Saturday, December 08, 2012

Wanita Perlu Belajar Seni Mempertahankan Diri Untuk Elak Daripada Jadi Mangsa Jenayah

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Golongan wanita perlu belajar seni mempertahan diri bagi mengelak dari menjadi mangsa perbuatan jenayah terutamanya jenayah jalanan seperti samun dan ragut, kata Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abd Razak Elias pada Sabtu.

Beliau berkata wanita sering dianggap sebagai golongan yang lemah terutama ketika berhadapan dengan perbuatan jenayah kerana tidak berupaya mempertahankan diri daripada serangan penjenayah.

"Di daerah Serdang sahaja 80 peratus kejadian jenayah melibatkan kaum wanita terutama bagi kes samun dan ragut.

"Justeru kaum wanita perlu lebih peka dan sentiasa berhati-hati ketika berada di luar rumah serta perlu sentiasa beringat walaupun berada di tempat kebiasaan mereka," katanya kepada pemberita selepas program "Women Self-Defence Awareness Empowerment" di Ibu Pejabat Polis Serdang di sini.

Pada program itu lebih 160 wanita diberi tunjuk ajar tentang cara mempertahankan diri ketika berhadapan dengan penjenayah serta kepekaan terhadap persekitaran dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sumber BERNAMA 8/12/2012

Lihat entri terdahulu - Pelajari Seni Pertahankan Diri Untuk Hindari Jenayah


0 comments:

Post a Comment