertandingkannya membawa pulang pingat.

Menurut kenyataan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Isnin, delegasi Malaysia yang diterajui Kelab Penyelidik Muda ENVEX (EYReC) dan merupakan chapter kepada Persatuan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia memenangi 27 pingat emas, 12 perak dan tujuh gangsa yang sekaligus meletakkan 100 produk memenangi pingat di samping menerima 11 anugerah khas.

Delegasi penyelidik Malaysia disertai kumpulan penyelidik UniMAP, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Mara dan beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Sekolah Menengah Sains Selangor, Kolej Tunku Kursiah, Sekolah Menengah Sains Tapah, Kolej Mara Kuala Nerang, Maktab Rendah Sains Mara Tun Abdul Razak, Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad dan beberapa sekolah di Sabah.

Penyelidik UniMAP menyumbang lapan pingat emas dan merupakan sumbangan emas terbesar bagi delegasi Malaysia di samping tiga anugerah khas pada pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chung Mu Art Hall.

CIGIF merupakan acara tahunan anjuran Korea Invention News sejak 2010 yang kali ini disertai 30 buah negara dengan jumlah penyertaan lebih daripada 250 produk.

Kontijen Malaysia diketuai Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik, Dr Mukhzeer Mohamad Shahimin yang juga Pengerusi EYReC.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata ini merupakan pencapaian cemerlang penyelidik Malaysia di bawah bimbingan EYReC dan memperlihatkan keupayaan mereka memupuk kreativiti dan inovasi pelajar tempatan ke peringkat antarabangsa.

"Kemenangan ini membuktikan Malaysia telah berjaya melahirkan para penyelidik dari peringkat sekolah sehingga produk yang dicipta berjaya mengharumkan nama negara," kata beliau.

Delegasi Malaysia turut menyertai persidangan khas Asia Creative Student Inventors Association yang disertai para pewakilan 30 negara semasa CIGIF.

Sumber BERNAMA 26/11/2012

600,000 kunjungi MAHA 2012

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

MUHYIDDIN (dua dari kanan) menunjukkan buah
tembikai madu sambil diperhatikan Noh (kanan) ketika
melawat ruang pameran MAHA 2012 di Serdang semalam.
SERDANG – Meskipun baru tiga hari berlangsung, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) 2012 menerima lebih setengah juta pengunjung sejak penganjurannya pada 23 November lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sambutan hebat orang ramai pada acara berkenaan membuktikan penganjuran MAHA semakin mendapat perhatian rakyat Malaysia.

“Sambutan orang ramai ke atas MAHA 2012 amat besar. Ini menunjukkan minat rakyat pada industri itu cukup tinggi termasuk dalam kalangan generasi muda.

“Kehadiran lebih 600,000 pengunjung pada program ini merupakan satu kejayaan buat MAHA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat acara MAHA 2012 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia di sini semalam.

Sumber Kosmo! Online 26/11/2012

Wanita Mangsa Dera Jangan Takut Buat Aduan - Noriah

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Wanita yang menjadi mangsa penderaan atau keganasan tidak perlu takut membuat aduan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan bantuan sewajarnya diberikan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Noriah Kasnon.

Beliau berkata Malaysia mempunyai undang-undang khusus bagi melindungi hak dan kepentingan wanita terutama daripada sebarang bentuk penderaan dari segi emosi dan fizikal.

"Kerajaan menguatkuasakan undang-undang dan menggubal akta bagi melindungi wanita termasuk Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, Kanun Keseksaan, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan gangguan seksual.

"Justeru, kaum wanita yang menjadi mangsa penderaan harus segera membuat aduan kepada pihak berwajib agar bantuan yang sewajarnya dapat diberikan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad malam.

Beliau turut meminta golongan wanita supaya menggunakan perkhidmatan Talian Nur 15999 yang diwujudkan kementerian sejak 2007 untuk melaporkan sebarang bentuk keganasan.

Sumber BERNAMA 26/11/2012

Kementerian Kesihatan Bimbang Peningkatan Jumlah Penghidap NCD

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah orang dewasa dan kanak-kanak Malaysia yang menghidap Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata adalah malang apabila keadaan kesihatan dan pemakanan rakyat Malaysia merosot secara perlahan-lahan ketika mereka menikmati hasil kemakmuran negara ini.

Katanya, NCD utama ialah serangan jantung, angin ahmar, kencing manis, dan barah manakala faktor risiko penyakit ini termasuk hipertensi, obesiti dan kolesterol tinggi.

"Semua ini berpunca daripada tiga faktor risiko tingkah laku iaitu pemakanan tidak sihat, gaya hidup sedentar (tidak aktif) dan merokok," katanya setelah melepaskan peserta 'Walk For Cure 2012' anjuran Hospital Columbia Asia di Bukit Jalil.

Dr Lokman berkata rakyat Malaysia sudah begitu selesa dengan tabiat sedentar mereka seperti duduk di depan televisyen atau skrin komputer berjam-jam sehingga mengabaikan aktiviti fizikal.

"Selain itu, perubahan ketara juga boleh dilihat dalam corak pemakanan kita yang mana kebanyakan orang dewasa dan keluarga menikmati makanan tidak sihat dan mengamalkan tabiat pemakanan tidak sihat.

Dr Lokman juga berkata berikutan sikap sambil lewa terhadap kesihatan dan pemakanan, maka tidak hairanlah jika jumlah penghidap NCD terus meningkat di Malaysia.

"Serangan jantung dan angin ahmar kini merupakan antara lima punca utama kematian manakala kolesterol tinggi dalam darah memberi kesan kepada 35.1 peratus daripada penduduk di negara ini, atau satu daripada setiap tiga orang dewasa.

"Seorang daripada setiap tujuh orang dewasa di Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas dikesan menghidap kencing manis, dan jumlah keseluruhan orang dewasa yang menghidap penyakit ini meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh hanya lima tahun iaitu dari 1.5 juta orang pada 2006 kepada 2.6 juta pada 2011," katanya.

Sumber BERNAMA 26/11/2012

2,960 graduan ISMP jadi guru

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Batu Pahat: Seramai 2,960 graduan Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang lulus temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) akan ditempatkan di seluruh negara mulai sesi persekolahan tahun depan.

Seramai 7,815 lagi graduan ISMP akan dipanggil untuk ditemuduga SPP dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata waran perjawatan dan penempatan kepada sejumlah 2,960 graduan ISMP yang berjaya melepasi dan lulus temu duga itu kini sedang diagihkan.

Kita harap graduan ISMP berkenaan bersedia dan menyiapkan diri untuk memulakan tugas pada sesi persekolahan tahun depan menerima jawatan mereka dengan semangat tinggi untuk mendidik anak bangsa.

Waran perjawatan dan penempatan mereka sudah diluluskan dan kini giat diagihkan kepada penerima terbabit.

Proses temu duga yang membabitkan seramai 7,815 lagi baki graduan ISMP pula akan dimulakan pada bila-bila masa dari sekarang dan ia dijangka berakhir Mac depan, katanya selepas merasmikan Program Kamu Yang Cantik anjuran pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di Balai Raya Sungai Suloh, Senggarang, di sini, semalam.

Sebelum ini, BH melaporkan seramai 10,755 graduan ISMP mengeluh berikutan masih menganggur dan belum diserapkan sebagai guru walaupun sudah menamatkan pengajian mereka.
Ia menyebabkan Kementerian Pelajaran memanggil 5,500 graduan ISMP berkenaan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk ditemuduga secara berperingkat bagi mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah seluruh negara.

Kementerian juga sebelum ini dilaporkan giat mengumpul rekod terkini kekosongan guru di sekolah seluruh negara daripada Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi calon graduan berkenaan.

Sementara itu, Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, seramai 63 calon graduan ISMP yang gagal dalam temu duga sebelum ini, akan dipanggil semula bagi menghadiri sesi temu duga kedua.

Sumber BH Online 26/11/2012

Jurujual licik kikis emas

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Mohd. Noor menunjukkan
gelang emas yang telah
dikikis oleh empat jurujual
Jumaat lalu ketika ditemui
di Pasir Puteh semalam.
PASIR PUTEH – Seorang petani mendakwa kerugian RM3,000 selepas diperdaya empat jurujual apabila suspek bertindak mengikis gelang emas ketika mengadakan demonstrasi mencuci barang kemas tersebut menggunakan asid dan api penyepuh Jumaat lalu.

Kejadian pukul 3 petang di Kampung Gong Manak, dekat sini itu menimpa Mohd. Noor Idris, 71, apabila barang kemas isterinya, Limah Hassan, 66, yang berharga RM12,600 telah dikikis secara licik oleh suspek yang datang ke rumahnya dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana.

Mengimbau semula kejadian itu, Mohd. Noor mendakwa, suspek-suspek yang merupakan seorang lelaki dan wanita serta dua remaja perempuan datang kononnya hendak mempromosikan barang kemas tiruan yang mereka jual.

Sumber Kosmo Online 26/11/2012

Sunday, November 25, 2012

Unta sarkas terlepas dan lari di pinggir bandar Los Angeles yang sibuk

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

LOS ANGELES - Seekor unta sarkas telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di sebuah jalan besar di pinggir bandar Los Angeles.

Dikatakan haiwan padang pasir tersebut terlepas dari jagaan Ramos Brothers Circus sebelum berlegar-legar di jalan raya Glendale, California.

Unta berusia 4 tahun yang diberi nama Abdullah tersebut akhirnya berjaya ditangkap berdekatan sebuah stesen minyak selepas dikejar oleh 10 individu.

Ia hanya ditenangkan dengan memberi makan lobak merah.

Menurut jurulatihnya dari Guadalajara di Mexico, Abdullah baru pertama kalinya melarikan diri dan belum pernah berlaku sebelum ini.

Berita baiknya, tiada siapa yang cedera, begitu juga dengan unta tersebut.

Mail Online  |  KTLA.com  |  Capital Bay